06 April 2012

Proton Preve Dilancar 16 April 2012

Proton Preve dimajukan bertujuan mengukuhkan pasaran eksport pengeluar kereta nasional itu dan ditawarkan pada harga RM59,990 seunit bagi versi standard eksekutif transmisi manual, RM62,990 bagi standard eksekutif automatik CVT dan RM72,990 seunit bagi versi premium. [BHarian 16/04/2012]



Proton P3-21A atau nama rasminya Preve yang bakal dilancarkan pada 16 April 2012 ini merupakan kereta berharga bawah RM75,000 pertama di pasaran yang menawarkan gajet berkelas premium. Preve yang disebut 'prey-vey' ditawarkan dalam tiga varian itu terdiri daripada model manual standard, automatik standard dan automatik spesifikasi tinggi.

Model standard menggunakan enjin 1.6 liter IAFM Continuous Variable Transmission (CVT) lima kelajuan bagi model manual dan tujuh kelajuan untuk automatik. Model spesifikasi tinggi itu menggunakan enjin 1.6 liter Caj Keberkesanan Minyak (CFE) turbo dengan CVT Protonic tujuh kelajuan.

Preve mempunyai bahagian belakang yang tinggi bagi menonjolkan imej lebih sporty, di samping lampu hadapan jenis projektor jelas memperlihatkan rekaan garangnya. Saiz model baharu itu lebih besar berbanding Persona dan menurut Proton, Preve mampu bersaing dengan model seperti Honda Civic dan Kia Forte di pasaran.



SEBAHAGIAN daripada bahagian hadapan Proton Preve

Preve spesifikasi tinggi dilengkapi dengan pedal shift, sistem navigasi, penetap kelajuan, butang menghidupkan enjin dan sistem pengesan cuaca serta cahaya yang membolehkan pengelap cermin dan lampu berfungsi secara automatik jika diperlukan.

Bagi ciri keselamatan, Preve dilengkapi empat beg udara, kerangka kukuh yang menerima penarafan lima bintang oleh Australia Cap dan lampu amaran di bahagian belakang yang berfungsi apabila pemandu menekan brek pada kelajuan melebihi 95 km/j.

Konsep kemasan dalaman pula menggunakan elemen semula jadi seperti kayu dan permukaan papan pemuka bercorak kulit kayu, manakala ruang kaki lebih luas berbanding pesaingnya selain ruang menyimpan barang bersaiz 508 liter di bahagian bonet.

Pada sesi pandu uji bagi perjalanan dari Putrajaya ke Seremban, Preve menunjukkan prestasi enjin yang sangat baik dengan mampu mencecah kelajuan maksimum 180 km/j untuk model automatik standard dan 200 km/j untuk automatik spesifikasi tinggi tanpa sebarang masalah.

Ruang kabin kereta yang disasarkan untuk pasaran global ini juga adalah lebih senyap berbanding model-model sebelumnya dan kawalan pemanduan yang menerima sentuhan teknologi Lotus memberi tindak balas baik di selekoh pada kelajuan tinggi.

Pengarah Urusan Proton, Datuk Seri Syed Zainal Syed Mohd. Tahir berkata, Preve dijangka mampu terjual sekitar 4,000 hingga 4,200 buah sebulan dan ketika ini telah menerima lebih 1,000 buah tempahan.

"Preve merupakan perintis kepada perubahan penghasilan kereta baharu Proton pada masa depan dengan fokus ke arah pasaran luar seperti ASEAN, Australia, China dan Asia Barat.

"Pasaran eksport ketika ini adalah 20 peratus daripada jualan dan kami jangka akan meningkat dengan kehadiran Preve yang akan mula dieksport selepas tiga bulan dilancarkan nanti," katanya kepada pemberita semasa sesi pandu uji kereta baharu berkenaan.

Sumber: Utusan

Preve penanda aras kualiti kereta PROTON 


PANDANGAN bahagian depan model baru PROTON Preve.


PROTON Preve lebih menarik dan menepati penanda aras antarabangsa.


PROTON Preve perbetul persepsi negatif spesifikasi kereta nasional

PROTON Preve, model baru yang akan dilancarkan PROTON Holdings Bhd pada 16 April 2012 ini bakal menjadi penanda aras bagi pengeluar kereta nasional itu dalam menetapkan standard dan kualiti dalam membangunkan produk baru pada masa depan. Kereta yang direka serta dibangunkan sejajar keperluan perundangan dan peraturan automotif global itu juga bakal memperbetulkan persepsi serta pandangan negatif umum terhadap spesifikasi dan kualiti kereta keluaran PROTON Holdings sebelum ini.

Sedan baru PROTON yang akan merapatkan jurang segmen di antara model Persona dan Inspira, serta akan bersaing dalam kelas sama dengan Toyota Corolla Altis, Honda Civic 1.8 liter dan Kia Forte itu juga disasarkan mengukuhkan pasaran eksport pengeluar kereta nasional itu.

Pengarah Urusan PROTON Holdings, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, beliau yakin PROTON Preve akan membuka lembaran baru buat syarikat kereta nasional itu dalam memasarkan produk yang menepati semua cita rasa pasaran.

“Sebelum ini, PROTON Holdings tidak membuat sebarang kajian khusus dan mendalam dalam pasaran yang ingin diterokai.

“Bagaimanapun, bermula dengan PROTON Preve, kami membuat perubahan dengan menghantar beberapa pasukan ke pasaran sasaran bagi memahami keperluan khusus mereka, memahami bagaimana mereka memandu agar dapat menyesuaikan model baru ini ke pasaran berkenaan, selain menghantar pasukan ujian melakukan analisis data pengguna mengenai pelbagai mod pemanduan.

“Semua ini kami lakukan khusus bagi memahami dengan mendalam selain mendapat gambaran dan kemahuan sebenar pengguna di semua pasaran sasaran kerana setiap pasaran berbeza dan mempunyai corak pemanduan berbeza,” katanya dalam taklimat media dan pandu uji PROTON Preve di Putrajaya, pada 4 April 2012. Pandu uji itu membabitkan perjalanan sehingga 156 kilometer antara Putrajaya ke Seremban, Negeri Sembilan.

Syed Zainal berkata, sebagai permulaan, pihaknya memperuntukkan 20 peratus daripada jumlah pengeluaran PROTON Preve untuk pasaran eksport.

“Selain pasaran domestik, Proton Preve akan dieksport ke luar negara, dengan Indonesia sebagai destinasi pertamanya pada Julai atau Ogos ini, sebelum memasuki Thailand, Australia, United Kingdom dan Asia Barat,” katanya.

Beliau melahirkan keyakinan PROTON Preve akan mencatatkan jualan luar biasa berbanding model lain berikutan cirinya yang menepati pelbagai penanda aras antarabangsa yang ditetapkan bagi sebuah syarikat pengeluar kenderaan, khususnya dari segi standard pelepasan asap selain dilengkapi ciri keselamatan termasuk empat beg udara, sistem kawalan brek ABS, EBD serta sistem kawalan penstabilan elektronik (ESC).

Selain ciri keselamatan, model itu juga dilengkapi pelbagai rekaan terkini serba lengkap, sama ada dari aspek kelengkapan aksesori mahu pun utiliti.

Syed Zainal berkata, PROTON Preve akan ditawarkan pada harga RM62,000 seunit bagi versi standard, RM65,000 bagi versi sederhana dan RM75,000 seunit bagi versi premium. Ia akan ditawarkan dalam enam pilihan warna, iaitu perak, hitam, putih, coklat, merah dan biru.

Setakat ini, PROTON Holdings telah menerima 1,000 unit tempahan bagi model Preve sejak mula ditampilkan secara ‘teaser’ pada Pameran PROTON Power of 1 di Bukit Jalil, bulan Mac 2012 lalu.

Mengenai pemilihan nama, Syed Zainal berkata nama Preve yang dalam bahasa Sepanyol bermaksud ‘bukti’ atau ‘memandang ke depan’ dipilih bagi menggambarkan komitmen serius kumpulan dalam mengeluarkan produk bermutu yang memenuhi semua syarat ketat dan keperluan pasaran eksport.

“Kami mahu menjadi pembuat dan pengeluar kereta global dengan penampilan global, pemikiran global dan yang nyata kami memerlukan nama yang boleh menunjukkan tahap syarikat hari ini dan ke mana hala tujunya di masa depan,” katanya.

Oleh Ahmad Farizal Hajat
Sumber: BHarian

0 comments: