13 Mei 2012

Suruhanjaya Pastikan Agensi Penguatkuasa Berintegriti



Orang ramai kini mempunyai cara yang lebih berkesan dan mudah untuk membuat aduan mengenai seseorang pegawai penguatkuasa atau sesuatu agensi penguatkuasaan kerajaan.

Aduan berkaitan boleh dilakukan menerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (Suruhanjaya Integriti) yang ditubuhkan pada 1 April 2011 selaras dengan penguatkuasaan Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009.

Suruhanjaya ini ialah sebuah badan bebas yang mempunyai tanggungjawab untuk memantau dan menjalankan siasatan terhadap aduan orang ramai tentang mana-mana 19 agensi penguatkuasaan negara.


Suruhanjaya ini mengambil pendekatan holistik yang amat penting dalam usaha memantapkan integriti masyarakat dan pentadbiran kerajaan Malaysia, kata Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya, Nor Afizah Hanum Mokhtar.

Beliau menegaskan integriti adalah satu sifat yang mesti wujud di dalam individu setiap anggota masyarakat tidak kira pangkat, kedudukan dan warna kulit.

"Sasaran utama wujudnya suruhanjaya ini ialah bagi menghasilkan persekitaran yang mempunyai integriti yang sewajarnya wujud dalam kehidupan dan diri setiap individu," tegasnya.

Nor Afizah Hanum berkata kejujuran atau integriti adalah intipati utama bagi semua agensi penguatkuasa dan suruhanjaya berpegang pada elemen ini dalam usaha memperkasa integriti dalam kalangan agensi penguatkuasaan Malaysia.

AMALAN INGKAR

Nor Afizah Hanum mengakui bahawa suruhanjaya itu menerima, menilai dan menyiasat aduan salah laku yang dikemukakan oleh orang awam dan amalan daripada orang awam.

"Suruhanjaya juga mempunyai fungsi memantau cara kerja agensi seliaan bagi mengkaji kesesuaian tatacara piawai atau Standard Operating Procedure (SOP)," katanya.

Beliau memberi contoh tugas anggota polis iaitu menerima laporan daripada pengadu, membuat soal siasat dan menyiasat dengan integriti.

Jika ditemui SOP yang tidak munasabah, selepas aduan orang awam dikaji, sama ada terdapat ruang longgar yang memungkinkan penguatkuasa menerima sogokan, ataupun ada langkah berlebihan hingga membebankan orang ramai, suruhanjaya itu bertanggungjawab melakukan syor pembaikan.

"Cara ketiga ialah kami turun padang secara berkala, membuat pertemuan dan sesi dialog dengan petugas agensi penguatkuasaan berkaitan bagi memberi penjelasan tentang peranan dan tindakan kepada mereka yang membuat salah laku integriti," tambahnya.

Beliau mengakui bahawa ketiga-tiga langkah ini, yang dilakukan secara serentak berupaya memberi kesan maksimum mengurangkan salah laku seperti pecah amanah, malah secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan kerenah birokrasi.

RASUAH ATAU JENAYAH

Suruhanjaya ini mempunyai tatakerja tersendiri dalam memproses aduan salah laku yang dilapor orang ramai.

Ini termasuk penilaian awal, bagi memastikan aduan itu ada kaitan dengan agensi di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Integriti selain peristiwa yang diadukan mestilah berlaku selepas 1 April 2011.

Aduan kemudian dinilai dengan kriteria tertentu untuk memastikan sama ada termasuk pada salah satu daripada tiga elemen salah laku, iaitu samaada berkaitan tatatertib, berkaitan rasuah atau berkaitan jenayah.

"Selepas Suruhanjaya memutuskan bentuk elemen dan mendapati ia berkaitan dengan disiplin, laporan aduan itu akan dipanjangkan kembali ke Bahagian Tatatertib agensi yang terlibat.

"Bagaimanapun, jika siasatan penuh diperlukan kami mengesan elemen rasuah atau jenayah, kami akan panjangkan kes itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Jabatan Peguam Negara," jelas beliau.

TATAKERJA PROSES ADUAN

Untuk memudahkan pemahaman orang awam mengenai tatakerja suruhanjaya ini, beliau beberapa contoh aduan salah laku yang telah diterima.

Antara yang pernah dilaporkan ialah sebuah balai polis dikatakan enggan mengambil laporan pengadu dan mengarahkan pengadu ke balai lain dan ada anggota polis diadukan menutup kes pukul dalam tempoh yang terlalu singkat selepas mangsa pukul membuat laporan.

"Dalam kes sebegini, kami akan menyiasat dengan mengkaji sama ada pihak polis telah melakukan perkara yang sepatutnya dilakukan, diteliti jika terserlah elemen disiplin iaitu ekoran sikap malas, kes ini dirujuk kepada Bahagian Tatatertib Polis.

"Tetapi jika misalnya didapati ada unsur menerima sogokan hingga menyebabkan satu kes itu tiba-tiba ditutup, ini adalah elemen rasuah yang mesti dipanjangkan kepada SPRM," jelasnya.

Beliau berkata salah laku yang didapati mempunyai elemen berkaitan jenayah dipanjangkan kepada Timbalan Pendakwaraya di Jabatan Peguam Negara.

Memandangkan jabatan itu mempunyai kuasa untuk menguruskan tindakan terhadap salah laku jenayah oleh kakitangan kerajaan.

Tempoh siasatan bergantung kepada keperluan sejauh mana kes tertentu perlu disiasat, iaitu siasatan peringkat pertama boleh selesai dalam tempoh kurang sebulan, tetapi sisatan penuh akan mengambil masa yang lebih lama.

"Harus diingat, ia juga bergantung kepada jenis kes dan keikhlasan, kebenaran dan bekerjasama penuh daripada pengadu itu sendiri seperti penyediaan dokumen," tegas Nor Afizah Hanum.

73 ADUAN DALAM TIGA BULAN

Sejak 1 Januari hingga tarikh 6 April, Suruhanjaya Integriti menerima sebanyak 73 aduan untuk tahun 2012, yang dianggap satu jumlah yang tinggi, sekali gus bukti orang ramai mula mengenali dan menyambut baik peranan mereka.

Nor Afizah Hanum berkataa aduan yang paling banyak diajukan melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu 49 aduan, diikuti empat aduan terhadap Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan masing-masing dua aduan terhadap Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Mereka juga menerima satu aduan masing-masing terhadap Agensi Antidadah Kebangsaan, Ikatan Relawan Rakyat (RELA), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan , Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Pengangkutan Jalan.

Bagi Nor Afizah Hanum, banyaknya jumlah aduan itu sebenarnya satu pencapaian baik, menunjukkan rakyat sedar bahawa Kerajaan menerusi amat serius menangani apa sahaja isu integriti agensi penguatkuasaanya, sekaligus memperkasakan perjalanan pentadbiran negara.

KERAJAAN SERIUS RAKYAT PEKA

Beliau mahu lebih banyak aduan salah laku yang diterima dalam tempoh terdekat oleh mereka yang peka.

"Dalam tempoh jangka masa panjang pula, kami mahu integriti agensi penguatkuasaan negara cukup mantap sehingga salah laku integriti tidak wujud sama sekali dan tiada lagi aduan," rumus beliau.

Untuk membuat aduan, orang ramai boleh hadir sendiri atau menulis surat ke pejabat suruhanjaya di Aras 5, Blok Menara, Bangunan Menara Usahawan, Persiaran Perdana Presint 2, Putrajaya.

Orang ramai juga boleh menghubungi talian khas aduan iaitu 03-88886618 atau menghantar faksimili ke talian 03-88886526 atau emel aduan@eaic.gov.my.

Setiap aduan mesti disertakan dengan nama penuh, nombor kad pengenalan pengadu, alamat surat menyurat, telefon dan emel serta butiran aduan.

Oleh Wan Shahara Ahmad Ghazali
Sumber: BERNAMA [26/04/2012]

1 comments:

caliph shuriken berkata...

noted.. nice sharing info.. *baru tau perkara ni ^^