Nuff Atas

01 Mei 2012

Kadar Gaji Minimum Sektor Swasta RM900

SELAMAT MENYAMBUT HARI PEKERJA 2012



Kadar gaji minimum kebangsaan sektor swasta bagi Semenanjung Malaysia ditetapkan RM900 sebulan (RM4.33 sejam), manakala bagi Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan sebanyak RM800 sebulan (RM3.85 sejam), kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata gaji minimum itu akan meliputi pekerja dalam semua sektor ekonomi di seluruh negara, kecuali perkhidmatan domestik, yakni pembantu rumah, tukang kebun dan sebagainya.

"Tarikh mula kuat kuasa pelaksanaan gaji minimum ialah enam bulan daripada tarikh Perintah Gaji Minimum diwartakan," katanya semasa berucap pada majlis Pengumuman Gaji Minimum Sektor Swasta di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Isnin 30 April 2012.

Pengumuman itu juga sempena sambutan Hari Pekerja yang akan disambut Selasa dan sebagai hadiah istimewa daripada kerajaan persekutuan kepada seluruh warga pekerja.


Najib berkata kerajaan turut menyediakan mekanisme pelaksanaan supaya penetapan gaji minimum itu tidak membebankan majikan dan tidak merugikan para pekerja dengan membenarkan penyerapan sebahagian elaun atau bayaran tunai tetap dalam perkiraan gaji minimum.

Bagaimanapun, katanya untuk memberi ruang dan peluang kepada majikan kecil membuat persediaan, tempoh kuat kuasa bagi kategori itu ialah 12 bulan daripada tarikh Perintah Gaji Minimum diwartakan.

Perdana Menteri berkata pengecualian 12 bulan itu tidak meliputi kepada firma profesional seperti klinik-klinik pergigian dan perubatan; firma guaman; firma arkitek; firma juru perunding dan sebagainya; walaupun mereka mempunyai bilangan pekerja lima atau kurang; mereka perlu mematuhi gaji minimum ini dalam masa enam bulan.

"Pemberian tempoh masa yang mencukupi ini adalah supaya majikan dapat membuat persediaan secukupnya bagi menstrukturkan semula gaji pekerja dan operasi perniagaan masing-masing.

"Kerajaan juga menyediakan mekanisme pelaksanaan yang fleksibel supaya majikan yang benar-benar tidak dapat melaksanakan gaji minimum boleh memohon pelanjutan tempoh peralihan," katanya.

Jelas Najib lagi kerajaan menyedari dan amat prihatin terhadap tuntutan para pekerja supaya gaji minimum ditetapkan pada RM1,200 hingga RM1,500. Namun untuk permulaan, katanya sebagaimana syor Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) dan kajian Bank Dunia, gaji minimum tidak boleh ditetapkan terlalu tinggi.

"Sekiranya gaji minimum ditetapkan melebihi tahap RM900 (yakni gaji pokok) kesannya dijangka menjejaskan ekonomi, pasaran buruh dan kemasukan pelaburan asing," katanya.

"Jika perkara itu berlaku, industri tidak boleh beroperasi sewajarnya dan dikhuatiri ramai pekerja akan kehilangan pekerjaan. Kerajaan tidak boleh membiarkan perkara ini berlaku, kerana ini akan menjejaskan kebajikan pekerja dan kepentingan nasional," katanya.

Najib berkata kerajaan juga sedar, bahawa menetapkan kadar gaji minimum yang berbeza antara Semenanjung dengan Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan akan mendedahkan kepada tohmahan bahawa Kerajaan Persekutuan menganaktirikan pekerja di negeri dan wilayah tersebut.

"Perbezaan gaji antara dua wilayah ini terpaksa dilakukan kerana perbezaan struktur upah dan kos sara hidup yang ketara," katanya.

Namun begitu, beliau berkata untuk tempoh dua atau tiga tahun akan datang, kerajaan berharap kadar gaji minimum bagi negeri-negeri tersebut dapat diselaraskan dengan kadar gaji minimum di Semenanjung Malaysia.

Kadar gaji minimum yang ditetapkan tersebut tidak akan kekal statik, ia akan dikaji semula dari semasa ke semasa sejajar dengan kemampuan, produktiviti dan daya saing negara, jelas beliau.

Pada pembentangan Bajet 2011, Perdana Menteri mengumumkan penubuhan MPGN sebagai platform utama dalam penetapan upah, termasuk menentukan kadar dan mekanisme pelaksanaan gaji minimum di negara ini.

Susulan itu, Kementerian Sumber Manusia bersama rakan tripartite telah merangka dan menggubal perundangan yang berkaitan.

Hasilnya, Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 telah digubal dan diluluskan oleh Parlimen pada sesi Jun/Julai 2011, kemudian akta diwartakan pada 15 Sept 2011 dan seterusnya, MPGN telah ditubuhkan pada 28 Sept 2011.

Indeks Paras Kemiskinan Dan Gaji Penengah Diambil Kira

Dua perkara utama yang diambil kira oleh Jawatankuasa Teknikal Kementerian Sumber Manusia dalam kajian berhubung kadar gaji minimum ialah dari segi indeks garis kemiskinan dan gaji penengah, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Beliau berkata kajian paras kemiskinan yang merujuk kepada tahap gaji yang amat diperlukan pekerja serta gaji penengah yang merujuk kepada penanda tahap kemampuan majikan untuk membayarnya, dibuat bagi menetapkan kriteria garis dasar dalam penentuan gaji minimum.

Menurutnya kajian kemudiannya dibuat bersandarkan kepada tiga faktor lagi iaitu Indeks Harga Pengguna (CPI) yang merujuk kepada kos kehidupan semasa, aspek produktiviti, dan kesannya kepada kadar pengangguran.

Kementerian Sumber Manusia menjelaskan bahawa gaji penengah bagi Semenanjung adalah RM1,134 berbanding RM738 (Sarawak) dan RM577 (Sabah dan Labuan). [Bernama]

"Jawatankuasa teknikal kementerian, malah Bank Dunia sendiri, memang mencari formula sesuai untuk tetapkan gaji minimum. Apa yang dicadangkan jawatankuasa ini bukan hasil persepsi emosi atau keperluan politik, ia diasaskan kepada petunjuk-petunjuk kewangan yang kukuh," katanya..

Katanya, bank dunia yang membuat kajian berhubung gaji minimum melihat implikasi penetapan gaji minimum itu dalam dua aspek utama iaitu kuasa menarik pelaburan, dan kesannya terhadap pengangguran.

Sumber: BERNAMA Artikel 1, BERNAMA Artikel 2 dan BHarian [30/04/2012]

1 comments:

caliph shuriken berkata...

actually 900 x byk sbb nanti akan kena pelbagai potongan.. tau laa sbb pnah keje dgn gaji 500~600 sbulan...