27 Jun 2012

Sarapan Pagi Cegah Obesiti

Aktiviti Kempen Pemakanan Di Sekolah.


SANDWIC yang dihasilkan akan dinilai berdasarkan kreativiti, persembahan dan rasa.

SUASANA dewan Sekolah Kebangsaan Brickfields 2, Kuala Lumpur pada pertengahan bulan Mei 2012 lalu gamat apabila 50 murid-murid tahun enam sibuk beraksi ala chef.

Dibahagikan kepada 10 kumpulan dengan nama Cemerlang, Setia, Mesra, Baik hati, Dedikasi, Sayang, Jujur, Rajin, Gemilang dan Canggih, setiap ahli kumpulan bertungkus-lumus mencipta sandwic mengikut kreativiti masing-masing dalam masa 30 minit.

Mereka berentap bagi menghasilkan sandwic yang enak dan menarik sempena Kempen Pemakanan Sihat Lady’s Choice bagi membendung masalah obesiti yang semakin meningkat dalam kalangan murid-murid di sekolah.

Tiada apa yang mengejutkan apabila ramai dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia berhadapan dengan masalah obesiti.


Obesiti sememangnya bukan sesuatu yang baharu dalam kalangan rakyat di negara ini, tetapi apa yang membimbangkan ialah jumlahnya semakin meningkat. Ia berikutan amalan gaya hidup sedentari dan pengambilan makanan yang tidak seimbang.

Rentetan daripada masalah tersebut, Malaysia dilabelkan sebagai negara yang menghadapi masalah obesiti paling tinggi di Asia Tenggara dan berada pada tangga keenam di Asia.

Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2008, 25 peratus daripada kanak-kanak sekolah rendah mempunyai berat berlebihan atau obes.

Kajian tersebut juga menunjukkan bahawa hampir 30 peratus daripada kanak-kanak sekolah rendah tidak mengambil sarapan purata dua hingga tiga kali seminggu. Hasil daripada kajian yang sama mendedahkan, kanak-kanak yang tidak mengambil sarapan bukan sahaja menjejaskan kesihatan tetapi turut mempengaruhi prestasi pelajaran mereka.

Lebih merisaukan, kajian itu mendedahkan bahawa murid-murid yang tidak mengambil sarapan pagi lebih cenderung mengalami masalah berat badan berlebihan serta penyakit-penyakit lain apabila meningkat dewasa.

Bertitik-tolak daripada itu, Lady’s Choice menyokong saranan pemakanan yang baik ialah asas kesihatan sepanjang hayat dengan mengambil inisiatif melancarkan Kempen Pemakanan Sihat Lady’s Choice di seluruh negara untuk menggalakkan perubahan tabiat dan amalan pemakanan yang baik.

“Kempen Pemakanan Sihat Lady’s Choice ini bertujuan untuk membawa kesedaran, mendidik dan mengubah minda para pelajar dan masyarakat umum mengenai kaedah pemakanan serta amalan gaya hidup sihat bagi menjana masa depan yang sihat dan cemerlang.

“Sasaran kempen ini adalah untuk membawa kesedaran tersebut ke 46 buah sekolah rendah di kawasan bandar dan luar bandar di Malaysia,” kata Pengurus Jenama Kanan, Unilever Malaysia dan Singapura, Lenny Chuah.


MURID-MURID Sekolah Kebangsaan Brickfields 2, Kuala Lumpur menunjukkan sandwic hasil kreativiti mereka.

Tambahnya, matlamat utama pelaksanaan kempen lebih kepada menyampai dan memberi pendidikan mengenai kaedah pemakanan serta amalan gaya hidup sihat kepada sekurang-kurangnya 400 pelajar di setiap sekolah. Ia menyamai hampir 18,000 pelajar apabila program tersebut berjaya dilaksanakan sepenuhnya.

Pertumbuhan kanak-kanak
“Saya yakin bahawa belum ada lagi kempen seperti Kempen Pemakanan Sihat Lady’s Choice kerana kami telah mengambil inisiatif untuk membawa kesedaran terus kepada pihak sekolah dan murid-murid di peringkat nasional.

“Tumpuan kami lebih kepada memupuk amalan pemakanan sihat dan seimbang bermula dengan sarapan pagi yang merupakan waktu makan paling penting untuk pertumbuhan kanak-kanak,” ujarnya.

Kata Lenny lagi, pihaknya ingin menyangkal sesetengah pendapat bahawa makanan yang sihat tidak semestinya lazat, selaras dengan moto kempen mereka iaitu Makanan Biasa, Kelazatan Luar Biasa.

“Sehubungan itu, kepentingan sarapan pagi harus ditekankan kepada semua pelajar bagi mengelakkan masalah obesiti.

“Antara kebaikan mengambil sarapan pagi berkhasiat seperti roti, mentega kacang, mayonis dan telur adalah untuk meningkatkan konsentrasi di dalam kelas, perkembangan tahap pemahaman, daya tahan imunisasi yang lebih tinggi serta pengukuhan tahap kesihatan secara keseluruhan,” jelasnya.

Pelbagai aktiviti telah dirangka bagi menarik minat dan memupuk kesedaran yang membawa manfaat kepada kanak-kanak dan ibu bapa.

Murid-murid di sekolah akan didedahkan mengenai info obes, pengiraan Indeks Jisim Badan (BMI), elemen-elemen pemakanan sihat, akibat diet tidak seimbang, jenis makanan yang perlu diambil dan dielakkan, kepentingan tiga hidangan harian, senaman, tidur yang mencukupi serta cara pembuatan mentega kacang dan mayonis.

Persepsi salah

Di samping itu, murid-murid akan diajar bagaimana untuk menyediakan sandwic yang lazat dan cepat menggunakan produk-produk Lady’s Choice seperti mentega kacang, mayonis, jem dan lain-lain.


AHLI-AHLI setiap kumpulan sibuk memilih bahan-bahan untuk membuat sandwic yang enak.
“Penekanan diberikan kepada mentega kacang dan mayonis kerana selama ini terdapat persepsi salah yang menyatakan ia makanan yang tidak sihat untuk kanak-kanak. Sebenarnya, mayonis diperbuat daripada minyak sayuran baik, salah satu sumber asid lemak poli tidak tepu dan asid lemak mono tidak tepu serta kaya dengan vitamin E. Ia baik untuk sistem imunisasi dan bertindak sebagai antioksidan,” katanya.

Mentega kacang pula diperbuat daripada 90 peratus kacang tanah dan tidak mengandungi sebarang pewarna, bahan pengawet dan perasa. Kedua-dua mayonis dan mentega kacang merupakan sumber protein dan serat yang baik, mengandungi lemak tidak tepu yang sihat, tinggi vitamin dan mineral.

Dalam pada itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Brickfields, Mohd. Sulaimi Zaidin memberitahu usaha yang dilakukan Unilever Malaysia untuk menangani masalah obesiti di sekolah sangat dihargai.

“Kempen sebegini menepati aspirasi untuk memastikan murid-murid di sekolah ini sihat. Saya percaya kempen ini bakal memupuk amalan pemakanan sihat dalam kalangan murid-murid dan keluarga mereka,” ujarnya.

Tambahnya, usaha Unilever Malaysia menumpukan perhatian dalam aspek penjagaan kesihatan generasi muda wajar dicontohi.

“Ternyata tanggungjawab melahirkan golongan anak muda yang produktif tidak terhad kepada institusi pendidikan dan ibu bapa sahaja. Seluruh lapisan masyarakat termasuk syarikat korporat mempunyai peranan dalam mengolah masa depan generasi muda,” katanya.

Oleh NURUL IZZA ROSLY
Smber: Kosmo

1 comments:

Karen Monica berkata...

pemakanan yang sihat bermula dari rumah. ibu bapa juga perlu menunjukkan teladan yang baik dengan mengamalkan pemakanan yang sihat