12 Mei 2012

Budi Misi @ Jururawat

SELAMAT MENYAMBUT HARI JURURAWAT ANTARABANGSA [12 MEI 2012]



MEREKA adalah insan gigih yang tidak pernah menolak beban tugasan diberikan. Biarpun bergelumang dengan perasaan cemas, namun keberanian mengatasinya. Biarpun terpaksa 'bermain' dengan darah, membersihkan luka dan nanah serta diri pesakit, diherdik dan meredah tugasan dalam bentuk syif dan bersabar dengan kerenah pesakit serta ahli keluarga mereka - semuanya diredah atas nama tanggungjawab.

Ringkasnya, kepentingan dan keperluan diri menjadi perkara kedua walaupun terpaksa berjauhan dengan keluarga apabila berkhidmat di bandar mahu pun ceruk negara. Tidak ketinggalan, budi yang ditabur tidak mengira masa, termasuk pada cuti umum.

Itulah pengorbanan ‘wira’ dalam bentuk jururawat yang seputih pakaian seragam mereka mencurahkan bakti dan kudrat. Namun, sejauh manakah budi mereka dihargai dan dihayati?




12 Mei yang diisytiharkan Hari Jururawat Antarabangsa diraikan oleh 96,000 jururawat seluruh Malaysia.
Apa uniknya sambutan di Malaysia?

Presiden Persatuan Jururawat Malaysia (MNA), Dame Ramziah Ahmad, berkata bertemakan ‘Closing Gap From Evidence To Action’, sambutan Hari Jururawat Antarabangsa yang diadakan di Shah Alam Convention Centre (SACC) pada 12 Mei 2012, menjadi antara tanda aras kejayaan jururawat di Malaysia.

Lebih istimewa, sambutan yang diadakan buat julung kali itu juga bakal mengangkat tiga tokoh dalam bidang kejururawatan membabitkan tokoh akademik, tokoh pendidikan dan tokoh komunikasi.

Rasionalnya bagi membolehkan mereka dijadikan contoh oleh jururawat sedia ada selain membawa dunia kejururawatan pada peringkat lebih tinggi, dihormati dan sentiasa berada di hati orang ramai seperti kerjaya lain termasuk perguruan dan sebagainya.

“Saya dapat merasakan apabila kita mengadakan sambutan secara besar-besar dan dipromosikan pula pihak media, kami sebagai jururawat berasa sangat berbesar hati dan bangga.

“Sungguh pun ramai pihak beranggapan kerja sebagai jururawat tidak sukar, tetapi ia sebenarnya amat mencabar. Apa tidaknya, waktu kerja mereka tidak sama seperti seperti orang lain yang bertugas 9 pagi hingga 5 petang, sebaliknya jururawat ada syif malam.

“Dengan keadaan masing-masing yang mempunyai peranan sebagai isteri, ibu serta menantu, tulus saya katakan jururawat sememangnya istimewa,” katanya Dame Ramziah Ahmad .

Mengulas tema global kali ini yang antara lainnya mengenai usaha merapatkan jurang dan mengubah bukti kepada tindakan, Ramziah yang mempunyai pengalaman 38 tahun terbabit dalam dunia kejururawatan dengan jawatan tertinggi sebagai Matron dan terkini, Dekan Fakulti Kejururawatan Allianze University Collage of Medical Sciences, Pulau Pinang, berkata, usaha itu menyentuh aspek transformasi keperluan profesion mempraktikkan tugasan kepada pesakit, berdasarkan kajian saintifik dan bukannya kerana ‘mengikut cara senior’.

Ini termasuk mengurangkan luka tekanan. “Dulu, jururawat akan mengurut belakang pesakit terlantar setiap empat jam sekali atas kepercayaan sentuhan dan urutan boleh kurangkan luka tekanan. Tetapi bukti saintifik teknik itu dapat kurangkan luka tekanan tidak ada. Ia hanya berdasarkan kepercayaan dan ‘ikut senior’ buat.

“Sebaliknya kajian membuktikan penggunaan alas katil khas serta mengalihkan pesakit dari kiri ke kanan ada bukti saintifik mengatakan boleh mengurangkan luka tekanan, maka kita akan praktikkan hal itu. Selaras dengan profesion itu di seantero dunia,” katanya.

Bagaimana pula dengan aspek pengambilan tenaga kerja jururawat, termasuk kenyataan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Shirlin baru-baru ini menyarankan hospital dan klinik swasta mengutamakan pengambilan jururawat tempatan berbanding rakyat asing?

Ramziah tidak menafikan keadaan itu berlaku lantaran pihak segelintir hospital dan pusat kesihatan lebih rela menggajikan jururawat berpengalaman, biarpun gaji ditawarkan lebih tinggi kerana memiliki pengalaman berbanding ‘menggajikan’ jururawat baru yang perlu dilatih, dipantau dalam usaha mengutip pengalaman.

Tegasnya keadaan itu tidak seharusnya berlaku. Sambil memuji keprihatinan kementerian, khususnya Rosnah, Ramziah berkata lambat laun keadaan diyakini dapat dikurangkan secara perlahan-lahan apatah lagi kerajaan dalam usaha mensasarkan seorang jururawat untuk 200 pesakit dapat dicapai menjelang 2015 berbanding nisbah 1:374 ketika ini. Sasaran itu tidak bersandarkan kepada kuantiti, sebaliknya kualiti.

“Kalau dulu, untuk mengambil diploma pelajar perlu mendapat 3 saja kredit dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tetapi dalam usaha memastikan kualiti, syarat kemasukan dinaikkan kepada 5 kredit. Sejak syarat kemasukan itu diketatkan, jumlah permohonan menunjukkan penurunan, tetapi itulah hasilnya.

“Kita mahu hanya individu yang benar-benar layak saja boleh menjadi jururawat. Pada masa sama kita tidak mahu orang melihat kerjaya kejururawatan sebagai pilihan terakhir atau mengambil diploma kerana ‘itu saja yang mampu dengan kredit yang rendah’,” katanya.

Mengenai penyertaan pelajar lelaki ke dalam dunia kejururawatan, Ramziah berkata ia dialu-alukan malah mereka turut memperoleh peluang kenaikan pangkat serta gaji sama seperti jururawat wanita.

“Bilangan jururawat lelaki hanya 20 peratus dan bilangan itu amat kecil. Tenaga jururawat lelaki sememangnya amat kita perlukan terutama dalam menguruskan pesakit lelaki, mengendalikan peralatan atau mesin di unit rawatan rapi atau mesin haemodialisis contohnya,” katanya.

Sekiranya guru dikaitkan dengan beban kerja yang tinggi gesaan untuk semua guru memiliki ijazah. Apa pula masalah berlegar dalam dunia kejururawatan?

Kesilapan perubatan, kata Ramziah, seperti pemberian ubat, dos serta pemberian darah tercemar, antara boleh merosakkan martabat kejururawatan dan ia boleh dikurangkan menerusi latihan, etika dan tanggungjawab yang tentunya boleh matang bersama tempoh pengalaman perkhidmatan.

Bagaimana pula dengan persepsi jururawat bengis? Sambil tersenyum, beliau turut mengakui hal itu, malah ketika zamannya bergelar jururawat, keadaan itu sudah terjadi.

“Tetapi itu dulu. Mereka garang kerana mereka punyai ilmu. Kalau doktor memberikan sesuatu dos, dan jururawat itu berasa sangsi, dia akan bertanya kembali kepada doktor berkenaan. Bukan kerana dia nak tunjuk pandai, tetapi kerana prihatin lantaran kesilapan boleh mengundang parah kepada pesakit. Tetapi hari ini, tidak lagi. Apa pun segala-galanya sudah berubah, pesakit pun sudah tahu apa yang perlu dilakukan sekiranya seseorang jururawat itu tidak disenangi,” katanya.

Ramziah turut menegaskan, generasi Y hari ini perlu diajar dengan cara lebih kreatif dan interaktif berbanding dengan zamannya dulu.

“Tenaga pengajar perlu kreatif. Sekiranya tidak, mereka sukar menerimanya. Sungguhpun pelajar ini sukakan pendekatan teknologi komunikasi ketika belajar, hakikatnya sentuhan manusia dalam merawat pesakit bila bergelar jururawat kelak amat mustahak. Dan di sinilah perlunya ‘soft skill’ diajari menerusi latihan praktikal,” katanya.

Jururawat kita jadi pilihan di luar negara

MENGENAI perkembangan hampir 1,000 jururawat tempatan berkerja di luar negara, Ramziah berkata dia mempunyai dua rasa iaitu bangga tetapi pada masa sama sedih.

“Mac lalu ketika melakukan Umrah, saya dijemput memberi ceramah di sebuah hospital di Jeddah, Mekah. Ada kira-kira 15 jururawat Malaysia yang berkhidmat di sana. Saya bertanya kepada setiap orang kenapa mereka berkhidmat di sana. Apa yang dapat saya simpulkan, selain mendapat pengalaman serta gaji yang lebih besar, mereka berhasrat ‘memindahkan’ teknologi serta ilmu diperoleh itu nanti ke Malaysia untuk manfaat negara.

“Saya berasa sedikit terkilan, bila memikirkan jururawat yang berhijrah ini adalah senior dan berpengalaman, tetapi mereka manfaat ilmu kepada orang luar. Tetapi pada masa sama saya tetap berbangga kerana Kerajaan Arab Saudi memberikan pengiktirafan yang tinggi kepada jururawat kita kerana mereka amat profesional dan disenangi berbanding jururawat dari negara Asia lain,” katanya yang mengatakan kerajaan negara itu kini dalam proses melahirkan jururawat berikutan berlaku kekurangan tenaga kerja dalam sektor terbabit.

“Kami di persatuan berazam memantapkan kerjaya ini, bukan saja menerusi promosi di media seperti sambutan hari jururawat, tetapi mulai bulan Mei ini kami melakukan program ‘turun padang’ dengan melaksanakan program pemeriksaan kesihatan secara percuma. Program sama akan turut diadakan di seluruh negara.

“Lebih manis, ia bagaikan serampang dua mata. Bukan saja jururawat dekat dengan masyarakat, penduduk akan semakin sedar mengenai penjagaan kesihatan diri dan keluarga, malah sumbangan menerusi pendermaan darah juga banyak kami peroleh,” katanya.

Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof
Sumber: BHarian

Elaun Pelatih Institusi Latihan Kementerian Kesihatan  88 Peratus


ELAUN baharu yang bakal dinikmati jururawat pada tahun 2013 bakal meningkatkan semangat mereka untuk bekerja. - Gambar hiasan

Kira-kira 20,000 pelatih peringkat sijil dan diploma di semua institusi latihan Kementerian Kesihatan akan menikmati kenaikan elaun antara 60 dan 88 peratus mulai tahun 2013 depan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pelatih peringkat sijil akan menerima RM835 sebulan berbanding RM517 sekarang, manakala pelatih peringkat diploma pula menerima RM1,166.58 berbanding RM621.21.

"Kenaikan kadar elaun itu yang diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Belanjawan 2013 membuktikan kerajaan sangat prihatin dengan beban kos sara hidup yang ditanggung pelatih," katanya  selepas merasmikan konvokesyen Institut Latihan Kementerian Kesihatan.

Kementerian juga akan mewujudkan 12,000 jawatan baharu jururawat bagi tempoh 2012 hingga 2015 untuk meningkatkan perkhidmatan kejururawatan selain menampung keperluan klinik dan hospital baharu.

Sumber: Kosmo [16/10/2012]

1 comments:

Unknown berkata...

selamat hari jururawat buat semua nurses yg comel