Nuff Atas

19 Jun 2012

Plastik Bawa Bencana Kepada Alam Sekitar?



Seorang pembaca telah menulis kepada sebuah akhbar dengan antara lain kandungannya mencadangkan supaya pengguna mengubah tradisi penggunaan beg plastik kepada beg kertas. Beliau yang menggunakan nama samaran Surat Khabar Lama memberi alasan, bahan plastik lambat untuk hancur.

''Saya mencadangkan supaya kerajaan mengkaji dengan teliti bagi menggunakan beg kertas dalam usaha menghapuskan penggunaan beg plastik. Langkah ini juga akan membantu kita mengawal pencemaran alam sekitar akibat buangan plastik yang tidak hancur."

Kata-kata beliau disokong oleh ramai antaranya penyelidik berkaitan daripada institusi pengajian tinggi tempatan (IPT) serta seorang personaliti yang telah lama membantu dalam kempen penjagaan alam sekitar.


Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Perlis (UniMap), Dr. Tengku Nuraiti Tengku Izhar yang menumpukan kajian dalam Pengurusan Sisa Pepejal (SWM) berkata:

'Pada pendapat saya, masalah pencemaran plastik di Malaysia adalah agak serius. Bagaimanapun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kesedaran awam terhadap masalah pencemaran plastik semakin meningkat. Banyak kempen yang dijalankan telah menarik perhatian orang ramai berbanding lima tahun dahulu yang mana orang ramai mempunyai pengetahuan yang rendah tentang pencemaran plastik.''

Beliau yang juga Pengerusi Rancangan Pusat Pengajian Kejuruteraan Alam Sekitar UniMap berkata, plastik adalah satu bahan yang tidak terurai sekiranya dihantar ke tapak pelupusan sampah.

Ia akan kekal di situ sehingga beratus-ratus tahun dan dengan situasi tapak pelupusan sampah di Malaysia yang masih perlu penambahbaikan, perlu ada langkah alternatif untuk menguruskan sisa pepejal terutamanya plastik.

Mengulas mengenai kenapa plastik sering dikaitkan dengan isu pencemaran, beliau berkata, penggunaan polisterin dan beg plastik boleh mengancam kualiti alam sekitar dan boleh menjejaskan kesihatan manusia.

''Penghapusan penggunaan polisterin dan beg plastik dijangka dapat mengurangkan kadar pencemaran yang memberi kesan terhadap alam sekitar secara jangka pendek seperti meninggalkan pemandangan kurang enak jika dibuang merata-rata tempat.

''Kesan jangka panjang pula merujuk kepada isu-isu memusnahkan hidupan akuatik jika dibuang ke dalam laut," ujarnya.

Polisterin dan beg plastik diperbuat daripada bahan yang berasaskan petroleum seperti styrene dan benzin yang merupakan bahan yang tidak dapat hancur dan reput tanpa dikenakan tindakan kimia terhadapnya.


Siapakah yang bertanggungjawab dalam mengurus buangan seperti ini?

Oleh itu kata Tengku Nuraiti, jika polisterin dilupuskan di kawasan pelupusan sampah, ia akan kekal berada dalam bentuk asal sehingga beratus-ratus tahun. Polisterin dan beg plastik juga mengandungi bahan kimia yang boleh menyebabkan kanser dan ia mengambil masa beratus tahun untuk reput dan kemudiannya akan bertukar menjadi toksik. Ia juga membawa kesan buruk kepada alam sekitar melalui penipisan lapisan ozon.

Sementara itu bagi pelakon popular, Maya Karin dia sebenarnya tidak dapat menerima hakikat bahawa sebahagian besar masyarakat kita mempunyai tabiat yang buruk membuang sampah merata-merata. Berkongsi perasaan kecewa dengan tabiat tersebut, dia berpendapat, ia memburukkan keadaan apabila sampah yang dibuang merata-merata itu merupakan cebisan atau pun botol plastik.

''Saya memang dari dulu anti plastik. Kenapa kita memerlukan beg plastik untuk membawa barang pulang ke rumah sedangkan perjalanan dari kedai hanya lima minit. Malah membeli sekotak rokok pun kadangkala dibungkus dalam plastik," ujar aktres tersebut.

Dalam pada itu menurut Tengku Nuraiti persoalan sama ada plastik boleh digantikan dengan produk lain bergantung kepada kesedaran orang ramai sebagai pengguna.

''Penggunaan plastik sangat popular kerana kelebihan yang ada padanya iaitu tahan lama, teguh dan mudah digunakan. Tidak hairanlah jika kita banyak bergantung kepada polisterin dan beg plastik sebagai satu bahan wajib dalam proses pembungkusan dan sebagainya walaupun kaedah tradisional menggunakan sumber alam lebih murah harganya

''Sehingga kita tidak menyedari bahaya polisterin dan beg plastik serta komponen-komponen kimia yang terkandung di dalamnya," kata beliau.

Untuk menarik minat pengguna dari pelbagai umur, rekaan beg berwarna-warni, boleh dilipat untuk dimasukkan ke dalam beg tangan, material yang tahan lama pasti dapat menarik perhatian orang ramai.

Sumber: Utusan

Bukan Salah Plastik


Penggunaan bahan mudah urai seperti hampas tebu boleh dijadikan alternatif menggantikan plastik.

ADILKAH kita untuk berkata, bahawa segalanya yang melibatkan plastik menjadi beban kepada alam sekitar?

Ketika industri plastik mencatatkan angka-angka memberangsangkan daripada sudut ekonomi, pencinta alam sekitar menganggap kehadiran bahan polimer tersebut lebih memudaratkan. Angka eksport menunjukkan pertumbuhan industri plastik ialah antara 10 dan 15 peratus dalam tempoh sepuluh tahun.

Ini termasuk catatan bahawa Malaysia merupakan pengeksport filem terbesar Asia dan pengeluar serta pengekport bungkusan dan beg plastik di Asia dan pasarannya sehingga ke Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat (AS) serta Jepun.

Demikian angka-angka yang dinyatakan oleh Forum Plastik Malaysia (MPF), sebuah badan yang melindungi kepentingan industri plastik tempatan. MPF yang ditubuhkan 2005, merupakan hasil gabungan dua persatuan iaitu Kumpulan Pengeluaran Resin Plastik-Persatuan Petrokimia Malaysia serta Persatuan Pengeluar Plastik Malaysia (MPMA).

Dengan demikian , menurut Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Kesedaran MPF Ahmad Khairuddin Sha'aban, isu plastik sebenarnya lebih tertumpu kepada masalah sikap manusia yang membuang sampah merata-rata.

''Tidak ada yang memudaratkan berkaitan plastik, jika ia gunakan secara bijak," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Petaling Jaya baru-baru ini.

Beliau membentangkan beberapa hujah mengatakan bahawa plastik bukanlah isu alam sekitar hanya kerana adanya mitos yang menyatakan bahan tersebut merupakan bahan yang mengambil masa terlalu lama untuk terurai.

Malah, dalam satu kerja-kerja menggali di tapak pelupusan sampah di New York, AS , ada kes menunjukkan bahawa sehelai kertas akhbar pada tahun 1950-an masih tertanam kemas di bawah tanah tanpa tanda-tanda akan berlaku penguraian.

Ahmad Khairuddin seterusnya menjelaskan bahawa daripada sudut lain, sekiranya berlaku penguraian sekalipun, impak ke atas alam sekitar lebih memudaratkan memandangkan proses tersebut menghasilkan gas.

Dalam keadaan atau kehadiran oksigen (aerobik), hasil penguraian membentuk air apabila gas oksigen berkenaan berkenaan bertindak balas dengan hidrogen dan membentuk gas karbon dioksida. Ini kerana bahan organik seperti kertas, tumbuh-tumbuhan dan haiwan mengandungi unsur hidrogen dan karbon.

Seperti diketahui, gas karbon dioksida ialah gas rumah hijau yang menyebabkan kemudaratan kepada alam sekitar.

Lebih parah lagi apabila proses penguraian berlaku tanpa kehadiran oksigen (anaerobik) yang mana proses berkenaan menyebabkan hidrogen dan karbon bertindak balas dan membentuk gas metana yang lebih mudarat lebih 22 kali berbanding gas karbon dioksida (CO2)

Kajian oleh Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA), AS menunjukkan tidak berlaku proses penguraian sempurna di tapak pelupusan sampah termasuk bahan organik lain.

"Penyelidikan terkini menunjukkan bahawa kertas di tapak pelupusan sampah tidak mengurai atau mengurai tidak sepantas yang diharapkan plastik. Malah tidak mengurai sempurna kerana ketiadaan air, udara, cahaya serta elemen lain yang mencukupi." ujar beliau.

Oleh itu katanya, jika ada persepsi negatif menyatakan bahawa bahan plastik mengurai dalam tempoh 1,000 tahun atau lebih tetapi daripada segi positif ia mengurangkan munculnya gas metana. Wujud juga persepsi bahawa proses penghasilan plastik menggunakan banyak tenaga daripada minyak mentah.

Dalam hal ini , menurut Ahmad Khairuddin , tanggapan tersebut tidak benar berdasarkan statistik bahawa 45 peratus penggunaan minyak global adalah untuk pengangkutan manakala 42 peratus digunakan untuk haba, elektrik dan tenaga. Hanya empat peratus penggunaan minyak mentah dunia digunakan untuk produk plastik.

Menurutnya, data tersebut dapat menjelaskan kekeliruan kononnya banyak minyak digunakan untuk produk plastik sedangkan penggunaan utama 87 peratus untuk pengangkutan, haba, elektrik dan tenaga.

Tambahan pula katanya, penggunaan plastik daripada komponen kenderaan juga mengurangkan penggunaan tenaga dan ini mampu mengurangkan pelepasan 30 juta tan pelepasan CO2 setahun di Eropah.

Dalam pada itu , penggunaan plastik juga membantu bidang bidang lain termasuk pengawetan makanan.

Sebagai contoh, katanya kita-kira 40 peratus plastik adalah untuk pembungkusan makanan. Dan ini membantu penyimpanan makanan , mengurangkan pembaziran makanan dan mengurangkan berat bungkusan. Kecekapan makanan dalam pembungkusan makanan plastik tidak boleh dibandingkan berbanding bahan lain.

Satu peratus peningkatan dalam satu peratus pembungkusan plastik sama dengan pengurangan 1.6 peratus pembaziran makanan. Di Eropah kata beliau, sebanyak 50 peratus makanan di rantau berkenaan dibungkus dengan plastik.

Ironinya, dengan ketiadaan plastik, kuantiti pembuangan makanan meningkat 158 peratus dan pembuatan meningkat kepada 108 peratus. Beliau juga ingin memperbetulkan salah faham kononnya haiwan marin menjadi mangsa kerana beg plastik.

Organisma marin seperti penyu sebagai contoh, dikatakan maut kerana memakan atau terperangkap dengan beg-beg plastik yang bersepah di tengah laut, sedangkan satu kajian di Newfoundland, Kanada menunjukkan bahawa ia kebanyakannya berpunca kerana haiwan-haiwan laut terperangkap dengan sampah dan puing plastik terutamanya peralatan nelayan seperti pukat-pukat yang dibuang.

Oleh itu, sekiranya benar plastik itu menyebabkan penyu atau organisma marin mati, adakah ia bukan salah bahan berkenaan sedangkan yang bertanggungjawab ialah mereka yang mencampakkan bahan tersebut ke laut.

MPF juga menyokong mana-mana pihak yang menggalakkan pembangunan mampan dan lestari. Tetapi ia harus berasaskan fakta bukan mitos.

Justeru itu, MPF tidak bersetuju dengan pengharaman penggunaan beg plastik kerana ia tidak menangani punca asas ia itu masalah sikap manusia yang membuang sampah merata-rata dan ia juga membebankan pengguna.

Kajian menunjukkan yang majoriti pengguna bertanggungjawab kerana 80 peratus beg-beg plastik yang diberi percuma di pasar raya digunakan semula, terutamanya sebagai pelapik-pelapik tong sampah.

Beg plastik kebanyakan nya dibuat daripada polyethylene(PE) dan menurut life cycle assessment (LCA) atau kitaran penilaian hayat, beg plastik PE adalah lebih mesra alam dan mampan berbanding beg plastik mudah urai dan beg kertas.

Adalah lebih baik menggunakan pendekatan kitar semula kerana ia lebih menjimatkan tenaga. Ia mengambil 91 peratus kurang kuantiti tenaga untuk mengitar semula plastik berbanding kuantiti yang sama untuk kertas.

Oleh LAUPA JUNUS
Sumber: Utusan

5 comments:

Laman Asmara,Alam Maya berkata...

Masalah sejak bertahun tak pernah selesai..sehingga sekarang plastik msh digunakan...tak tahulah kesannya pada alam dan manusia pd ms akn dtg....

yusuflaili(Goku) berkata...

salam;
Masalah tidak akan selesai sampai bila2..bukan salah plastik atau mana2 material tapi sikap manusia yang seharusnya diubah..

Cik Rongoks berkata...

btol tu..masalah yg tak penah selesai..macam2 cara dh dibuat tp still sama je.

syiela berkata...

sikap manusia sama.. kesian generasi yg akan dtg

ch000tz axoera ヅ berkata...

habis nak buat mcm mana lagi......semua tempat kasi plastik kaaann