11 Mac 2012
Tren Komuter SCS Enam Gerabak Mula Beroperasi
Sebanyak 98,000 pengguna di sekitar Lembah Klang bakal menikmati perkhidmatan komuter lebih berkualiti apabila 38 set Tren Enam Gerabak (SCS) yang dikenali sebagai MyKomuter diperkenalkan sepenuhnya oleh Keretapi Tanah Melayu Bhd., (KTMB) Jun 2012 ini.
Masalah kesukaran penumpang Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menggunakan perkhidmatan tren komuter tiga gerabak khususnya pada waktu puncak dijangka dapat diatasi menerusi operasi set tren baharu yang berkemampuan membawa 1,118 penumpang pada satu-satu masa berbanding 400 orang pada masa ini.
Pengurus Besar Perkhidmatan Komuter KTMB, Mohd. Hides Yusoff berkata, satu set tren itu yang mempunyai enam gerabak mampu memuatkan sebanyak 1,118 pengguna pada satu-satu masa selain mengurangkan waktu menunggu untuk setiap hentian daripada 30 minit kepada 10 minit.
''SCS berbeza daripada Koc Tiga Gerabak (EMU) seperti digunakan pada hari ini kerana tren baharu mempunyai kelajuan 140 kilometer (km) sejam berbanding 80 km sejam bagi komuter lama.
''Kita menjangkakan jumlah pengguna meningkat kepada 200,000 orang apabila 25 tren EMU yang digunakan pada hari ini dibaik pulih dan digunakan bersama SCS," katanya.
Katanya, 38 set SCS yang merupakan buatan syarikat dari China iaitu Zuzhou Electric Locomotive Co. Ltd., itu sekali gus mampu mencapai sasaran bagi meningkatkan jumlah pengguna perkhidmatan awam pada masa hadapan.
Perkhidmatan tersebut sebahagian daripada program menambah baik operasi KTMB menerusi pembelian 38 set tren enam gerabak (SCS) setiap satu dari China di bawah inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang menelan belanja sebanyak RM1.894 bilion.
Pekerja Keretapi Tanah Melayu Bhd., berdiri di sebelah Tren Enam Gerabak yang bakal beroperasi di Lembah Klang secara berperingkat mulai 10 Mac 2012 hingga Jun.
Pada majlis itu, media turut dibawa menaiki komuter baharu tersebut dari KL Sentral menuju ke Kajang dan diberi penerangan ringkas oleh Mohd. Hides berhubung beberapa ciri istimewa yang terdapat pada tren berkenaan.
Antaranya, komuter baharu itu dilengkapi ruang tempat duduk serta ruang berdiri yang lebih luas, kawasan khas untuk golongan orang kelainan upaya (OKU) dan paparan makluman kepada pengguna melalui skrin TV LCD.
Turut dipertingkatkan adalah ciri-ciri keselamatan seperti dua koc khas untuk wanita, kamera litar tertutup bagi setiap koc dan kelengkapan alat pemadam api.
“Selepas 17 tahun komuter beroperasi dengan tiga gerabak bagi setiap perjalanan, kini kapasiti perkhidmatan ini bertambah dua kali ganda dengan memuatkan 1,118 penumpang dalam satu masa,” ujarnya.
Pengurus Besar Perkhidmatan Komuter KTMB, Mohd. Hider Yusoff berkata, sebanyak 16 set tren SCS telah tiba dengan empat unit dijadual beroperasi mulai hujung minggu ini 10 Mac 2012 di laluan Pelabuhan Klang, Seremban dan Rawang.
Walaupun hanya baru empat set SCS beroperasi, sekurang-kurangnya sudah nampak ‘lorong cahaya’ yang bakal memberi harapan baru dan keselesaan kepada pengguna.
Sudah lama pengguna komuter ‘menderita’ dengan komuter tiga koc yang sering padat dengan manusia, isu kelewatan dan pembatalan tren (tidak mengikut jadual) dan tempoh menunggu yang terlalu lama.
Sumber: Kosmo dan Utusan
TREN baharu SCS (kanan) mampu membawa hampir dua kali ganda lebih ramai penumpang berbanding tren lama (kiri) dan sekali gus menyelesaikan masalah pengguna komuter di Lembah Klang.
Evolusi Kereta Api Kepada MyKomuter
Menyelak kembali secara ringkas sejarah perkhidmatan kereta api di negara ini, ia bermula dengan pembukaan landasan pertama sepanjang 12.5 kilometer (km) dari Taiping ke Port Weld (Kuala Sepetang), pada 1 Jun 1885.
Kini sudah ada landasan berkembar. Perkembangan kereta api bermula dengan lokomotif wap sehinggalah era tren berkuasa elektrik. Lokomotif Wap Kelas T yang pertama dari England diterima pada 1929 dan kali terakhir beroperasi pada 1964. Kita boleh melihat lokomotif ini di Muzium Negara.
Pada tahun 1965, muncul pula Lokomotif Diesel Hydraulic Kelas 21, keluaran Kisha Seizo Kaisha Ltd. dari Jepun dan kali terakhir digunakan pada tahun 1994. Pada 1997, Electric Multiplee Unit (EMU) Kelas 83 diterima dari Korea Selatan. Tren janaan kuasa elektrik keluaran Syarikat Marubeni/Hyundai Corporation ini masih beroperasi sehingga kini untuk perkhidmatan komuter.
Pada Disember 2009, KTMB menerima Electric Train Set (ETS) Kelas 91 keluaran Hyundai-Rotem Corporation dari Korea Selatan. ETS yang mampu bergerak pada kepantasan 160km/jam beroperasi bagi laluan Seremban-Kuala Lumpur-Ipoh.
Dan kini, secara berperingkat sehingga Jun 2012 ini, pengguna komuter bakal menikmati perkhidmatan yang lebih cekap melalui SCS yang mampu membawa sehingga 1,100 pengguna bagi perjalanan sehala berbanding 400 orang sekarang.
Secara keseluruhan, KTMB akan memiliki 38 set Tren SCS bernilai RM1.894 bilion. KTMB sudah menerima 16 set dan baki 22 set lagi akan diperoleh secara berperingkat sehingga Jun 2012 ini. Perkhidmatan ini merupakan sebahagian daripada Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan pengangkutan awam bandar.
Dengan kehadiran SCS, buatan Syarikat Zhuzhou Electric Locomotive Company (ZELC) dari China itu, KTMB merancang melaksanakan jadual ketibaan setiap 10 minit pada waktu puncak apabila semua set Tren SCS digunakan. Ketika ini waktu menunggu 30 minit kecuali pada waktu puncak pada sebelah pagi dan petang. Kadang-kadang waktu menunggu boleh mencecah sehingga satu jam atau lebih apabila berlaku kelewatan dan pembatalan tren.
Terdapat beberapa ciri istimewa dalam SCS seperti ruang tempat duduk dan berdiri yang lebih ergonomik, tiga baris ruang pemegang untuk pengguna berdiri serta ruang kepada golongan orang kelainan upaya (OKU) yang lebih luas dan selesa. Terdapat juga tiga unit kamera litar tertutup pada setiap koc, tangga kecemasan serta sistem pengudaraan yang lebih baik.
Apa yang penting, kerajaan sudah memberi perhatian terhadap masalah pengguna komuter termasuk golongan kakitangan awam dan swasta, pelajar sekolah serta institusi pengajian tinggi awam dan swasta. Mereka termasuk penuntut Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) serta banyak lagi kolej swasta. Merekalah yang sering menjadi ‘mangsa’ perkhidmatan yang tidak selesa ini.
Semoga, menjelang Jun 2012 ini tidak ada lagi cerita buruk mengenai komuter. Dengan ‘nama baru’ MyKomuter, diharapkan ia dapat ‘memadam’ pengumuman yang ‘ditakuti’ penumpang seperti ‘tren mengalami kelewatan’, ‘tren dibatalkan’. Begitu juga dengan muatan umpama ikan sardin, pintu komuter tidak dapat dibuka, pendingin hawa sama ada tidak berfungsi atau gagal berfungsi dengan baik, tren ‘bocor’, terkandas atau tertahan di landasan dan macam-macam lagi.
Oleh Hassan Mohd. Noor
Sumber: Utusan
Labels:
Maklumat Umum,
Teknologi
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 comments:
nie masih lewat @ tepati masa?
biasa duk kena dgn KTM lewat kdg2 sampai 1 jam.....
Catat Ulasan