12 Mei 2012

Jururawat Bertugas Malam Dilanda Fenomena 'Kurang Tidur'?


12 Mei diisytiharkan Hari Jururawat Antarabangsa. Apakah benar Jururawat Bertugas Malam Dilanda Fenomena 'Kurang Tidur'?

Mary Lim bertugas di sebuah hospital di sini dan pada setiap dua minggu, beliau bertugas syif malam untuk selama dua hari.

"Berbeza daripada anggapan biasa, kerja malam memang meletihkan. Saya tidak cukup tidur dan adakalanya pada malam-malam lain bila saya tidak bertugas, saya turut mengalami masalah tidur," katanya.

Menurut pakar penjagaan kesihatan, masalah gangguan tidur berpunca daripada situasi tidak cukup tidur dan boleh wujud dalam keadaan kronik atau akut. Gangguan tidur kronik akan menyebabkan orang yang mengalaminya menjadi letih dan kelesuan.

Menurut Lim, tugas jururawat yang bekerja malam adalah sama dengan tugas dan tanggungjawab jururawat yang bekerja pada syif lain (pagi atau petang).


Menurut beliau, sesetengah dalam kalangan masyarakat mungkin mempunyai persepsi bahawa jururawat bertugas malam tidak banyak kerja disebabkan sebahagian besar pesakit di dalam wad hospital tidur pada waktu malam.



MEMANTAU SITUASI PESAKIT

Menurut Lim, bekerja syif malam bukanlah senang seperti anggapan ramai anggota masyarakat kerana jururawat terpaksa memantau situasi pesakit secara berterusan selain daripada memenuhi apa yang diminta oleh pesakit dan juga ahli keluarga (bagi mereka yang memerlukan bantuan).

"Bagi saya, bahagian yang paling sukar adalah belajar bagaimana nak bertukar kepada jadual tidur yang berubah. Dalam banyak situasi, jururawat yang bertugas malam sebenarnya tidur tidak menentu dan waktu tidurnya hanya beberapa jam sahaja sehari, tidak tentu masa," terang Lim.

Di Malaysia, jadual tugas malam jururawat biasanya bermula dari pukul 9 malam hingga 7 pagi keesokannya. Dan selepas itu jururawat berkenaan akan pulang ke rumah untuk berehat.

"Tetapi tidur pada waktu siang adalah agak sukar. Bila ini berlaku, jururawat itu kurang rehat. Di rumah, jururawat itu terpaksa menguruskan hal-hal peribadi dan yang paling malangnya, dia akan terjaga dan tidak boleh tidur sehingga syif berikutnya tiba," kata Lim yang masih bujang.

Seorang jururawat kanan, Rohida Zainal, berkata memang ada petugas yang sesuai dan boleh bekerja malam.

"Ini suatu perkara yang bagus kerana hospital dan institusi perubatan beroperasi 24 jam," kata beliau.

JURURAWAT TUGAS MALAM 'ANDAL'

"Sudah tentu, bagi hospital dan klinik yang beroperasi sehingga malam dan subuh pagi, mereka memerlukan jururawat yang boleh diharap dan dipercayai bagi menjaga pesakit," kata Rohida.

Kata Rohida, walaupun hospital Malaysia mengamalkan jadual kerja dari pukul 9 malam hingga 7 pagi bagi jururawat bertugas malam, ada juga petugas syif malam yang memulakan tugas mereka dari pukul 8 malam.

"Ia memerlukan seseorang yang istimewa untuk bertugas sebagai jururawat syif malam. Jadual tidurnya sudah jadi lain dari orang lain yang bekerja syif biasa. Ini sebenarnya memerlukan penyesuaian yang agak ketara," terang beliau.

Menurut Rohida, bertugas syif malam boleh menimbulkan masalah bagi jururawat yang sudah punya keluarga.

"Kami (jururawat) nak kena jaga anak, jaga suami. Jadi walaupun dah sampai rumah lepas balik daripada kerja malam, kami tidak boleh terus letak kepala atas bantal kerana sebenarnya bukan mudah nak tidur.

"Nak kena tahu pasal anak. Kalau mereka berada di sekolah, mungkin tiada hal tetapi bagaimana dengan yang kecil?. Dalam situasi ini, kena ada bantuan pembantu rumah," terang beliau.

KEBAIKAN

Menurut Rohida, satu daripada kebaikan yang diperoleh jururawat yang bertugas malam ialah mereka dapat bekerja dalam suasana yang lebih tenang jika dibandingkan dengan suasana hospital ketika syif lain.

"Tugas malam bermula pukul 9, ketika ini jumlah pelawat sudahpun berkurangan dan bunyi deringan telefon amat berkurangan. Atas sebab ini, jururawat bertugas malam dapat menyempurnakan kerja mereka kerana tiada banyak perkara yang mengganggu perhatian mereka terhadap pesakit," kata beliau.

Tambah beliau lagi, bertugas syif malam boleh juga menimbulkan masalah. semasa kerja.

"Tidak seperti jururawat bertugas pada waktu siang, jururawat malam menghadapi cabaran seperti perlu melawan rasa mengantuk," katanya sambil menambah, jururawat yang bertugas malam tidak punya pilihan lain selain perlu tidur di waktu siang.

"Ini boleh menimbulkan kesukaran bagi beliau dan keluarganya," katanya.

Menurut fisiologi manusia, badan manusia mempunyai satu 'jam dalaman' yang dinamakan 'ritma sirkadian' (circadian rhythm) yang mengawal fungsi biologi tubuh.

Kata pakar kesihatan, bagi petugas syif malam jam biologi ini akan berfungsi secara terbalik dan ini boleh membuatkan seseorang itu tidak sihat.

Oleh Zulkiple Ibrahim
Sumber: BERNAMA

2 comments:

Karen Monica berkata...

waktu tidur yang cukup memang penting kan

Its Aainaa berkata...

tahu takpe cikgu. hari tuh aina dah try kerja malam (3 malam) fuh badan terus lari tune. da macam pelik rasa. lupe tarikh, makan tak ingat, tidur tak betul. tapi nak buat macamane, itu scope kerja kitorang. kena biasakan dirilah macam nih :)