04 Jun 2012
Gerhana Matahari Anulus (Cincin)
annulus solar eclipse
RIBUAN orang berkunjung ke Kanarraville yang berada kira-kira 375 kilometer (km) dari timur Salt Lake City, Utah, Amerika Syarikat (AS) pada 21 Mei 2012 minggu lalu untuk menyaksikan gerhana penuh. Beberapa jam sebelum gerhana, beribu-ribu orang duduk dan berkelah di atas tanah yang ditumbuhi pokok sagebrush serta cheatgrass, manakala yang lain memasang teleskop.
"Ia agak mengujakan. Tempat kami jarang didatangi orang luar, tetapi (kali ini) kami bersedia untuk membuka bandar kepada semua," kata seorang kerani, Clerk David Ence penuh semangat.
Fenomena astronomi apabila matahari dan bulan berada dalam kedudukan sejajar berlaku pada minggu lalu telah menyuramkan langit sebahagian benua Asia dan Amerika Utara dengan mengubah sang suria menjadi sebuah cincin berapi yang besar.
"Ia kelihatan seperti sebuah donat dengan memiliki lubang yang sangat besar," kata saintis Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA), Jeffrey Newmark.
Gerhana berlaku hampir setiap tahun, tetapi para pengkaji bintang tidak pernah melihat gerhana anulus (bentuk cincin) di AS sejak tahun 1994. Gerhana anulus seterusnya dijangka berlaku pada tahun 2023. Kata Newmark, ia jarang berlaku kerana fenomena tersebut memerlukan sebuah set dinamik orbit tertentu.
GERHANA matahari sangat cantik apabila cahaya yang tidak dapat ditutupi bulan menjadikan ia seakan-akan sebuah cincin api gergasi.
Gerhana anulus terjadi apabila titik orbit bulan berada paling jauh dari Bumi dan lebih dekat dengan matahari. Aturan tersebut membolehkan bulan menghalang 90 peratus sinaran matahari ketika dua orbit meluncur pada kedudukan yang sama.
"Ia seperti menggerakkan penumbuk ke hadapan mata. Kamu boleh menghalang pemandangan sebuah gunung. Ia memberi kesan yang sama," kata Newmark.
Gerhana mula kelihatan di selatan Asia dan bergerak ke menerusi Pasifik seterusnya ke barat laut. Ia bergerak secara serong ke tenggara, gerhana berlaku di Oregon, Nevada, Utah, Arizona dan New Mexico sebelum hilang di Texas ketika matahari terbenam.
Hari siang tidak akan berubah menjadi malam, tetapi cahaya akan kabur seiring dengan gerakan bulan di hadapan matahari. Bertindak seperti suis pemalap cahaya, ia malap secara beransur-ansur dan kembali terang apabila bulan bergerak pergi.
Daripada mula hingga akhir, gerhana kelihatan kurang dua jam. Pemandangan yang dipanggil sebagai lingkaran api ketika kemuncak gerhana pula bertahan lebih kurang empat minit. Lingkaran itu juga hanya kelihatan pada pandangan manusia apabila posisi berada garis sejajar dengan gerhana.
"Jika kedudukan anda terkeluar daripada liputan, anda akan dapat melihat gerhana separa sahaja. Terdapat beberapa tempat di dunia yang tidak dapat melihat gerhana langsung," kata Newmark.
Sah kalendar
Gerhana anulus yang lebih dikenali sebagai gerhana cincin memberi kegunaan dalam mengesahkan perkhidmatan data untuk menyemak kemunculan anak bulan.
Yang Dipertua Persatuan Ahli Falak Selangor, Prof. Datuk Dr. Mohd. Zamvri Zainuddin, 57, berkata, kaedah penentuan kalendar Hijrah dengan cara ijmak dapat ditentukan apabila berlaku gerhana matahari.
"Selepas melakukan pemerhatian, telah disahkan kaedah ijmak yang digunakan tepat," ujar Mohd. Zamvri kepada Kosmo!.
PENDUDUK Tokyo bertuah kerana dapat melihat fenomena yang amat jarang berlaku itu.
Gerhana matahari dan bulan berlaku setiap kali kemunculan anak bulan baharu. Gerhana yang berlaku pada hari Isnin 21 Mei 2012 minggu lalu disusuli dengan melihat anak bulan pada malamnya. Walaupun keadaan cuaca kurang elok dan anak bulan tidak begitu jelas kelihatan, tetapi ia dapat mengesahkan bahawa pengiraan kalendar Hijrah yang digunakan di Malaysia.
Dari segi saintifik, para saintis boleh melakukan kajian terhadap lapisan kromosfera matahari. Seperti lapisan atmosfera bumi, ia mempunyai tiga lapisan iaitu fotosfera, kromosfera dan korona.
Bagaimanapun, gerhana cincin tidak dapat memberi banyak maklumat berbanding gerhana penuh yang bakal berlaku pada bulan November 2012 ini di Australia.
Fenomena gerhana tidak digunakan dalam menentukan arah kiblat kerana ia boleh dibuat dengan melihat buruj dan arah terbit dan terbenam matahari.
Gerhana dapat dilihat dari beberapa bahagian di China pada Isnin 21 Mei 2012 minggu lalu sebelum bergerak ke arah barat melalui Taiwan dan Jepun seterusnya menyeberang sejauh 13,600 kilometer Laut Pasifik dalam bentuk melengkok.
"Kami sedang bercuti di Disneyland dengan anak-anak. Kami terdengar perkara itu (gerhana) berlaku. Kami terus pergi," kata pelancong berbangsa British, Ian Hunter yang memerhati dari balai cerap di puncak bukit Los Angeles.
Gumpalan awan berarak di tenggara China menghalang pandangan menyebabkan pemerhati yang bangun awal di Hong Kong hanya dapat melihat serpihan kecil gerhana cincin, manakala yang lain pulang dalam kekecewaan.
Penduduk Tokyo seramai 30 juta orang yang berselerak di ibu negara Jepun juga dapat melihat pandangan pertama fenomena itu. Sadanobu Takahashi, 60, dari wilayah utara Akita berkata, dia dan isterinya menyertai jelajah dua hari di Tokyo untuk melihat gerhana dari tingkat teratas bangunan setinggi 54 tingkat di daerah Roppongi.
"Lihat! Ia sekarang menjadi bentuk cincin yang sempurna. Amat hebat!" jeritnya dalam nada kekaguman.
Sumber: Kosmo
Labels:
Alam Ciptaan Allah
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
5 comments:
cantiknya...tp gerhana juga adalah 1 peringatan tuk kite sume =)
subahanallah.. sangat cantik... tapi kita harus beringat akan peringatan dari ALLAH ini...
sangat cantik kan :)
ciptaan allah
CiM pernah lihat dengan mata sendiri gerhana cincin ini di bumi kita Malaysia. Subhanallah....
Catat Ulasan