23 Mac 2012

YouTube Malaysia Dilancarkan



Laman sesawang video, YouTube, memperkenalkan perkhidmatannya khusus kepada pengguna di Malaysia, menerusi laman sesawangnya www.youtube.com.my.

Pengurus Negara Google Malaysia, Sajith Sivanandan berkata, melalui laman sesawang itu, pengguna tempatan kini lebih mudah menonton serta memuat naik klip yang mahu dikhususkan kepada penduduk negara ini. Katanya, ia amat sesuai kepada golongan peniaga jika mahu mengiklankan produk mereka kepada pengguna tempatan.

“youtube.com.my memudahkan mereka (peniaga) memfokuskan pasaran mereka. Malah ia akan menarik pelabur dan merancakkan perniagaan di negara ini melalui satu lagi inovasi kepada pasaran,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran laman sesawang itu pada 22 Mac 2012.


Turut hadir ialah Pengarah Pengurusan Produk YouTube Asia Pasifik, Adam Smith.

YouTube yang mula diperkenalkan di Amerika Syarikat (AS) pada 2005, kini juga telah memperkenalkan perkhidmatan yang sama di 42 buah negara termasuk Malaysia dengan 58 versi bahasa termasuk Bahasa Malaysia. YouTube kini dimiliki oleh syarikat enjin pencarian Internet iaitu Google.

Semasa pelancaran tersebut, YouTube turut memperkenalkan empat pelanggan pertamanya yang akan mengiklankan produk mereka menerusi www. youtube.com.my iaitu Standard Chartered, Dutch Lady, Maxis dan Malaysian Airline System Bhd. (MAS)

Menurut Sajith, pihaknya juga telah menjalinkan kerjasama dengan syarikat penyiaran, Astro dan KRU Studios yang membolehkan laman sesawang itu menyiarkan kandungan klip milik kedua-dua syarikat.

"Malah, YouTube telah menandatangani perjanjian pelesenan yang akan membenarkan para pemuzik dan komposer tempatan yang diwakili oleh Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Muzik Malaysia (MACP) mendapat hasil melalui YouTube,” katanya beliau.

Tambahnya, bagi kumpulan peniaga yang mahu mengiklankan produk mereka menerusi laman sesawang itu, mereka akan dikenakan yuran bayaran.

Sumber: Utusan

0 comments: