Nuff Atas

18 Jun 2012

Oh My English ~ Belajar Bahasa Inggeris Secara Santai



Ramai pendengar radio yang memandu untuk ke tempat kerja telah biasa dengan segmen Radio ERA 'Can I Help You'. Tetapi segmen radio ini hanya untuk beberapa minit dan bertujuan membuat pendengar ketawa.

Kini, stesen televisyen satelit Malaysia Astro memperkenal siri 'Oh My English!' yang bertujuan membantu masyarakat memperbaiki cara pertuturan dalam Bahasa Inggeris.

Menurut Astro, 'Oh My English!' merupakan komedi pendidikan yang bertujuan mengajak penonton belajar Bahasa Inggeris sambil berhibur. Program itu disiarkan buat pertama kali pada 20 Mei 2012 di TVIQ (saluran 610) pada Ahad jam 10 pagi.

Mulai 8 Jun 2012, program 'Oh My English' muncul melaui ASTRO Prima (saluran 105) jam 9.30 malam.




APA KATA PENONTON?

Mereka yang sudah menonton siri itu memberikan komen yang memberansangkan.

"Saya dan rakan sepejabat tidak berhenti bercerita tentang siri ini. Ia satu siri yang mempunyai jenaka dan merupakan sitkom tetapi juga mempunyai elemen pendidikan. Ia menunjukkan bagaimana sesetengah daripada kita bertutur dalam Bahasa Inggeris setiap hari," kata seorang penjawat awam, Shamsuddin Yahya.

Bagi ahli perniagaan Datuk Zulkifli Idris, 'Oh My English' berunsurkan pengetahuan.

"Isu sebenarnya adalah bagi masyarakat Melayu, bahasa ibunda mereka adalah Bahasa Melayu. Tidak dapat dinafikan, bila mereka mahu menyatakan sesuatu, mereka berfikir dulu dalam bahasa ibunda sebelum meluahkan ayat itu dalam Bahasa Inggeris," katanya.

"Itu sebabnya frasa-frasa yang mudah seperti, 'can you chop my certificate (bermaksud menggunakan cop), 'burning bread' (roti yang dibakar) dan 'open the fan' (tekan suis kipas) timbul dalam pertuturan seharian," terang beliau.

Frasa-frasa itu antara yang ditonjolkan dalam siri berkenaan.

Menurut Zulkifli, bukan satu rahsia di mana ramai antara para graduan tidak tahu bertutur Bahasa Inggeris dengan cara yang betul.



BAHASA IBUNDA

"Bila kita bertutur Bahasa Inggeris, kita hanya perlu menggunakan perkataan yang mudah yang boleh menyampaikan mesej yang diperlukan. Tetapi ada di antara kita yang perlu menterjemah dulu apa yang kita fikirkan sebelum bertutur.

"Kita berfikir dalam Bahasa Melayu dan menterjemahkannya ke dalam Bahasa Inggeris, banyak kali perkataan yang salah keluar dalam pertuturan.

"Bahasa Melayu merupakan bahasa yang mudah dan senang dipelajari. Sebab itulah kita boleh lihat ramai pekerja asing bertutur dalam Bahasa Melayu tetapi dalam Bahasa Inggeris kita perlu faham konsep penggunaan perkataannya," jelas Zulkifli.

Bagi pengamal kejururawatan Zaidah Zainal, siri itu menyerupai sitkom Inggeris suatu masa dulu, 'Mind Your Language".

"Tetapi kerana ia mengandungi elemen tempatan dan senarionya adalah mengenai kenakalan pelajar di sebuah kelas sekolah Malaysia, saya rasa siri ini disukai oleh masyarakat tempatan.

"Selain daripada memberi pendidikan, 'Oh My English' juga menghiburkan. Ia juga mengajar bagaimana kita harus bertutur dalam Bahasa Inggeris dengan cara yang betul," kata ibu kepada tiga anak itu.



SIRI

'Oh My English' bersuasanakan Tingkatan 3 Merah di Ayer Dalam di mana pelajar kelas itu terkenal dengan kenakalan mereka.

Untuk mengajar subjek Bahasa Inggeris dengan lebih efektif, guru Bahasa Inggeris mereka, Henry Middleton, menggunakan kaedah yang tidak konvensional bagi tujuan itu.

Middleton, yang dilahirkan di Malaysia tetapi dibesarkan di United Kingdom, bertekad untuk memperbaiki pertuturan serta penguasaan subjek itu dalam kalangan pelajarnya.



Antara pelakon yang menjayakan siri berkenaan ialah penyanyi dan pengacara Adibah Noor, pelawak Harun Salim dan Mr Os serta Zain Saidin yang membawa watak sebagai Middleton.

'Oh My English!' juga mengetengahkan sekumpulan artis yang sedang meningkat seperti Izara Aishah, Addy Ashraf, Ahmad Ezzrin dan Nurul Ezlisa Loy selain daripada Mohd Zhafir Muzani, Kaameshaa Ravindran, Amer Sharrif, Tan Teong Sik dan Muhammad Akhmal Mohamad Nazri.

Beberapa video pendek 'Oh My English!' juga melibatkan bintang antarabangsa seperti Greyson Chance dan Maher Zain.

Menurut Astro, setiap episod siri itu mengandungi tiga kapsul Bahasa Inggeris tentang cara penggunaannya yang betul.

Sejak tahun 2009, Astro bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran bagi membawa kandungan pembelajaran bertaraf dunia untuk sekolah-sekolah di seluruh negara di bawah program tanggungjawab sosialnya.

Oleh Zulkiple Ibrahim
Sumber: BERNAMA

3 comments:

Cintaku Tihani berkata...

memang terbaek untuk pengajaran dan pembetulan english hari hari

leakedknowledge berkata...

klu dh biasa guna Manglish nie, ambik masa jgk nk ubah ni..huhu

http://encikcopypaste.blogspot.com

♥ Nana BamBam ♥ berkata...

oh baru tau..kekeke