30 April 2012

Hernia, Benjolan Abnormal


Keadaan penyakit akan bertambah teruk akibat aktiviti meneran seperti membuang air besar, batuk dan bersin. - Gambar hiasan

Hernia adalah daripada bahasa Latin 'herniae'. Ia membawa maksud penonjolan keluar organ atau tisu atau isi suatu rongga melalui bukaan otot yang lemah pada bahagian abdomen. Dinding abdomen yang lemah itu kemudiannya membentuk suatu kantung dengan bukaan seperti cincin. Orang melayu menggelarkannya dengan nama Angin Pasang.

Gangguan ini sering terjadi di kawasan abdomen dengan komponen yang keluar berupa bahagian dalaman abdomen seperti usus kecil, usus besar atau lapisan lemak yang menyelaputi kedua-dua usus ini.


Menyerang lelaki

Hernia adalah gangguan kesihatan yang umumnya dideritai oleh lelaki. Ia 10 kali ganda lebih kerap berlaku dalam kalangan lelaki berbanding wanita. Bagi masyarakat setempat, ia lebih sinonim sebagai angin pasang, burut atau uluran.

Benjolan pada abdomen akan mengganggu penderita bergantung kepada saiznya. Biasanya, keadaan penyakit akan bertambah teruk akibat aktiviti meneran seperti membuang air besar, batuk, bersin dengan kuat atau ketika mengangkat bebanan berat yang memberi tekanan pada rongga abdomen yang lemah.

Faktor

Hernia bukanlah penyakit keturunan. Ada pelbagai faktor yang boleh menyebabkan hernia. Antaranya disebabkan otot dinding rongga, misalnya pada bahagian abdomen yang lemah dan dorongan yang menyebabkan tekanan di dalam rongga abdomen meningkat.

Hernia pada orang dewasa biasanya terjadi ketika usia lanjut kerana otot dinding rongga abdomen telah lemah. Sejajar dengan usia, organ dan jaringan tubuh mengalami proses kemerosotan. Bagi wanita, kegemukan juga mungkin melemahkan otot bahagian abdomen.

Ada beberapa jenis hernia. Hernia jenis dalaman berada dalam tubuh dan tidak boleh dilihat secara mata kasar. Contohnya diafragmatic hernia yang terjadi akibat adanya celah di diafragma (otot pemisah antara bahagian perut dengan dada) kerana pembentukan diafragma yang tidak sempurna. Contoh lain adalah hiatal hernia esofagus, terjadi melalui celah masuknya esofagus dari rongga dada.

Selain itu, terdapat hernia jenis luaran. Paling kerap adalah hernia inquinal' yang muncul di lipatan paha dan umbilical hernia yang muncul di daerah pusat (umbilikus).

Simptom

Selain benjolan, simptom-simptom hernia seperti mual dan muntah, tiada selera makan, perut kembung dan tidak boleh membuang air besar. Gejala lain juga boleh muncul seperti demam dan dehidrasi. Jika tidak diambil langkah sewajarnya, pembuluh darah di daerah tersebut akan mengalami iskemia (tisu yang kekurangan oksigen) lalu terjadi penimbunan toksin yang kemudian tersebar melalui pembuluh darah. Akibatnya, kuman dan toksin berkumpul dalam darah. Keadaan ini amat serius kerana ia boleh mengancam nyawa seseorang.

Rawatan

Apabila usus mengalami gangren, ia boleh mereput dan membahayakan pesakit. Pesakit biasanya datang dengan simptom perut buncit dan kembung, bengkak pada celah paha yang tidak berkurangan, kulit bahagian terbabit kemerah-merahan dan sakit, selain muntah-muntah.

Dalam keadaan ini, pembedahan kecemasan diperlukan untuk mengeluarkan usus yang mengalami gangren. Jika pesakit datang ke hospital pada peringkat awal, besar kemungkinan usus tersebut masih boleh diselamatkan.

Terdapat dua kaedah pembedahan untuk merawat hernia iaitu secara konvensional (memerlukan torehan yang agak besar) dan juga secara teknik laparoskopik. Pembedahan ini dilakukan dengan pesakit dibius secara keseluruhan dan proses pemulihan berlaku dengan cepat, membolehkan mereka menjalani aktiviti normal selepas dua minggu.

Melalui teknik laparoskopik, sebanyak tiga torehan kecil sepanjang lima hingga 10 milimeter akan dilakukan. Rawatan ini memerlukan kepakaran amat tinggi. Luka yang kecil ini memungkinkan penyembuhan lebih cepat. Paling penting, risiko hernia berulang adalah amat rendah menggunakan pembedahan laparoskopik berbanding pembedahan konvensional.

Bagi pembedahan laparoskopik, pesakit mengalami kesakitan amat kurang manakala risiko jangkitan kuman juga rendah berbanding pembedahan konvensional. Pesakit sudah boleh bergerak dari katil dalam tempoh beberapa jam selepas pembedahan dan kembali melakukan rutin harian lebih cepat. Pesakit hernia yang selamat dibedah boleh mengalami kes berulang dalam masa beberapa bulan ke setahun.

Untuk mencegahnya daripada berulang, pesakit perlu menghindari perkara-perkara yang dapat meningkatkan tekanan di dalam rongga perut. Misalnya, berhenti merokok dan jika sukar membuang air, segera berubat dan elakkan meneran.

Lakukan kerja lebih ringan dan turunkan berat badan. Jangan sesekali mengurut hernia kerana ia sangat berbahaya. Tekanan ke atas hernia boleh menyebabkan organ berkenaan pecah, mengalami jangkitan kuman dan membawa maut.

Sumber: Utusan

3 comments:

uncle berkata...

oo time meneran tu..kalau keluar benjolan dipanggil hernia lah? baru uncle tahu ..sebab pernah dahulu uncle mengalaminya...

teha berkata...

nice sharing :)

ch000tz berkata...

aka buasir....