14 Jun 2012

Evolusi Televisyen Pintar (Smart TV)


BEBERAPA jenama pengeluar televisyen sedang giat mempromosikan produk pintar mereka dalam pasaran. - Gambar hiasan

TELEVISYEN merupakan salah satu perkakasan elektrik yang terdapat hampir di semua rumah di dunia. Sejak diperkenalkan hampir seabad yang lalu, hasil inovasi beberapa pencipta yang membawa kepada penghasilan perkakasan yang lebih popular dengan panggilan TV ini telah melalui beberapa fasa evolusi yang telah mempelbagaikan cara kita menontonnya.

Pada awal kewujudannya, tidak banyak yang mampu dilakukan. Fungsi asasnya adalah memaparkan siaran stesen televisyen atau rakaman video daripada perkakasan tambahan seperti pemain pita video VHS.

Sejak beberapa tahun yang lalu, istilah TV pintar (Smart TV) mula meniti di bibir pengguna elektronik. Pengeluar televisyen kini berlumba-lumba memasarkan TV pintar mereka, seolah-olah skrin televisyen keluaran mereka mampu menghasilkan sesuatu yang ajaib.


Persoalannya, sejauh manakah keajaiban yang dihasilkan oleh sebuah TV pintar? Apakah yang ditakrifkan sebagai TV pintar? Apakah ciri-ciri yang dimiliki oleh TV pintar? Adakah paparan tiga dimensi juga dikategorikan sebagai TV Pintar?.

1. Apabila televisyen bertemu internet

TV pintar boleh didefinisikan sebagai televisyen yang mempunyai capaian internet sama ada binaan dalaman sendiri mahupun melalui aksesori tambahan seperti port USB dongle untuk akses WiFi.

Ini membolehkan pengguna melayari web, menonton video percuma di YouTube mahupun yang berbayar, melawat laman media sosial, berkongsi kandungan dalam rangkaian dan juga mengakses aplikasi TV pintar yang disediakan oleh pengeluarnya.

Terdapat juga televisyen yang menawarkan kamera binaan dalam (atau secara aksesori pilihan) untuk membolehkan panggilan video Skype dibuat.

Ciri-ciri ini juga boleh dipanjangkan kepada perkakasan audio video lain seperti pemain Blu-Ray. Membenarkan pengguna berinteraksi dengan televisyen mereka menggunakan gajet seperti telefon pintar, komputer dan tablet.

Secara umumnya, kebanyakan TV pintar hari ini menyokong gajet yang menggunakan platform seperti Android dan juga iOS.

Terdapat dua kaedah penyambungan TV pintar dengan akses internet. Pada awal ia diperkenalkan, kebanyakan TV pintar dilengkapi dengan sambungan Ethernet bagi membolehkan kabel rangkaian disambungkan terus dari televisyen ke modem jalur lebar.

Hari ini, kebanyakan TV pintar didatangkan dengan ciri WiFi bagi memudahkan pengguna menyambungkan televisyen mereka dengan rangkaian tanpa wayar di rumah.

2. Alat kawalan

Semenjak alat kawalan televisyen diperkenalkan, ia turut menerima perubahan seiring dengan evolusi perkakas elektrik itu sendiri.

Pada awalnya, alat kawalan hanya mampu melakukan tugas asas seperti kawalan naik turun bunyi, menukar saluran dan menghidup atau mematikan televisyen.

Kemudian, apabila pemain video VHS diperkenalkan, beberapa fungsi kawalan turut digabungkan bagi membolehkan pemain video dan juga televisyen dikawal menggunakan satu unit kawalan.

Begitupun pada hari ini, dengan TV pintar, alat kawalan biasa tidak mampu melakukan kesemua tugas dengan baik. Sungguhpun alat kawalan pada hari ini lebih padat dengan ciri terkini, tetapi agak sukar untuk menaip dengan hanya menggunakan alat kawalan biasa.

Sehubungan itu, pengguna boleh mempertimbangkan alat kawalan pintar yang dilengkapi dengan papan kekunci dan tetikus bagi memudahkan mereka menggunakan aplikasi yang terdapat pada televisyen mereka.

Sebagai langkah alternatif, pengguna boleh memanfaatkan aplikasi yang membolehkan mereka mengawal TV pintar menggunakan telefon.

Oleh KHAIRUL ANUAR ABDUL RAHMAN
Sumber: Kosmo

4 comments:

yusuflaili(Goku) berkata...

Mungkin juga TV akan datang pun fungsinya Touch screen jugak.

ch000tz berkata...

TV/channel yang sedia ada pun tak tertengok kodinnnnn :D

Tanpa Nama berkata...

Tapi lambat sangat kalau buka Internet guna Tv ni. :D

Tanpa Nama berkata...

Begitu canggih ciptaan manusia pasti tidak sempurna juga,Yang Maha Sempurna cuma Dia..Salam jumaat yg mulia dr Wirda...