10 April 2012

Agong Tunggak Keyakinan Rakyat Terhadap Kestabilan Negara



Tanggal 11 April 2012 ini, sekali lagi rakyat Malaysia yang berbilang kaum akan menyaksikan berlangsungnya istiadat pertabalan Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong yang ke-14.

Ini adalah kali pertama dalam sejarah negara, seorang Sultan dilantik kali kedua sebagai Yang di-Pertuan Agong oleh Raja-Raja Melayu pada mesyuarat khasnya, 14 Okt 2011 lepas.

Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, 84, pertama kali dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong kelima pada 23 Julai, 1970 semasa berusia 42 tahun.

Malaysia yang mengamalkan sistem pemerintahan Raja BerPerlembagaan dan Demokrasi BerParlimen mula melaksanakan pemilihan Yang di-Pertuan Agong ketika negara mencapai kemerdekaan pada 1957.

Langkah tersebut amat bermakna kerana ia melambangkan keyakinan rakyat terhadap sistem pemerintahan demokrasi.


AGONG STABILKAN EKONOMI DAN PERPADUAN

Sebagai Ketua Utama Negara, Seri Paduka Baginda secara simboliknya berperanan penting sebagai tunggak kepada simbol perpaduan melangkaui kaum.

"Adanya institusi Yang di-Pertuan Agong, maka rakyat mempunyai satu pusat tumpuan dari segi memberi ketaatan kepada negara kerana Seri Paduka Baginda adalah simbol tertinggi kepada persekutuan.

"Selain paksi kesetiaan kepada persekutuan Malaysia, Yang di-Pertuan Agong juga sebagai satu institusi bersifat bebas politik. Ini kerana, apa sahaja aktiviti kenegaraan melibatkan Yang di-Pertuan Agong adalah bebas daripada pengaruh politik," kata Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Abdul Ghapa Harun.

"Jadi kehadiran Yang di-Pertuan Agong membezakan sesuatu acara, peristiwa dari politik, penting sebagai paksi kepada tunggak identiti nasional, simbol perpaduan melangkaui kaum," katanya.

Beliau yang ditemui semasa temubual bersama Bernama baru-baru ini berkata semua rakyat tidak kira apa sahaja ideologi, fahaman, masing-masing memberikan tumpuan kesetiaan kepada Seri Paduka Baginda sebagai pemerintah tertinggi negara.

Tambahnya, biarpun kuasa Seri Paduka Baginda sebagai Raja Berpelembagaan terbatas tetapi dari segi kepentingan ekonomi, sosial dan perpaduan adalah sangat besar.

KETUA UTAMA NEGARA

Perlembagaan Persekutuan memaktubkan bahawa sebagai Ketua Utama Negara, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa perundangan, pemerintah dan kehakiman.

Bagi aspek perundangan, Pensyarah Jabatan Sejarah, Universiti Malaya, Prof Dr Abdullah Zakaria Ghazali menjelaskan bahawa setiap rang undang-undang yang ingin dilaksanakan mestilah mendapat kelulusan Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta mendapat perkenan Seri Paduka Baginda.

"Sekiranya tidak mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, rang undang-undang tersebut akan menjadi undang-undang dalam tempoh 30 hari," katanya.

Dalam banyak perkara hampir semua keputusan kerajaan yang dibuat Seri Paduka Baginda adalah atas nasihat Perdana Menteri atau Jemaah Menteri.

Namun begitu Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicara bagi melaksanakan tugas-tugas seperti melantik Perdana Menteri, tidak mempersetujui permintaan membubarkan Parlimen, dan meminta supaya diadakan satu Mesyuarat Raja-Raja yang semata-mata mengenai keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja dan mengambil apa-apa tindakan dalam mesyuarat itu, dan dalam apa-apa hal lain yang tersebut dalam Perlembagaan.

Ada beberapa tugas rasmi yang hanya boleh dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong termasuk memanggil, memberhenti dan membubarkan Parlimen.

Selain mempunyai kuasa dan budi bicara melantik seorang Perdana Menteri, Seri Paduka Baginda juga berkuasa melantik menteri-menteri lain sebagai anggota Jemaah Menteri dan Timbalan-timbalan Menteri, Peguam Negara atas nasihat Perdana Menteri.

Di samping itu, Dr Abdullah Zakaria memberitahu bahawa Seri Paduka Baginda juga mempunyai kuasa yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan perkara 150 untuk mengisytiharkan darurat, apabila baginda berpuas hati sekiranya berlaku darurat yang boleh mengancam ketenteraman awam, kehidupan, ekonomi dan keselamatan dalam Persekutuan.

PERANAN AGONG DI NEGERI DAN KEHAKIMAN

Selain menjadi Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong juga adalah Ketua Agama Islam bagi negeri-negeri yang tidak mempunyai Raja iaitu Melaka, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, Sabah, Sarawak dan negeri asal Seri Paduka Baginda.

Yang di-Pertuan Agong berkuasa melantik hakim-hakim, mengampun dan menangguhkan hukuman mengenai segala kesalahan yang dibicarakan oleh Mahkamah Tentera dan segala kesalahan yang dilakukan dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan.

Seri Paduka Baginda mengurniakan bintang-bintang kebesaran dan pingat kepada rakyat di semua peringkat.

SISTEM YANG BERKESAN

Sejak pemilihan Yang di-Pertuan Agong pertama iaitu Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhammad, Malaysia sudah mempunyai 14 orang ketua negara termasuk Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Mengikut catatan sejarah, sistem pemilihan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan oleh para Undang yang memerintah luak atau daerah di negeri itu mengikut adat Minangkabau, memberikan inspirasi kepada Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj dalam merangka kaedah pemilihan Yang di-Pertuan Agong.

Pada ketika itu, Tunku Abdul Rahman bertanggungjawab memperkemas sistem yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Reid pada 1957 di mana jawatan Yang di-Pertuan Agong bukanlah diwarisi tetapi berdasarkan kepada sistem giliran - sesuatu yang baru dan tidak pernah diamalkan oleh mana-mana negara di dunia.

Sehubungan itu, Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan memaktubkan bahawa Yang di-Pertuan Agong adalah Kepala Utama Negara. Seri Paduka Baginda mengambil keutamaan mengatasi segala orang dalam Persekutuan.

Di bawah Pindaan 1993, Yang di-Pertuan Agong, seperti juga Raja-raja, boleh didakwa atas kapasiti peribadinya dan jika didakwa bagi sebarang kesalahan di bawah mana-mana undang-undang, Seri Paduka Baginda akan dibicarakan di sebuah Mahkamah Khas yang dibentuk Majlis Raja-Raja.

DIPILIH MAJLIS RAJA-RAJA

Perlembagaan juga memaktubkan bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah dipilih oleh Majlis Raja-Raja secara undi sulit untuk tempoh lima tahun.

"Yang di-Pertuan Agong dipilih oleh Raja-Raja Melayu dalam Majlis Raja-Raja dengan sokongan majoriti untuk tempoh lima tahun.

"Dalam proses tersebut, Majlis Raja-Raja akan menawarkan jawatan Yang di-Pertuan Agong kepada Raja Melayu yang paling kanan antara baginda," kata Pensyarah Jabatan Sejarah, Universiti Malaya Prof Dr Abdullah Zakaria Ghazali.

Namun begitu, Seri Paduka Baginda boleh meletakkan jawatan pada bila-bila masa dengan mengutus surat perletakan jawatan kepada Majlis Raja-Raja atau dipecat seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

Setakat ini belum ada pemegang jawatan Yang di-Pertuan Agong yang dipecat atau meletak jawatan.

Oleh Cik Rashidah Abdul Ghani dan Sakini Mohd Said
Sumber: BERNAMA (06/04/2012)

0 comments: