19 April 2012

Rang Undang-Undang RELA 2012

Rang Undang-Undang RELA 2012 dibentang untuk penambahbaikan
* Gugur hak bawa senjata api
* Tak boleh buat tangkapan




Kuasa membawa senjata api, menahan dan memeriksa serta menangkap individu disyaki pengganas atau pendatang tanpa izin yang diperuntukkan kepada 2.94 juta anggota RELA akan digugurkan apabila Rang Undang-Undang Pasukan Sukarelawan Malaysia (RELA 2012) dibentangkan di Dewan Rakyat, Rabu 18 April 2012.

Rang undang-undang itu turut menetapkan had minimum umur menyertai RELA dinaikkan daripada 16 tahun kepada 18 tahun, selain anggota perlu memperbaharui keahlian setiap lima tahun sebagai langkah mengenal pasti ahli aktif.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata cadangan kepada akta baru itu akan dijadikan sebagai standard pelaksanaan operasi dalam tugasan harian seperti rondaan kawasan selain membendung salah laku dan kuasa oleh anggota RELA.


Katanya, penggubalan akta itu bukan saja bagi memastikan badan itu terus relevan dengan tuntutan semasa malah sejajar dengan aspirasi rakyat yang mahu penambahbaikan dalam badan sukarelawan itu.


Rang undang-undang RELA 2012 dijangka dibentangkan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Abu Seman Yusop bagi menggantikan Peraturan Perlu Ikatan Relawan Rakyat 1964 Pindaan 2005 yang akan berhenti berkuat kuasa pada 21 Jun 2012 selepas penarikan balik Proklamasi Darurat 1969.

Hishammuddin berkata, RELA adalah aset yang tidak boleh dipandang remeh dan akan mempunyai skop tugas baru merangkumi usaha mengurangkan jenayah di bawah NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara).

“Dengan pemansuhan Ordinan Darurat, kita melihat RELA berperanan strategik dan penting (termasuk pemupukan perpaduan kaum),” katanya.

Hishammuddin berkata, akta baru itu juga menggariskan peranan dan tugas khusus RELA yang tidak lagi tertumpu kepada operasi membabitkan pendatang tanpa izin tetapi diperkasa kepada usaha mengurangkan jenayah di bawah NKRA, rondaan 1Malaysia, rondaan bersama polis dan terbabit dengan operasi aman oleh agensi kerajaan.

Anggota RELA juga akan ditempatkan untuk mengawal keselamatan di sasaran penting kerajaan seperti stesen jana kuasa, pusat telekomunikasi, lapangan terbang kecil di Sabah dan Sarawak, selain menjaga keselamatan di 14 depoh tahanan sementara pendatang tanpa izin.

Katanya, penggubalan akta itu juga akan menetapkan keperluan latihan kepada anggota RELA dan mengutamakan aspek kebajikan pihak terbabit.

“Latihan ini juga untuk pastikan anggota RELA tak dieksploitasi dan lari daripada agenda nasional kerajaan,” katanya.

Menerusi peruntukan akta itu juga, Ketua Pengarah RELA boleh mengisytiharkan sesuatu kawasan sebagai kawasan RELA atas keperluan penugasan, memberi kuasa kepada Menteri Dalam Negeri melantik ahli kehormat dan bersekutu RELA, keperluan membayar elaun anggota, pemberian uniform dan kuasa mengubah haluan motor.



INFO: Rang Undang-Undang Pasukan Sukarelawan Malaysia 2012

1. Tugas setiap pegawai dan anggota RELA:
a. membantu pasukan atau pihak berkuasa keselamatan apabila diminta.
b. memberi bantuan mengawal dan mengubah haluan kenderaan bermotor.
c. mengambil bahagian dalam khidmat masyarakat.
d. membantu melindungi bangunan atau harta lain milik Kerajaan Persekutuan, - menjalankan perintah dan arahan dikeluarkan Ketua Pengarah selaras peruntukan Akta ini.

2. Pendaftaran sebagai anggota RELA:
a. berumur 18 tahun dan ke atas
b. warganegara
c. bukan anggota angkatan tentera/pasukan/skim sukarelawan

3. Tempoh pendaftaran setiap anggota RELA selama lima tahun dan boleh dilanjutkan oleh Ketua Pengarah atau pegawai diberi kuasa.
4. Majikan wajib memberi cuti untuk anggota RELA menjalani latihan, tidak lebih 10 hari pada satu-satu masa.
5. Majikan dilarang membuang pekerja atas alasan menjalani latihan RELA.

6. Anggota RELA bertugas dibayar elaun ditentukan Menteri selepas berunding dengan Menteri Kewangan.
7. Mana-mana orang yang menghalang atau cuba/membantu menghalang sesiapa mendaftarkan diri dalam RELA atau melaksanakan tugas/kuasa sebagai anggota RELA, adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau dipenjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.
8. Sebarang penyamaran sebagai pegawai/anggota RELA adalah kesalahan dan apabila disabitkan, boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau dipenjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

9. Pegawai atau anggota RELA yang berhenti hendaklah mengembalikan pakaian seragam dan kelengkapan dibekalkan kepadanya, dalam tempoh 14 hari.
10. Ketua Pengarah, Timbalan Ketua Pengarah, pegawai dan setiap anggota RELA ketika menunaikan tugas hendaklah disifatkan sebagai penjawat awam dalam pengertian Kanun Keseksaan (Akta 574).
11. Pemakaian Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948 kepada Ketua Pengarah, Timbalan Ketua Pengarah, pegawai dan setiap anggota RELA.

Oleh Syuhada Choo Abdullah, Faiza Zainudin dan Syed Azwan Syed Ali
Sumber: BHarian

Penggubalan akta RELA 2012 itu adalah bagi memastikan RELA terus relevan dan menjadikan badan sukarela itu lebih menarik dan dinamik. Pasukan sukarelawan di negara ini pada mulanya ditubuhkan sebagai Home Guard atau Pengawal Kampung bertujuan menjaga keselamatan setempat apabila darurat diisytiharkan pada 1948.

Pasukan ini kemudian dibubarkan selepas darurat tamat pada 31 Julai 1960 dan digembleng semula apabila negara menghadapi konfrontasi dengan Indonesia dari 1963 hingga 1965. Pasukan kawalan pada ketika itu diwujudkan bagi membantu agensi keselamatan menangani pendaratan dan penyusupan rakyat Indonesia.

Perkhidmatan ini juga ditamatkan apabila konfrontasi berakhir tetapi pada 1972, kerajaan mengambil keputusan untuk menubuhkan RELA di bawah Seksyen 2, Akta (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1964, berikutan tragedi 13 Mei 1969.

Kini akta itu (Pindaan 2005) dipinda lagi dan berkuat kuasa pada 21 Jun ini selepas penarikan balik Proklamasi Darurat 1969. Seperti ditegaskan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, RELA adalah aset yang tidak boleh dipandang remeh dan mempunyai skop tugas baru merangkumi usaha mengurangkan jenayah.

Penambahbaikan ke atas tugas RELA ini membolehkannya membantu polis menjaga keselamatan di kawasan yang memerlukan bantuan mereka. Akta baru ini menetapkan beberapa garis panduan atau prosedur operasi standard (SOP) sejajar perubahan dilakukan. Akta itu menetapkan anggota RELA perlu menjalani latihan bagi memastikan anggota RELA tidak dieksploitasi mana-mana pihak dan tidak lari daripada agenda kerajaan.

Sumber: BHarian [19/04/2012]

RELA Nikmati Elaun Baru Sejak Julai 2012

Seramai 10,000 anggota Pasukan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) yang menyertai tugas rondaan bersama pasukan keselamatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini menikmati elaun bulanan baru antara RM1,200 hingga RM1,500 sebulan bermula Julai 2012.

Ketua Pengarah RELA, Datuk Mustafa Ibrahim berkata, elaun tersebut adalah satu pengiktirafan kerajaan kepada anggota RELA yang kebanyakannya tidak mempunyai pekerjaan dan berkhidmat secara sukarela dengan elaun harian yang kecil.

Katanya, sebelum ini anggota RELA hanya dibayar elaun antara RM10 hingga RM20 ketika diminta menjalankan tugas pengawalan di sesuatu majlis dan program anjuran pelbagai jabatan dan agensi kerajaan.

"Transformasi terhadap Rela yang dilaksanakan kerajaan menyebabkan anggota agensi itu turut berubah dalam semua aspek selain mendapat elaun lebih tinggi di samping menjalankan tugas yang lebih mencabar," katanya.

"Mereka akan turut diberi perlindungan insurans sehingga RM40,000 jika meninggal dunia ketika menjalankan tugas rasmi ini," katanya.

Beliau berkata, minat rakyat di negara untuk menyertai RELA mula menunjukkan perkembangan positif apabila keanggotaan agensi itu kini mencapai dua juta ahli berbanding 530,000 pada 2008.

Sumber: BHarian [23/09/2012]

3 comments:

Unknown berkata...

setuju dalam beberapa hal :)

ch000tz berkata...

noted :)

yusuflaili(Goku) berkata...

salam;
setuju sangat dgn akta baru rela ni..dgn adanya akta ni maka pegawai dan anggota rela lebih releven sebaris dgn Jpam dan askar wataniah yang mempunyai sistem pentadbiran,pasukan,kenaikan pangkat,kursus dan latihan yang lebih tersusun,dinamik dan pro.