23 April 2012
Fenomena Ekuinoks
Bayang lesap: Kejadian matahari atas kepala tanpa bayang landa Malaysia pada 27/03/2012, cetus situasi pelik namun bukan dianggap fenomena astronomi
AWAL 3 Mac 2012 lalu, fenomena dunia tanpa bayang dilaporkan berlaku di Bogor dan Jakarta, Indonesia. Dalam kejadian itu, tepat jam 12 tengah hari bagi tempoh dua hingga lima minit, orang ramai tidak dapat melihat bayang-bayang sendiri di bawah sinar matahari kerana ia berada tepat atas kepala.
Fenomena itu mendapat liputan kebanyakan akhbar di republik berkenaan dan beberapa negara Asia termasuk Malaysia. Banyak persoalan ditimbulkan hasil liputan berkenaan dan ramai yang ingin mengetahui mengenai fenomena yang jarang didengari itu.
Ketua Unit Strategik dan Hal Ehwal Antarabangsa ANGKASA (Agensi Angkasa Negara), Mohd Zamri Shah Mastor berkata, fenomena tanpa bayang sebenarnya berlaku setiap hari sepanjang tahun dan ia bukannya satu kejadian yang luar biasa atau pelik.
Mohd Zamri berkata, kejadian itu tidak dianggap sebagai fenomena astronomi, namun ia fenomena yang disukai dan sangat dekat dengan orang ramai.
“Fenomena hari tanpa bayang dianggap menarik apabila ia berlaku ketika matahari melintasi garisan khatulistiwa seperti yang berlaku di Bogor Jawa Barat, Indonesia pada 3 Mac 2012. Selain itu, fenomena ini juga turut dianggap istimewa ketika matahari melintasi garisan Sartan di Hemisfera Utara dan garisan Jadi di Hemisfera Selatan bumi,” katanya.
Menjelas lanjut, Mohd Zamri berkata, kejadian itu adalah fenomena yang biasa berlaku iaitu sebanyak dua kali setiap tahun pada suatu garis lintang tertentu di antara garisan Sartan dan garisan Jadi. Ini kerana pada ketika itu, matahari berada tepat di atas garisan lintang berkenaan.
“Malaysia akan turut mengalami fenomena hari tanpa bayang tepat waktu tengahari di beberapa tempat mengikut kedudukan garisan-garisan lintang tertentu yang melintasi negara bermula 27 hingga 19 Mac 2012 lalu. Ia akan berulang berlaku semula pada 28 September hingga 2 Oktober 2012,” katanya.
Mohd Zamri menjelaskan fenomena itu juga dikenali sebagai peristiwa Ekuinoks apabila Matahari melintasi tepat garisan Khatulistiwa ketika ia bergerak dari Hemisfera Selatan ke Hemisfera Utara Bumi. Kejadian ini berlaku setiap Mac dan matahari juga akan melintasi Khatulistiwa dari Hemisfera Utara ke Hemisfera Selatan Bumi setiap September pula.
"Tiada yang istimewa pada hari berkenaan selain matahari berada tepat di atas kepala pada waktu tengahari. Ini menyebabkan kita tidak nampak bayang-bayang kita jika berdiri di tengah panas." katanya.
Fenomena berkenaan juga berlaku setiap hari tetapi di lokasi berbeza mengikut garis lintang kedudukan pergerakan matahari. Ini bermakna setiap negara yang berada di antara garisan Sartan dan Jadi, termasuk Khatulistiwa, akan merasai fenomena berkenaan.
Fenomena berkenaan juga berlaku dalam tempoh yang singkat iaitu dua hingga lima minit serta tidak memberi kesan langsung kepada penduduk bumi seperti kejadian gerhana bulan dan matahari.
Ahli falak Islam yang masyhur, Imam al-Khawarizmi dan ahli sains Isaac Newton berpendapat, setiap dua jisim yang berdekatan mewujudkan kesan tarik menarik antara satu sama lain, sama ada kuat atau lemah tarikan itu. Disebabkan ketika berlakunya gerhana matahari, bulan berada hampir dengan bumi, pastinya akan berlaku tarikan kuat dari bulan terhadap bumi yang mengakibatkan berlakunya perubahan paras air laut dan mungkin angin yang memberi kesan kepada cuaca.
Gerhana bulan dan matahari juga boleh membawa perubahan kepada tumbuh-tumbuhan, tanam-tanaman dan benda hidup di dunia ini. Contohnya, jika berlaku gerhana matahari di mana waktu siang tiba-tiba bertukar menjadi gelap seperti malam, mungkin haiwan seperti burung akan keliru dan menyebabkan ia terbang pulang ke sarang atau tidak berhaluan.
Berbeza dengan kedua-dua gerhana berkenaan, fenomena tanpa bayang hanya kejadian tiada bayang kelihatan pada tepat waktu tengahari di sesuatu tempat ketika matahari melintasi garisan lintang kawasan berkenaan. Selepas daripada tarikh itu, bayangan mereka akan kelihatan semula jika dilihat di atas tanah pada tepat waktu tengahari kerana kedudukan matahari yang semakin beralih ke garis lintang sama ada arah utara atau pun mungkin arah selatan.
Semua bandar di dunia yang berada di antara garisan lintang 23.5 darjah Utara (garisan Sartan) dan garisan lintang 23.5 darjah Selatan (garisan Jadi) akan mengalami keadaan itu dan dalam tempoh setahun, hemisfera selatan terlebih dulu mengalaminya seperti di Australia pada bulan Disember hingga Januari.
Sebelum ini, tempat popular yang menjadi tumpuan ialah bandar Pontianak, Kalimantan Barat, kerana kedudukannya betul-betul di garisan Khatulistiwa. Bandar itu akan mengalami fenomena itu dua kali setiap tahun iaitu pada setiap 21 Mac dan 23 September.
Fenomena sama yang berlaku di Makkah pada 28 Mei dan 15 Julai setiap tahun, dimanfaatkan oleh umat Islam di seluruh dunia untuk membetulkan arah kiblat masing-masing berdasarkan kepada unjuran arah bayang matahari di kawasan setempat masing-masing pada waktu itu akan menghala Makkah.
Oleh Rohaniza Idris
Sumber: BHarian [2012/03/25]
Labels:
Alam Ciptaan Allah
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
4 comments:
salam;
Sudah jelas dan nyata penerangan dari ketua agensi angkasa negara.
Allah Maha kuasa
subhanAllah... :)
Kuasa Allah...
Catat Ulasan