13 Mei 2012

Akta Tangani Salah Laku Integriti



Penubuhan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (Suruhanjaya Integriti) sejak setahun yang lalu ialah untuk membantu meningkatkan kesedaran integriti bukan sahaja dalam kalangan agensi penguatkuasaan kerajaan tetapi juga orang awam.

Kewujudan suruhanjaya itu juga dijangka meningkatkan pencapaian masing-masing agensi penguatkuasaan selain menegaskan kepada pegawai-pegawai yang melakukan kesalahan bahawa jika disabitkan, hukuman yang bakal diterima adalah berat.


Dalam masa yang sama, orang ramai pula sebagai pengadu, wajib bersikap jujur dan ikhlas dalam penyataan aduan jika mahu ia diterima dan disiasat dengan sewajarnya, kata Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Integriti, Nor Afizah Hanum Mokhtar.

Beliau berkata kerajaan mengambil usaha untuk membudayakan integriti dalam kalangan agensi penguatkuasaan di mana setiap aduan dan hasil siasatan akan dimaklumkan kembali kepada agensi berkenaan, untuk tindakan.

"Kini banyak agensi termasuk PDRM dan Imigresen telah menjalankan program pemantapan integriti mereka sendiri, sekaligus melahirkan anggota yang lebih peka, bersih, jujur dan amanah," kata beliau.

FUNGSI SURUHANJAYA

Secara ringkasnya Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan memperuntuk lapan fungsi utama suruhanjaya.

Ia bagi suruhanjaya menerima dan menyiasat aduan salah laku daripada orang ramai terhadap pegawai atau agensi, melakukan mekanisma mengesan, menyiasat dan mencegah salah laku dan melindungi kepentingan orang ramai dengan mencegah dan menangani salah laku.

Suruhanjaya juga mengaudit dan memantau aspek tertentu operasi dan tatacara sesuatu agensi penguatkuasaan, menggalakkan kesedaran, menambah baik dan memupuk amalan integriti.

Dalam erti kata lain, suruhanjaya ini membantu kerajaan dalam menggalakkan integriti dan menghapuskan salah laku dalam kalangan pegawai penguatkuasa, katanya.

19 AGENSI PENGUATKUASA

Suruhanjaya menyelia dan memantau 19 agensi penguatkuasa.

Agensi itu ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) dan Ikatan Relawan Rakyat (RELA).

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Penerbangan Awam, Jabatan Penghubungan Perusahaan, Jabatan Perikanan, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara dan Jabatan Tenaga Kerja.

Bahagian Penguatkuasaan bagi tiga kementerian iaitu Kementerian Kesihatan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Unit Penguatkuasaan Perlesenan Kementerian Pelancongan Malaysia turut termasuk di dalam senarai itu.

MAKNA SALAH LAKU

Salah laku integriti telah ditafsirkan di dalam Seksyen 24 (1) Akta itu dan boleh dibahagikan kepada empat bahagian termasuk sebarang tindakan yang diambil atau tidak diambil yang berlawanan dengan mana-mana undang-undang bertulis.

Bahagian kedua ialah tindakan yang pada pendapat suruhanjaya, tidak munasabah, tidak adil, menindas secara tidak wajar, motif yang tidak wajar atau alasan yang tidak berkaitan.

Agensi penguatkuasaan yang gagal mengikut kaedah dan tatacara yang ditetapkan oleh undang-undang atau oleh pihak berkuasa yang berkenaan dan sebarang kesalahan jenayah yang dilakukan oleh penguatkuasa atau agensi juga ditafsirkan sebagai salah laku.

Mangsa tindakan salah laku yang berkaitan atau wakilnya juga boleh membuat aduan terhadap kelakuan petugas agensi penguatkuasaan yang pada ketika itu tidak bertugas secara rasmi.

Bentuk aduan yang akan disiasat hingga dipanjangkan untuk tindakan ialah aduan salah laku yang mempunyai elemen disiplin, rasuah atau jenayah.

Bagaimanapun aduan juga boleh ditolak jika bersifat remeh, menyusahkan, tidak dibuat dengan suci hati, hal perkara diadukan itu kecil atau kejadian itu berlaku terlalu lama untuk mewajarkan penyiasatan.

KUASA SIASATAN DAN KUASA HUKUMAN

Selepas proses menerima dan menilai elemen salah laku, suruhanjaya akan memastikan sama ada aduan itu akan dirujuk kepada Pihak Berkuasa Tatatertib, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) atau pendakwa raya berdasarkan elemen disiplin, rasuah atau jenayah.

Sebaliknya, jika terdapat elemen jenayah, pegawai penyiasat Suruhanjaya Integriti mempunyai kuasa untuk menyiasat dan merujukkan dapatan, laporan dan kertas penyiasatan kepada pendakwa raya untuk diambil tindakan undang-undang.

Seksyen 32 Akta itu membolehkan suruhanjaya mendapatkan dokumen atau benda lain, mengadakan pendengaran, menggeledah dan menyita dengan waran dan seksyen 40 memberinya kuasa menggeledah dan menyita tanpa waran.

CABARAN SURAT LAYANG

Nor Afizah mengakui bahawa antara cabaran utama yang dihadapi Suruhanjaya Integriti ialah pengadu membuat aduan tanpa memberikan maklumat diri lengkap hingga menyukarkan suruhanjaya membuat penilaian awal ekoran pengadu tidak dapat dihubungi.

Aduan salah laku sebegini walaupun dianggap sebagai surat layang, dan tindakan yang boleh diambil terlalu terhad, ia masih direkodkan atas tujuan pemantauan, katanya.

Apapun, Nor Afizah menggesa mangsa salah laku integriti supaya tetap tampil membuat aduan meskipun identiti mereka tidak akan dirahsiakan ekoran dasar suruhanjaya yang memerlukan segala urusan pengurusan aduan dilakukan dengan telus.

"Identiti pengadu hanya didedahkan jika keadaan memerlukan dan manfaat untuk berbuat demikian difikirkan sesuai oleh suruhanjaya," jelasnya.

Beliau berkata saksi yang memberi keterangan juga akan dilindungi di bawah Seksyen 44 Akta itu, yang menyatakan bahawa adalah satu kesalahan apabila seseorang mengugut atau mencederakan saksi yang memberi keterangan kepada suruhanjaya.

Jika disabitkan, orang itu boleh dipenjara maksimum dua tahun atau didenda sehingga RM100,000 atau kedua-duanya.

Oleh Wan Shahara Ahmad Ghazali
Sumber: BERNAMA [27/04/2012]

1 comments:

gnesop berkata...

jika berpegang kpd agama, pasti semua akan integriti bukan?