12 Mei 2012

Ramai Jururawat Pakar Diperlukan Di Sektor Kesihatan


12 Mei adalah Hari Jururawat Antarabangsa. Apakah tedapat perbezaan Jururawat Pakar (CNS) dengan jururawat terlatih?

Siew Bee (bukan nama sebenar) mempunyai anak lelaki berumur lima tahun. Pada umur dua tahun, anak itu dimasukkan ke hospital kerana jangkitan kuman di paru-parunya.

Setelah agak lama di hospital dan beransur pulih, doktor membenarkan kanak-kanak itu pulang tetapi dia memerlukan mesin 'pemekatan oksigen' atau oxygen concentrator selain tangki oksigen untuk kegunaan di rumah.

Siew Bee agak bernasib baik kerana hospital itu mempunyai Jururawat Pakar Klinikal (atau dikenali sebagai CNS) bagi penyakit respiratori (pernafasan) yang membantu beliau menguruskan perpindahan anaknya dari hospital ke rumah.


"Saya bernasib baik kerana semasa doktor membenarkan anak saya pulang, saya terima bantuan daripada seorang jururawat pakar. Beliau membantu menghubungi pembekal tangki dan mesin oksigen.

"Beliau juga membantu berhubung dengan pekerja sosial hospital bila saya tidak mampu mendapatkan peralatan itu. Kedua-dua alat itu mahal tetapi dengan bantuan jururawat pakar, pihak hospital menolong saya mendapatkan peralatan yang penting bagi kegunaan anak saya menjalani pemulihan di rumah," terang Siew Bee kepada penulis di sini baru-baru ini.

Menurut Siew Bee, kehadiran jururawat pakar itu banyak membantu beliau.

"Kalau nak harapkan doktor menguruskan semua perkara, memang tidak adil kerana doktor dibebani banyak tugas dari segi rawatan pesakit dan tidak punya banyak masa (untuk membantu mendapatkan peralatan perubatan)," kata Siew Bee.

JURURAWAT PAKAR

Mungkin ramai berpendapat tiada bezanya antara Jururawat Pakar (CNS) dengan jururawat terlatih dari aspek menjaga pesakit.

Tetapi dalam kelompok perkhidmatan kejururawatan, CNS adalah jururawat terlatih lanjutan yang berjaya menjalani program ijazah sarjana muda atau sarjana untuk menjadi pakar dalam bidang kejururawatan spesifik.

Jururawat pakar memberi fokus terhadap kelompok pesakit yang tertentu. Antaranya, jururawat pakar boleh fokus terhadap kumpulan penyakit seperti endokrin (contohnya diabetis), pernafasan (seperti lelah, keradangan paru-paru dan emfisema) serta kardiovaskular (sakit jantung dan hipertensi antara lain).

Seorang jururawat pakar boleh bertugas dalam suasana klinikal yang berlainan, antaranya dewan bedah, bilik rawatan kecemasan dan juga wad penjagaan kritikal. Beliau juga boleh fokus terhadap kaedah perawatan yang spesifik seperti surgikal dan penjagaan kaki.

Ketika ini terdapat ramai jururawat dalam industri penjagaan kesihatan, adakah masyarakat memerlukan kehadiran jururawat pakar?

Itulah persoalan yang penulis tujukan kepada seorang jururawat pakar yang hanya mahu dikenali sebagai Freeda Hanum.

OPTIMUMKAN PENJAGAAN PESAKIT

Menurut Freeda, jururawat pakar mempunyai pengetahuan dan kebolehan bukan sahaja dalam memberi diagnosis dan perawatan bagi pesakit tetapi juga berupaya memberi penerangan kepada jururawat tugasan umum yang lain.

Kata beliau, jururawat pakar boleh ditugaskan di mana-mana aspek profesion kejururawatan antaranya populasi pediatrik (kanak-kanak), penyakit (kanser/onkologi), jenis perawatan (psikiatri atau pemulihan) dan juga jenis masalah (luka atau sakit).

"Jururawat pakar bekerjasama dengan jururawat lain bagi mengoptimumkan penjagaan pesakit yang merangkumi konsultasi dengan doktor, membuat analisis terhadap alternatif perawatan serta mengajar tenaga kejururawatzan tentang prosedur baharu.

"Mereka (jururawat pakar) menjalinkan semangat bekerja secara berpasukan dalam kalangan petugas penjagaan kesihatan dan membuat keputusan tentang cara terbaik dalam membahagikan sumber dan petugas di dalam wad hospital," jelas Freeda.

Jururawat pakar juga boleh memeriksa pesakit dan memberi evaluasi tentang isu-isu kesihatan spesifik selain daripada menyediakan pelan penjagaan khas bagi pesakit dan keluarga mereka.

Biasanya jururawat pakar akan membahagikan masa mereka antara menjaga pesakit, melakukan kajian, mengajar, mengurus dan melakukan konsultasi.

MEMPERTINGKAT KEPUASAN PESAKIT

Menurut Freeda, jururawat pakar boleh membantu dalam mempertingkat kepuasan pesakit selain mengurangkan komplikasi perubatan yang dialami mereka.

"Jururawat pakar adalah serba boleh. Mereka melengkapkan jururawat lain dengan kebolehan peranan memimpin dan mengajar dalam bidang masing-masing.

"Walaupun peranan yang dimainkan jururawat pakar adalah di sekitar suasana hospital, jururawat pakar juga boleh berfungsi dalam pelbagai suasana klinikal seperti klinik sehingga kepada fasiliti rawatan jangka panjang," terang beliau.

PERANAN UTAMA

Seorang lagi jururawat pakar, Ng Ai Lee, menjelaskan bahawa jururawat pakar memainkan peranan utama dalam pengurusan kes pesakit.

"Mereka bekerja rapat dengan doktor serta anggota pasukan rawatan yang lain. Mereka juga memberi pengetahuan dan sokongan terhadap pesakit, keluarga mereka dan juga penjaga pesakit," kata Ng.

Menurut Ng, jururawat pakar mempunyai maklumat tentang kesan fizikal, psikologi dan sosial yang dialami pesakit kerana mereka bertugas di hospital atau dari hospital dan mempunyai akses dan data tentang rekod perubatan pesakit.

"Ada jururawat pakar yang akan melawat pesakit selepas pesakit dibenarkan pulang dari hospital. Ada hospital yang mempunyai jururawat pakar dalam bidang seperti jantung, respiratori, onkologi, neurologi selain perubatan buah pinggang," terang beliau.

Kata Ng lagi, laporan yang disediakan jururawat pakar mempunyai keterangan seperti diagnosis, sejarah perubatan ringkas, keputusan pemeriksaan klinikal, medikasi, pelan rawatan dan respons serta aspek lain.

"Tetapi bagi pesakit yang mempunyai lebih daripada satu masalah kesihatan, jururawat pakar tidak akan dapat menyediakan maklumat terperinci di luar dari bidang mereka atau tidak berupaya memberikan pendapat serta komen terhadap masalah penyakit yang berbilang punca," tambah beliau.

Menurut statistik, jumlah jururawat terlatih yang bertugas dalam sektor awam dan swasta di Malaysia kini lebih daripada 80,000 orang, tetapi tidak sampai 500 daripadanya merupakan jururawat pakar.

Oleh Zulkiple Ibrahim
Sumber: BERNAMA [09/05/2012]

0 comments: