18 Jun 2012

Malaysia-China Memeterai Perjanjian Pinjam Panda Gergasi


BULUH ialah makanan kegemaran panda.

Program Meminjamkan Panda

Kerajaan Malaysia Jumaat memeterai satu perjanjian dengan China Wildlife Conservation Association atau Persatuan Pemeliharaan Hidupan Liar China (CWCA) Republik Rakyat China (RRC) yang akan merintis jalan untuk meminjamkan sepasang panda gergasi kepada Malaysia.

Malaysia dan Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar China (CWCA), menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk meminjam dua beruang panda dari republik itu selama 10 tahun pada 15 Jun 2012.

Majlis menandatangani perjanjian antara Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan), Datuk Abd Rasid Samsudin dan Ketua Setiausaha CWCA Zang Chunlin petang ini, disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Anggota Jawatankuasa Tetap Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (CPC) He Guaqiang.


Pasangan panda gergasi yang bakal dipinjamkan kepada Malaysia untuk tempoh 10 tahun itu merupakan simbolik bagi memperingati ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik Malaysia-China yang bakal diraikan pada tahun 2014.

Simbolik keakraban hubungan Malaysia, China: Najib

Langkah meminjam binatang yang menjadi haiwan rasmi China itu adalah bagi mengeratkan lagi hubungan kedua-dua negara yang sedia terjalin sejak zaman pentadbiran Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein.

Kesediaan Kerajaan China meminjamkan beruang panda itu adalah simbolik keakraban hubungan dagangan dan diplomatik yang terjalin sejak 1974.

Pada 31 Mei, 1974, Tun Abdul Razak melakukan lawatan bersejarah ke China untuk menjalin hubungan diplomatik dan membuka lembaran baru dalam hubungan dua hala antara kedua-dua negara. Pada ketika itu, Malaysia adalah negara anggota Asean pertama yang menjalin hubungan diplomatik dengan China.

Perjanjian pemuliharaan beruang panda dengan China itu mencerminkan komitmen Malaysia menyokong usaha republik itu menambah bilangan spesies haiwan berkenaan yang diancam kepupusan.

Kerjasama Malaysia-China itu selaras Sasaran Aichi 2010 di bawah Konvensyen Kepelbagaian Biologi yang menyokong usaha pemuliharaan untuk mengelak kepupusan sesuatu spesies.

Idea Meminjam Panda

Perdana Menteri berkata, idea meminjamkan beruang panda itu tercetus ketika beliau mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya, Wen Jiabao, ketika lawatan ke Chendu, Nanning, pada April 2012.

“Saya benar-benar gembira apabila Perdana Menteri Wen memberi maklum balas segera dan memberi persetujuannya untuk meminjamkan panda ini kepada Malaysia.

Sejarah Peminjaan 

Panda bersifat lemah-lembut, mesra dan mudah didekati. Sebab itulah China menjadikannya sebagai duta keamanan,

Kerajaan China juga menggunakan apa yang dikenali sebagai diplomasi panda pada 1970-an apabila ia memberi dua haiwan itu bernama Ling-Ling dan Hsing-Hsing kepada Amerika pada 1972 berikutan lawatan bersejarah Presiden Richard Nixon ke China. Nixon membalasnya dengan memberi sepasang lembu kasturi.

Perkara yang serupa boleh diumpamakan dengan hubungan Sino-UK yang mempunyai pasangan panda Chia-Chia dan Ching-Ching yang dihadiahkan sempena lawatan Perdana Menteri UK, Edward Heath ke China pada 1974.

Negara terakhir yang menerima haiwan dalam bentuk hadiah adalah Jepun pada 1982 dengan panda bernama Fei Fei.

Setelah menghadiahkan kira-kira 23 panda sepanjang tempoh itu, China memutuskan haiwan itu hanya boleh dipinjamkan kepada negara lain untuk tempoh 10 tahun bagi tujuan penyelidikan saintifik.

Anak panda yang dilahirkan di luar negara oleh pasangan yang dipinjamkan itu mesti dipulangkan ke China selepas berusia tiga tahun.

Walaupun pada zaman dahulu, haiwan rasmi ketika pemerintahan dinasti beraja China adalah naga; ia tidak lagi dijadikan lambang pada zaman pemerintahan moden kerana haiwan khayalan itu tidak boleh dijadikan sebagai hadiah ketika mengadakan hubungan diplomatik.

Sifat Panda Gergasi

Panda Gergasi adalah haiwan yang dikategorikan dalam keluarga beruang dan ia dikaitkan dengan simbol 'yin dan yang' iaitu perseimbangan antara dua sifat yang saling bertentangan.

Binatang itu boleh dikenali menerusi tompok berwarna hitam pada matanya dan bentuk badan yang agak bulat. Ia sering dijadikan hadiah oleh kerajaan China ketika menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara-negara luar atau lebih dikenali sebagai 'diplomasi panda'.

Panda gergasi  yang hanya terdapat di China merupakan haiwan yang diancam kepupusan. Sekarang terdapat kira-kira 1,600 panda di China dan 300 ekor lagi di zoo seluruh dunia. Dua panda pertama yang dihadiahkan China adalah kepada Rusia pada 1957 bernama Ping Ping dan An An.

“Panda haiwan yang amat disayangi, mudah mesra dan dihargai bukan saja oleh orang China, malah masyarakat seluruh dunia dan kehadirannya pasti akan menjadi tarikan khas kepada rakyat Malaysia dan pengunjung ke sini (Putrajaya),” kata Perdana Menteri.

Panda tetamu Taman Wetland

Berdasarkan pengalaman negara jiran seperti Thailand dan Singapura, Malaysia bakal menerima pasangan panda itu dalam tempoh setahun dari tarikh perjanjian dimeterai.

Najib berkata pasangan panda itu akan ditempatkan di Taman Wetland yang akan dilengkapi dengan infrastruktur yang menyamai habitat asal pasangan panda gergasi di sini, dan Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan menanggung separuh daripada kos pembinaan kemudahan itu termasuk pembinaan kurungan untuk kemudahan menyimpan panda.

"Sebaik sahaja kemudahan itu disediakan, kami akan lakukan apa yang perlu bagi memenuhi keperluan teknikal, kami menanti-nanti untuk menerima panda itu," katanya.

Kedua-dua anak panda itu dijangka akan ditempatkan di tapak khas di Taman Wetland, Putrajaya dengan bantuan pemindahan teknologi serta kepakaran dari China bagi menjamin keselesaan dan kesihatan haiwan itu dijaga dengan baik.

Tujuan Pemilihan Taman Wetland

TAMAN Wetland Putrajaya yang terletak di Presint 3, menambah reputasinya sebagai habitat flora dan fauna apabila sepasang beruang panda dari China ditempatkan di situ.

Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Tan Sri Samsudin Osman berkata dipilih berdasarkan kesesuaian habitat bagi memastikan haiwan itu selesa berada di negara ini untuk tempoh yang panjang.

Oleh kerana Malaysia mempunyai cuaca berlainan dari tempat asalnya, kita perlu menyediakan suhu yang hampir serupa dengan negara asalnya. Mungkin melalui pendingin hawa," katanya.

Katanya Taman Wetland akan menyediakan tapak panda seluas 1.1 hektar manakala 6.07 hektar lagi disediakan untuk tempat penanaman buluh, iaitu makanan panda.

Katanya penempatan panda di Taman Wetland adalah satu penghormatan kepada Malaysia, sekaligus memberi nilai tambah kepada Taman Wetland yang menjadi antara tarikan utama pelancong dari dalam dan luar negara untuk melihat pelbagai spesies tumbuhan dan haiwan yang ada di sini.

Di sebalik pembinaan bangunan-bangunan futuristik di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan itu, Taman Wetland masih menyimpan 32 spesies buah-buahan nadir, 32 spesies pokok hutan, 48 spesies tanaman hutan dan 45 jenis tanaman renek di kawasan seluas 197 hektar.

Taman buatan manusia itu turut mempunyai sembilan keluarga daripada 12 spesies mamalia, 10 keluarga herpetofauna daripada 11 spesies, 15 spesies serangga, 17 spesies ikan dan 39 keluarga daripada 108 spesies burung.

Menurut Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Samsudin Osman, jika bernasib baik pengunjung berpeluang menyaksikan pelbagai spesies burung penghijrah dari Kutub Utara atau Kutub Selatan selain burung dari Zoo Negara yang dikatakan sering berulang alik ke taman itu.

Suhu dan Persekitaran Untuk Panda

Dalam usaha melaksanakan program pemindahan panda gergasi tersebut, kerajaan Malaysia akan menyediakan eksibit khas di Taman Wetland yang lengkap dengan infrastruktur yang menyamai habitat asal pasangan panda gergasi termasuk penetapan suhu kurang daripada 24 darjah Celcius.

Di samping itu, aspek pemakanan dan diet panda gergasi tersebut akan diberikan tumpuan utama. Sebanyak lima spesies buluh telah dikenal pasti sebagai diet bagi pasangan panda tersebut dan usaha penanaman spesies buluh terpilih akan dilaksanakan secara berperingkat di taman itu.

Kesan Kehadiran Panda

Penerimaan pasangan panda ini juga dijangka memesatkan lagi sektor ekopelancongan negara ini. Berdasarkan pengalaman Thailand, pada tahun pertama apabila panda ditempatkan di negara itu, seramai 900,000 pelancong telah melawat penempatan panda itu di Thailand sekali gus melonjakkan sektor pelancongan negara itu. Impak yang sama dijangka dapat dirasai oleh Malaysia.

Melalui usaha konservasi ini juga, Malaysia berpeluang menjalankan penyelidikan ke atas panda gergasi selain meningkatkan kepakaran tempatan melalui pemindahan teknologi yang disalurkan oleh China terutamanya dalam pembiakan tiruan, kajian genetik dan kajian habitat panda gergasi.

Malaysia optimistik bahawa tumpuan untuk melaksanakan usaha konservasi khazanah biodiversiti negara seperti Harimau Malaya dan Orang Utan tidak akan terjejas dengan usaha konservasi panda di Malaysia. Melalui Pelan Tindakan Harimau Kebangsaan, kerajaan yakin bahawa sasaran menambah populasi harimau sehingga 1,000 ekor menjelang 2020 pasti tercapai.

Selain itu, kehadiran 'pasangan sensasi' itu akan meningkatkan lagi kesedaran orang awam mengenai usaha konservasi panda gergasi di samping menggalakkan mereka menghargai keunikan dan kepentingan konservasi hidupan liar dan biodiversiti di Malaysia.

0 comments: