Nuff Atas

08 April 2012

Peraturan Perlindungan Pengguna (Jualan Kredit) 2012


Peralatan elektrik adalah antara barangan yang dijual secara kredit - Gambar Hiasan.

Peraturan-peraturan Perlindungan Pengguna (Jualan Kredit) 2012 akan dikuatkuasa mulai 1 Oktober, 2012 untuk mengawal selia transaksi secara ansuran dengan memberi jaminan tiada lagi caj tersembunyi kepada pengguna kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata peraturan itu, yang telah digubal dan diwartakan pada 30 Mac 2012 lepas, diletakkan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 dengan tujuan memastikan maklumat penting dimaklumkan kepada pengguna secara telus oleh peniaga selain membantu kedua-dua pihak memahami peranan dan tanggungjawab masing-masing.

"Kementerian memperkenal peraturan jualan kredit bagi pembelian barang secara ansuran di mana ia merupakan satu mekanisme pengawalseliaan terhadap transaksi jualan kredit yang belum pernah dikawal selia oleh mana-mana kementerian mahu pun agensi.


"Kita juga memperuntuk masa enam bulan dari tempoh ia diwartakan supaya kementerian boleh menjalankan kempen kesedaran kepada pengguna dan memberi peluang kepada peniaga meneliti dokumen berkaitan," katanya.

Jualan kredit merupakan kaedah jualan barangan menggunakan kemudahan kredit yang diberi oleh penjual yang melibatkan bayaran secara ansuran.

Kaedah itu bagaimanapun tidak melibatkan pembelian barangan yang dibuat bayaran penuh menggunakan kad kredit kerana transaksi telah dikawal selia oleh Bank Negara di bawah Akta Perbankan dan Institusi Kewangan 1989 selain ia tidak melibatkan transaksi perkhidmatan.


Peraturan tersebut mewajibkan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam semua perjanjian atau invois berkaitan pembelian. Peraturan tersebut juga digunakan pada semua jenis perniagaan yang didaftarkan di bawah undang-undang pendaftaran perniagaan atau syarikat di seluruh negara dan ia terletak di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999. Contoh peniaga yang mengamalkan jualan kredit adalah Courts Malaysia Sdn. Bhd. (Courts), Singer dan AEON Sdn. Bhd.

Ismail Sabri berkata peraturan itu turut menggariskan beberapa aspek penting dalam pelaksanaan transaksi jualan kredit termasuk penetapan maklumat penting yang perlu dimaklumkan peniaga kepada pengguna secara lisan dan bertulis dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris di dalam satu dokumen khusus sebelum perjanjian jualan ditandatangani.

"Dokumen perlu dijadikan sebahagian perjanjian jualan kredit dan antara maklumat yang terkandung di dalamnya ialah harga jualan tunai barangan, kadar faedah yang dikenakan, tempoh ansuran, amaun bayaran bulanan, jumlah harga barangan termasuk faedah serta caj sampingan," katanya.

Peraturan itu turut menggariskan keperluan yang perlu dipatuhi berkaitan faedah, dan caj sampingan, penyelesaian awal pembayaran, penyelesaian pertikaian alternatif sekiranya berlaku kemungkiran pembayaran, penzahiran maklumat peribadi pembeli kepada pihak ketiga serta penyimpanan dan penyenggaraan rekod bayaran.

Meskipun ia tidak menetapkan format standard bagi jualan kredit, penjual atau pemberi kemudahan itu perlu memasukkan butiran berkaitan penamatan perjanjian, kesan kemungkiran dan perundingan bagi penyelesaian antara peniaga dan pengguna sekiranya berlaku sebarang perlanggaran syarat.

Beliau berkata, penjual atau pemberi kemudahan kredit perlu memasukkan butiran berkaitan penamatan perjanjian, kesan kemungkiran dan perundingan penyelesaian jika berlaku kemungkiran menerusi terma dan syarat perjanjian.

Ismail Sabri berkata sebelum ini tiada peraturan berhubung isu jualan kredit dan masalah timbul apabila banyak kes berlaku melibatkan pengguna dengan syarikat terlibat yang memerlukan pengguna merujuk kes mereka kepada tribunal (pengguna).

Ismail Sabri memberitahu, isu atau aduan yang diterima daripada pengguna berkaitan masalah transaksi ansuran antaranya adalah bayaran atau caj tersembunyi, kontrak tidak adil, bayaran yang dibeli tidak menepati standard dan kenyataan iklan yang mengelirukan.

Justeru, katanya dengan berkuatkuasanya peraturan jualan kredit itu, industri jualan kredit yang terlibat akan mengambil langkah sewajarnya bagi memenuhi kehendak peraturan.

Pihak yang melanggar peraturan akan dikenakan tindakan penalti dengan denda tidak melebihi RM50,000 bagi kesalahan pertama, tidak lebih RM100,000 bagi kesalahan kedua dan berikutnya atau dikenakan kompaun tidak melebihi 50 peratus daripada amaun denda maksimum.

Menurutnya, dalam tempoh enam bulan daripada sekarang pihak kementerian akan memastikan pihak industri jualan kredit memahami semua kehendak peraturan di samping memberi maklumat tepat kepada semua pengguna.
Ditanya adakah syarikat atau peniaga dibenarkan menambah caj-caj mengikut peraturan syarikat selepas bersetuju dengan kehendak peraturan, katanya, dibolehkan tetapi caj itu mestilah munasabah dan harus dimaklumkan kepada kementerian.

Antara maklumat penting dalam peraturan yang perlu ada dalam setiap dokumen perjanjian transaksi agar pengguna dan peniaga dilindungi secara adil dan saksama adalah seperti berikut:-

* Harga jualan tunai barangan.
* Kadar faedah yang dikenakan.
* Tempoh ansuran.
* Amaun bayaran bulanan.
* Jumlah harga barangan termasuk faedah.
* Caj sampingan.
* Caj bayaran lewat dan formula pengiraannya.
* Jumlah harga barangan termasuk faedah dan caj sampingan.
* Formula pengiraan rebat.
* Sama ada pembelian barangan tertakluk kepada pemberian rebat jika barangan itu merupakan barangan promosi atau jika barangan lain ditawarkan sebagai hadiah bagi barangan yang dijual.
* Tarikh penghantaran barangan.

Sumber:  BERNAMA dan Utusan

2 comments:

Ayie Abas berkata...

bagus lah kalau ada perlindungan utk pembeli..terutama secara kredit kerana ada kes pembeli hadapi masalah hingga muflis.

Puteri Kasih berkata...

perlindungan untuk pembeli sememangnya penting