Nuff Atas

07 Mac 2012

Suasana Perpustakaan Di Malaysia Perlukan Perubahan



Bosan, tidak menarik dan hanya akan pergi sekiranya terpaksa sahaja. Itu adalah jawapan 'jujur' yang diberikan tatkala ditanya akan pandangan orang ramai berkaitan dengan perpustakaan negara. Tidak sekadar itu, mereka juga menganggap gedung ilmu itu hanya sesuai bagi golongan kanak-kanak dan penuntut institusi pengajian tinggi serta tidak bagi mereka yang sudah melepasi dunia itu.

Bagi komuniti ini, perpustakan hanyalah sebuah institusi pencarian atau rujukan terbaik dalam proses melengkapkan kajian atau bidang penyelidikan. Walhal, objektif perpustakaan adalah luas peranannya termasuk dalam meningkatkan budaya membaca masyarakat.

Namun begitu, untuk melabelkan golongan ini tidak membaca mungkin bukan satu pencaturan yang tepat. Ini kerana, kewujudan pelbagai aplikasi teknologi hebat seperti iPhone, iPad, Blackberry membolehkan pembacaan berlaku di mana sahaja tanpa memerlukan mereka ke perpustakaan.


OH KEDAI BUKU!

Akan begitu, senario sebaliknya pula meruangi kedai-kedai buku ternama seperti MPH, Kinokuniya, Borders dan pesta buku seperti jualan berkonsepkan gudang, 'pay less books'.

Jumlah pengunjung lebih ramai daripada perpustakaan, itu yang dapat diperkatakan. Ini sekali gus, menafikan spelukasi bahawa kewujudan teknologi mematikan minat mereka terhadap ilmu berbentuk konvesional, buku.

Namun, apa yang menghairankan ialah mereka lebih sanggup 'membeli' buku di kedai-kedai buku berkenaan berbanding pembacaan secara 'percuma' yang ditawarkan oleh perpustakaan negara ini. Mengapa?

HAMBAR DAN TIDAK MENARIK

Bukan satu malah sudah terdapat pelbagai kajian dilakukan berkaitan dengan kepentingan kemudahan, persekitaran yang menarik dalam meningkatkan atau mewujudkan minat seseorang itu terhadap sesuatu perkara, hobi dan seumpamanya.

Malah, dari sudut motivasi itu juga menekankan kepentingan 'persekitaran' dalam kehidupan seharian manusia. Selain dapat meningkatkan semangat bekerja, ia juga dapat menarik minat serta membentuk diri seseorang untuk menjadi pencinta perpustakaan.

"Maaf cakaplah, perpustakaan kita saiz sahaja besar tetapi hambar, malap, langsung tidak ceria dan terlalu skema. Kempen pelbagai pun tetapi kalau fizikal bangunan tidak menarik akan membuatkan orang tidak minat ke perpustakaan. Sebab itulah, saya rasa sudah tiba masanya perpustakaan berubah sekiranya mahu menarik lebih ramai yang datang," kata Mohd Yunus Ismail.

Beliau yang juga pensyarah Fakulti Tari di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) turut berpandangan pengurusan perpustakaan yang agak 'tidak mesra pengguna' seperti perlu mematuhi pelbagai peraturan menyebabkan orang ramai lebih cenderung ke kedai buku.

Bukan sahaja suasananya yang lebih santai, malah susunan buku, perabot, penataan cahaya lampu secukupnya, seni bina yang lebih moden, kontemporari, pemilihan warna, sekali gus menarik minat orang ramai untuk memilih kedai buku berbanding perpustakaan.

Apatah lagi, pengurusan kedai buku yang membenarkan pengunjung membaca tanpa adanya paksaan membeli, menjadi faktor penting mengapa kedai buku ternama seperti MPH, Kinokuniya sentiasa dibanjiri orang ramai.

KETINGGALAN

Faktor 'suasana' bukanlah satu-satunya perkara yang menyebabkan seseorang itu lebih cenderung ke kedai buku berbanding perpustakaan. Harus diingat, koleksi genre yang ada di sesuatu perpustakaan itu juga memainkan peranan penting, yakni sebagai faktor tarikan ke gedung ilmu itu.

Dalam satu laporan artikel oleh 'Library Journal', Profesor yang juga merangkap Pustakawan Rujukan di Brooklyn College, Renee Feinberg menyedari bahawa kebanyakan pelajar kolej lebih gemar menggunakan kedai buku 'Barnes & Noble" sebagai 'perpustakaan' mereka.

Ini berdasarkan hasil temuramah dengan 20 pelajar kolej. Dalam temuramah itu, mereka ditanya mengapa menggunakan kedai buku seolah-olah seperti perpustakaan dan respon yang diberikan ialah buku lebih up-to-date, buku lebih khusus, dan koleksi banyak dan mencukupi.

Selain itu, kedai buku yang beroperasi sehingga malam berbanding perpustakaan menyebabkan mereka selesa menjadikannya sebagai perpustakaan untuk proses pembelajaran dan kajian. Pandangan ini turut diakui oleh koreografer dan penari terkenal, Dr Joseph Gonzales dalam satu tembual bersama Bernama.

"Buku yang saya suka mungkin tidak dapat dicari di perpustakaan. Ini kerana, buku dalam bidang yang saya minat ini (seni) tidak banyak dan susah hendak cari. Disebabkan itulah, saya lebih suka pergi MPH, Borders ataupun beli melalui online di amazon.com," katanya.

RELEVANKAH KAFE?

Mungkin tidak salah sekiranya menyatakan bahawa perpustakaan negara kita agak ketinggalan dalam faktor ini, penyediaan ruang kafe di gedung ilmu itu.

Tidak bermaksud membuat spekulasi bahawa perpustakaan negara ini tidak dilengkapi dengan kemudahan kafe, namun selalunya ia berada di lokasi tidak bersesuaian, iaitu pemisahan antaran himpunan buku dan tempat menjamu selera.

Untuk ke kafe, ada sesetengahnya memerlukan seseorang itu keluar dari satu bangunan ke bangunan lain, dan ini adalah sangat tidak mesra pengguna.

Berbanding dengan kedai buku, kafenya berada berdekatan dengan rak-rak buku sekali gus memudahkan pengunjung untuk menjamu selera. Selain itu, pengunjung juga dibenarkan untuk membawa buku ke kafe sekali gus adalah alasan terbaik mengapa mereka memilih kedai buku!

Kalau dilihat di negara barat, kebanyakan kafe berada dalam perpustakaan itu sendiri seperti The Farminton Library (Connecticut), The Hartford Public Library (Connecticut), Brooklyn Main Library (New York) dan Burlington County (New Jersey).

Bukan sahaja kafe, malah keterbukaan pengurusan perpustakaan di sana yang membenarkan mereka membawa kopi, muffin ke ruang pembacaan, sememangnya memberi keselesaan kepada pengunjung.

Keterbukaan ini sekali gus meningkatkan jumlah pengunjung ke perpustakaan dan ini berdasarkan rekod yang dicatatkan oleh Multnomah County Library di Portland Oregon.

Bukan sahaja mempunyai kafe dalam perpustakaan malah strategi mereka meletakkan Starbucks telah berjaya meningkatkan jumlah pinjaman sebanyak lapan juta buku setahun!

"Saya pernah pergi perpustakaan di Esplanade, Singapura. Di sana, saya boleh bawa kopi ke meja pembacaan dan ia sangat mesra pengguna asalkan jaga tatasusila. Suasananya pun lebih tenang," kata Mohd Yunus.

Bagaimanapun, ujar Mohd Yunus suasana sedemikian tidak berlaku di perpustakaan negara ini. Mengulas lanjut: "Mungkin disebabkan faktor takut air minuman tumpah sekali gus merosakkan buku menyebabkan perpustakaan kita tidak membenarkan wujudnya senario sedemikian".

TIDAK ADA MASALAH

Sememangnya, ini bukanlah satu perkara (idea membawa makanan dan minuman ke dalam perpustakaan) baru kerana ianya sudah lama diperbincangkan di kalangan pustakawan dunia.

Bagi mereka, isu ini tidak menjadi masalah bagi pengurusan kedai buku kerana buku-buku yang rosak boleh dikembalikan kepada penerbit, tetapi bukan kepada perpustakaan.

Mereka risau akan kehadiran pepijat, tikus dan kerosakan pada buku sekiranya wujud senario sedemikian. Namun, respon daripada perpustakaan yang telah memulakan operasi sedemikan menyatakan kerosakan pada buku hanyalah pada jumlah kecil sahaja!

BUDAYA MEMBACA

Senario ini, jelas menunjukkan bahawa sudah tiba masanya perpustakaan negara ini diberi suntikan 'nafas baru' sekali gus menyediakan perisai terbaik untuk mengharungi dunia persaingan antara kedai buku serta aplikasi teknologi.

Untuk ini, pujian seharusnya diberikan kepada Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam. Berkeluasan 203,600 kaki persegi, bangunan enam tingkat itu adalah satu contoh terbaik bagi perpustakaan negara menarik minat orang ramai mencintai perpustakaan.

Bukan sahaja ilmu, malah ia juga dilengkapi dengan hiburan seperti tayangan filem 3 dimensi (3D) dan pelbagai lagi.

Sememangnya, peranan hiburan yang bersesuaian dalam menanam minat membaca serta faktor tarikan ke perpustakaan tidak dapat dinafikan lagi akan kepentingannya. Menerusi semua ini, tidak salah sekiranya mengandaikan suatu hari nanti kesuraman yang menyurami perpustakaan ketika ini akan berubah wajah!

Oleh Sakini Mohd Said
Sumber: BERNAMA (29/2/2012)



Perpustakaan Negara Malaysia Komited Transformasi Perkhidmatan

Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) sentiasa berada di hadapan dalam menyediakan pelbagai kemudahan untuk keselesaan pengguna dan sebagai tarikan pembaca ke gedung ilmu itu.

Ketua Pengarah PNM Datuk Raslin Abu Bakar berkata kemudahan itu merangkumi penyediaan perkhidmatan kandungan digital atau sumber elektronik dalam talian seperti 'World e-Book' dan 'Encyclopedia Britannica' yang membolehkan pembacaan berlaku di mana-mana.

Diakses secara percuma, perkhidmatan 'World e-Book' membolehkan pengguna memuat turun koleksi bahan digital yang terdapat di PNM menerusi komputer peribadi dan peranti terkini seperti iPhone, Blackberry dan iPad dengan tempoh pembacaaan diberikan selama dua minggu.

"Biarpun pengunjung fizikal menurun, tetapi pengunjung maya meningkat. (Ini kerana) PNM mengambil kira trend pembacaan semasa yang menggunakan teknologi terkini, bahan-bahan dalam bentuk elektronik seperti buku elektronik, jurnal elektronik dan sebagainya.

"Pada masa kini terdapat lebih tiga juta bahan bacaan elektronik boleh dicapai pengguna PNM. Pada masa yang sama, kemudahan capaian melalui alat IT pintar sebegini sedang dipertingkat," katanya kepada Bernama.

Raslin berkata demikian bagi mengulas artikel Bernama - "Suasana Di Perpustakaan Perlukan Perubahan" - yang menyentuh mengenai 'kesuraman' suasana perpustakaan awam di negara ini yang dikatakan menjadi punca masyarakat lebih cenderung ke kedai buku berbanding gedung ilmu itu.

Mengulas mengenai perkhidmatan 'Encyclopedia Britannica', Raslin berkata PNM merupakan perpustakaan pertama di rantau Asia yang menyediakan perkhidmatan pakej itu untuk kanak-kanak dan dewasa bagi capaian pengguna di seluruh negara.

Selain penyediaan teknologi terkini untuk kemudahan pembaca, beliau berkata PNM sentiasa berusaha menambah baik persekitaran dan fasiliti yang ditawarkan di perpustakaan bagi memenuhi kehendak semasa pengguna.

Untuk itu, katanya, PNM menyediakan ruang santai di aras satu bangunan PNM di Jalan Tun Razak yang dilengkapi dengan mesin penyedia minuman ringan bagi keselesaaan pengguna untuk beristirehat sambil membuat rujukan atau pembacaan atau melayari internet secara percuma.

"PNM telah mengaudit dan mengkaji persekitaran pada tahun lalu dan sedang melaksanakan perubahan pada tahun ini secara berperingkat. Perubahan ini meliputi peningkatan prasarana fizikal dan kemudahan sedia ada di samping menyediakan kemudahan baru," katanya.

Mengulas mengenai penyediaan ruang kafe di dalam perpustakaan, Raslin berkata budaya masyarakat negara ini yang mengambil ringan akan penjagaan buku menjadi faktor utama ruang kafe disediakan berasingan daripada ruangan rak buku.

Atas faktor itulah, peraturan berkaitan makan minum diwujudkan bagi memastikan koleksi buku di PNM yang dikategorikan sebagai 'koleksi negara' sentiasa berada dalam keadaan baik untuk kegunaan semua.

Peraturan ini juga bukan sesuatu yang asing kerana banyak perpustakaan di negara lain menyediakan ruang makan minum yang terpisah dengan tempat pembacaan.

Bagaimanapun, ujar Raslin, PNM telah melonggarkan beberapa peraturan seperti membenarkan pengguna membawa minuman ke dalam perpustakaan dan membawa buku persendirian untuk rujukan, sekali gus menafikan bahawa pengurusan PNM tidak mesra pengguna.

Artikel itu turut menyentuh akan kekurangan koleksi buku antara alasan mendorong masyarakat ke kedai buku, dan Raslin mengulas: "Tidak ada satu perpustakaan yang mampu menyediakan semua bahan seperti di kedai buku, disebabkan antaranya, kekangan peruntukan untuk membeli buku,".

Oleh itu, kata Raslin, perpustakaan perlu membuat pemilihan terbaik untuk menyediakan buku-buku yang berkualiti dan pada masa yang sama memastikan koleksi buku yang disediakan mewakili semua bidang yang diperlukan pengguna.

"Bagaimanapun, satu alternatif telah disediakan kerajaan melalui perkhidmatan u-Pustaka di mana masyarakat pembaca boleh mendapat koleksi yang lebih banyak menerusi tujuh perpustakaan ahli konsortium u-Pustaka," katanya.

Dalam pada itu, Raslin juga menafikan dakwaan bahawa perpustakaan hanya sesuai untuk golongan kanak-kanak dan pelajar institusi pengajian tinggi berdasarkan pada statistik tahun 2009-2011 yang menunjukkan golongan dewasa merupakan pengunjung majoriti, mencatatkan sebanyak 70-80 peratus daripada golongan pembaca.

Ini kerana, koleksi PNM meliputi pelbagai bidang yang sebahagian besarnya adalah untuk golongan awam.

"Bagaimanapun, koleksi ilmiah yang komprehensif (untuk ahli akademik dan penuntut) banyak disediakan dan menjadi keutamaan di bawah koleksi Malaysiana PNM. Ini bagi memenuhi keperluan kajian atau bidang penyelidikan," katanya.

Mengenai perancangan masa depan, Raslin berkata PNM akan memperhebat kempen pembudayaan Bahasa Melayu, tulisan jawi serta program literasi maklumat yang dilancarkan tahun lepas bagi memberi pengetahuan dan bimbingan kepada masyarakat, mengenai kaedah mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih sama ada daripada sumber maklumat konvensional atau Internet.

Selain itu, PNM juga akan menganjurkan ekspo berkaitan perkhidmatan kandungan digital yang ditawarkan PNM kepada pengguna dan bakal disertai vendor-vendor gajet terkini seperti telefon pintar, ipad dan Android Blackberry.

Oleh Sakini Mohd Said
Sumber: BERNAMA (03/03/2012)

7 comments:

Huda berkata...

Setuju dengan entry ini. Yup memang betul pun, bukannya orang kita tak suka baca, tapi suasana tu menyebabkan kita rasa tak seronok, skema lagi. Kalau anak saya pergi kedai, macam rambang mata nengok buku-buku..Kalau boleh semua nak dibelinya.

hanaahmad berkata...

Terlalu suram, perlukan sedikit perubahan barangkali. Tapi walaupun tradisional, ia masih gedung ilmu yang harus dimartabatkan.

Ungu Violet berkata...

Ungu selalu pinjam buku kat library mini kat jusco...

ok gak dia wat library kat shopping kompleks..org ramai gi..

amal hayati berkata...

saya pun jarang ke library...kenapa ya???

.........cP~ berkata...

Salam.

Saya rasa tak jugak. sebab pandangan orang sekarang lah jugak library kosong. Semua fikir kalau pergi library tu ketinggalan zaman. Semua kan boleh dapat di hujung jari. Kalau saya cakap nak ke library, mesti orang pandang pelik, kebanyakan orang. Kalau jumpa buku, sebenarnya, dah tak fikir pun kat mana tempat.

ChaCha berkata...

suka suasana dalam library. tenang. tapi sy lebih gemar membeli terus dan bc dirumah..eehehe

caliph shuriken berkata...

skrg sy view buku kt e-store sendiri.. beli online trus ^^