10 April 2012

Keunggulan Sistem Beraja Di Dunia


YANG di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah bersama Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajjah Haminah.

Hari Rabu 11 April 2012 ini Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah akan ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 dan Tuanku Hajah Haminah sebagai Raja Permaisuri Agong.

Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ini adalah acara paling penting bagi Malaysia kerana jawatan Seri Paduka itu adalah sebagai ketua negara. Ia merupakan kedudukan tertinggi di negara ini dalam amalan sistem raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.

Malaysia adalah salah satu daripada 43 negara di dunia yang mengamalkan sistem beraja. Setiap negara mempunyai kaedah masing-masing dalam mengamalkan sistem beraja. Daripada 43 negara itu, 36 mengamalkan sistem raja berperlembagaan. Sementara lima negara mengamalkan sistem beraja kuasa mutlak, dan dua lagi adalah campuran, iaitu mutlak dan berperlembagaan.


Dua negara yang mengamalkan sistem beraja campuran mutlak dan berperlembagaan ialah Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE). Sementara negara yang mengamalkan sistem raja berkuasa mutlak ialah Brunei, Oman, Qatar, Arab Saudi dan Swaziland.

Dalam sejarah manusia, semua bangsa dan negara asalnya mengamalkan sistem raja berkuasa mutlak. Tetapi apabila berlaku kesedaran demokrasi, maka banyak negara memilih untuk mengamalkan sistem raja berperlembagaan di mana kuasa raja disusun supaya turut sampai kepada rakyat melalui perlembagaan.

Selain Malaysia, negara-negara yang mengamalkan sistem raja berperlembagaan ialah Andorra, Antigua and Barbuda, Australia, Bahamas, Barbados, Belgium, Belize, Bhutan, Kemboja, Kanada, Denmark, Grenada, Jamaica, Jepun, Jordan, Kuwait, Lesotho, Liechtenstein, Luxembourg, Monaco, Maghribi, Belanda, New Zealand, Norway, Papua New Guinea, St Kitts and Nevis, St Lucia, St Vincent and Grenadines, Solomon Islands, Sepanyol, Sweden, Thailand, Tuvalu dan Britain.

Apabila melihat negara-negara yang mengamalkan sistem raja berperlembagaan, maka dapat disaksikan betapa ia terdiri daripada pelbagai jenis negara. Ia tidak mengira rumpun bangsa, agama, benua, saiz dan kedudukan ekonomi.

Berkongsi

Tetapi apa yang ketara ialah terdapat beberapa negara di dunia yang berkongsi seorang raja. Raja atau ratu yang dimaksudkan ialah Ratu Elizabeth II.

Baginda menjadi ratu bukan saja bagi United Kingdom tetapi bagi 15 negara Komanwel yang lain. Negara-negara itu ialah Antigua and Barbuda, Australia, Bahamas, Barbados, Belize, Kanada, Grenada, Jamaica, New Zealand, St Kitts and Nevis, St Vincent and the Geradines, Solomon Islands dan Tuvalu.

Apa yang diamalkan oleh 16 negara Komanwel yang beratukan Ratu Elizabeth II itu adalah kebalikan dengan sistem raja berperlembagaan Malaysia di mana di negara ini, terdapat sembilan orang raja yang secara bergiliran dan pilihan oleh Majlis Raja-Raja Melayu menjadi Yang di-Pertuan Agong.

Raja-raja Melayu mempunyai tradisi dan sejarahnya tersendiri yang boleh dicari susur galur jati dirinya hingga ke zaman silam, bukan saja pada zaman Kesultanan Melaka, malah hingga ke kerajaan Melayu Sri Wijaya.

Tetapi setiap Raja-raja Melayu mempunyai kerajaannya sendiri dengan latar belakang sejarah masing-masing yang berbeza-beza dan unik. Pada zaman moden ini, terdapat 10 Raja-raja Melayu yang memerintah dan berdaulat di negara dan negeri masing-masing.

Raja-raja Melayu mempunyai ciri-ciri tertentu dari segi adat istiadat yang boleh dilihat unik tetapi mempunyai kaitan di antara satu sama lain. Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah adalah satu-satunya raja Melayu yang memerintah sebuah negara yang berdaulat dengan sendiri.

Sementara sembilan lagi Raja-raja Melayu yang berdaulat di negeri-negeri Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Selangor, Perak, Kedah, Terengganu, Kelantan dan Perlis bergabung dalam Persekutuan malaysia.

Salah seorang daripada mereka menjadi Yang di-Pertuan Agong mewakili Raja-raja Melayu yang lain untuk menjadi ketua negara Malaysia meliputi negeri-negeri yang tiada raja iaitu Melaka, Pulau Pinang, Sarawak dan Sabah.

Dengan pertabalan Sultan Kedah sebagai Yang di-Pertuan Agong hari Rabu 11 April 2012 ini, Malaysia menjadi negara paling terkini mempunyai seorang raja baru. Walaupun Tuanku Abdul Halim menjadi Sultan Kedah yang ke-28 sejak tahun 1958 dan pernah menjadi Yang di-Pertuan Agong kelima pada tahun 1970 hingga 1975.

Raja paling lama yang masih memerintah di dunia ialah Raja Bhumipol Adulyadej yang menaiki takhta Thailand pada tahun 1946.

Dalam sistem beraja, hubungan ketua negara dengan agama negara adalah rapat. Selain Malaysia, negara-negara Islam lain yang mengamalkan sistem beraja ialah Brunei, Jordan, Kuwait, Maghribi, Qatar, Arab Saudi dan UAE.

Negara-negara Jordan, Kuwait, Maghribi, Qatar, Arab Saudi dan UAE pernah berada dalam pemerintahan Khilafah Uthmaniah, Abasiah dan Umayah. Apabila khilafah-khilafah itu tumbang, maka muncul kerajaan-kerajaan Islam baru menggantikan mereka di wilayah masing-masing.

Malaysia dan Brunei pada satu masa pernah berada dalam kedaulatan Kesultanan Melaka. Walaupun kemudian penjajah datang, tetapi kedaulatan Raja-raja Melayu terus wujud dan terserlah selepas negara mencapai kemerdekaan.

Oleh: ZIN MAHMUD
Sumber: Utusan

1 comments: