Nuff Atas

10 Mac 2012

STPM Baharu Bentuk Pembelajaran Ala Kampus



ROMBAKAN semula sistem peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) untuk lepasan pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), memberi nafas baru kepada sistem pendidikan negara berasaskan peperiksaan oleh Kementerian Pelajaran, kendalian Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM).

Sudah tiba masa sistem yang diperkenalkan sejak 1982 menggantikan Sijil Tinggi Persekolahan (STP) daripada Higher School Certificate (HSC) disemak semula berikutan jumlah calon yang mengambilnya semakin berkurangan.

Bermula pengambilan Tingkatan Enam Bawah sesi pengajian Mei 2012, MPM terus melaksanakan Sistem Baharu STPM iaitu sistem modular menggantikan sistem terminal sebelum ini.


Berbanding sistem terminal, pelajar akan menduduki peperiksaan selepas satu setengah tahun menjalani pengajian. Kaedah ini dilihat lebih menyukarkan kerana minda pelajar diuji bermula daripada tahun pertama sesi persekolahan.

Berbeza dengan sistem STPM baharu ini yang lebih mesra pelajar, pencapaian mereka dinilai menerusi tiga peringkat ujian bermula penilaian pertama hujung tahun sesi persekolahan Tingkatan Enam Bawah. Penilaian seterusnya pada Tingkatan Enam Atas dua kali.



Ketiga-tiga penilaian itu bersifat anjal kerana pelajar berpeluang memperbaiki keputusan peperiksaan dan peluang memperoleh keputusan cemerlang lebih cerah. Penggubalan itu juga diharap dapat menarik lebih ramai lepasan SPM mengikuti pengajian melalui STPM dalam sistem persekolahan kementerian.

Menyedari pentingnya sistem penilaian lebih mesra pelajar itu, pelaksanaannya dapat mengurangkan kaedah lebih berorientasikan peperiksaan. Kumpulan pertama pelajar Tingkatan Enam Bawah akan menduduki peperiksaan secara rasmi kendalian MPM pada November 2012 ini.

Kumpulan ini juga akan menduduki peperiksaan kedua pada Jun 2012. Tarikhnya pula akan ditetapkan MPM berdasarkan takwim persekolahan, manakala peperiksaan ketiga berlangsung pada November 2013. Penggubalan STPM baharu ini akan turut dibantu wakil daripada University of Cambridge Local Examinations Syndicate.

Pengambilan pelajar Tingkatan Enam Bawah bermula Mei 2012 ini juga adalah kohort pertama Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang akan dilaksanakan pada setiap penggal sepanjang tempoh persekolahan satu setengah tahun.

PBS pula, dilaksanakan dengan markah 20 hingga 40 peratus dan peperiksaan akhir berpusat mewakili markah 60 hingga 80 peratus untuk menentukan tahap kelulusan setiap calon. Pelaksanaannya pula merangkumi tiga kategori nilaian iaitu kerja kursus, projek atau tugasan serta tugasan amali.

Gabungan keputusan terbaik bagi ketiga-tiga penggal ini akan menentukan pencapaian keseluruhan dalam STPM nanti. STPM baharu ini diharap dapat meningkatkan kualiti pelajar lepasan STPM sejajar matlamat Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Kementerian Pelajaran dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10).

Pengerusi MPM, Prof Datuk Dr Mohd Noh Dalimin, berkata penggubalan itu sejajar dengan sistem penanda aras berdasarkan peperiksaan yang memerlukan perubahan mengikut keperluan semasa. Perubahan itu, kata beliau penting bagi memastikan pelajar dapat bersaing sejajar perkembangan pendidikan dan ekonomi setempat serta perubahan global.

Beliau berkata, PBS turut mengambil kira pelbagai elemen murni untuk melahirkan generasi lebih berdaya saing, sekali gus dapat melahirkan insan cemerlang dalam akademik dan pembangunan sahsiah.

“MPM yakin penggubalan semula sistem peperiksaan dengan modul terminal kepada sistem modula ini dapat menarik lebih ramai pelajar lepasan SPM meneruskan persekolahan secara rasmi pada peringkat STPM pula.

“Rombakan ini juga bagi menyangkal andaian sesetengah pihak peperiksaan ini (STPM) sukar lulus dan membebankan pelajar yang terpaksa menjawab soalan daripada sukatan mata pelajaran yang dipelajari sejak satu setengah tahun yang lalu,” katanya.

Rasionalnya, Mohd Noh berkata, penggubalan sistem STPM sedia ada kepada PBS bertujuan memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai sistem penilaian secara semester yang dipraktikkan dalam sistem pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT).

Pendekatan awal ini, katanya memberi peluang mereka membiasakan diri dengan sistem berkenaan sebelum melangkah ke menara gading selaras dengan konsep Tingkatan Enam yang lebih dikenali sebagai program prauniversiti.

Pelaksanaan itu juga sesuai dengan usia pelajar yang sudah dewasa dan masing-masing boleh melakukan tugasan tanpa perlu mendapat pengawasan sepenuhnya daripada apa yang dipelajari dalam bilik darjah.

Beliau berkata, pelajar berpeluang membentuk satu kumpulan untuk melaksanakan tugasan luar bilik darjah. Usaha murni ini juga dapat meningkatkan kemahiran kepemimpinan dalam kalangan pelajar dan membolehkan mereka bekerjasama dalam satu pasukan.

Katanya, sistem persekolahan berkenaan secara tidak langsung dapat membentuk senario pembelajaran seperti di dalam kampus sebelum mereka meninggalkan bangku sekolah dan meneruskan pengajian pada peringkat lebih tinggi.

Oleh Norliza Abdullah
Sumber: BHarian

4 comments:

gadismanja berkata...

sijil SPM pon takde laie ,,hak3 :P

caliph shuriken berkata...

sistem 1982 ni mmg perlu disemak semula, huh...

Misha Ieza berkata...

slamat malam cik KODING K.N :)

AzRi AtHiRaH berkata...

entah.,saye pun x pernah ambik stpm.,bru nak tnggu result spm^^