29 Jun 2012

Syaaban Bulan Latihan Rohani Persiapan Sambut Ramadhan



Syaaban adalah masa untuk kita mengejar kebajikan sebanyak mungkin sebagai persediaan dan latihan menyambut Ramadan.Sesungguhnya Syaaban ruang kesempatan untuk memperbaiki diri menjelang tibanya Ramadan, medan untuk karnival ibadat umat Islam sedunia.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Keutamaan bulan Syaaban di atas semua bulan itu, seperti keutamaan aku di atas semua nabi dan keutamaan bulan Ramadan itu di atas semua bulan ibarat keutamaan Allah SWT di atas semua hamba-Nya.”

Syaaban adalah bulan Rasulullah SAW dan bagi kita sebagai umatnya pelbagai ganjaran disediakan untuk setiap amalan bagi persediaan menghadapi Ramadan.

As-Syeikh Othman Ahmad Syeikh al- Khaubawi dalam kitab Duratun Nasihin menceritakan amalan Rasulullah SAW yang diriwayatkan Anas bin Malik: “Sesungguhnya Allah SWT telah menciptakan laut dari sinar di bawah Arasy, lalu menciptakan satu Malaikat yang mempunyai dua sayap, satu sayapnya di timur dan sayapnya yang lain di barat, sedang kepalanya di bawah Arasy dan kedua kakinya di bawah lapis bumi ke tujuh. Apabila seseorang hambanya membaca selawat untukku di bulan Syaaban maka Allah SWT menyuruh Malaikat itu, supaya menyelam di air. Malaikat itupun menyelam, kemudian keluar dari dalam air serta mengibas-ngibaskan kedua-dua sayapnya, sehingga bertitisanlah air dari bulu-bulu yang sangat banyak sekali. Maka Allah SWT menciptakan daripada tiap-tiap titis air itu, satu Malaikat yang memohonkan ampunan bagi orang yang membaca selawat, sampai hari Kiamat.”


Pertukaran Arah Kiblat

Jika Rejab mencatatkan sejarah istimewa iaitu Israk dan Mikraj, Syaaban melakarkan peristiwa pertukaran arah kiblat ketika permulaan kewajipan solat.

Ketika Rasullah SAW berkiblatkan Baitulmaqdis (Masjidil Aqsa), kaum Yahudi menyebarkan propaganda bahawa kebenaran berada di pihak mereka kerana umat Islam sudah meniru agama mereka berkiblatkan Baitulmaqdis.

Ini menyebabkan Baginda SAW merenung jauh bagi memikirkan perkara itu maka turun firman Allah yang bermaksud: “Sering kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad) mendongak ke langit memikirkannya, maka Kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu berpalinglah mengadap Masjidilharam (Makkah) dan di mana saja kamu berada, maka hadapkanlah wajahmu ke arahnya. Sesungguhnya orang Yahudi dan Nasrani mengetahui benar akan kisah perpindahan kiblat ini adalah perintah dari Allah dan Allah sekali-kali tidak akan lalai terhadap apa yang mereka lakukan.” (Surah al-Baqarah, ayat 44)

Puasa Sunat

SYAABAN mempunyai keistimewaan tersendiri dalam Islam. Rasulullah mencintai bulan Syaaban. Baginda banyak berpuasa sunat pada bulan ini. Rasulullah melakukannya bagi menjadi contoh kepada umatnya. Selain memperbanyakkan amal kebajikan pada bulan ini, ia adalah latihan rohani ke arah mempersiapkan diri menyambut kedatangan Ramadan.

DARIPADA Saidatina Aisyah, katanya: “Rasulullah SAW sering berpuasa sehingga kami mengira bahawa Baginda tidak akan berbuka. Dan Baginda sering berbuka sehingga kami mengira Baginda tidak akan berpuasa. Dan aku tidak pernah melihat Baginda berpuasa terus sebulan penuh kecuali pada bulan Ramadan. Dan aku juga tidak pernah melihat Baginda berpuasa sunat dalam sebulan yang lebih banyak daripada puasanya di bulan Syaaban. Kadang-kadang, Baginda berpuasa Syaaban sebulan penuh dan kadang-kadang Baginda berpuasa sedikit daripadanya.” (Hadis riwayat Al-Bukhari).

Ibadah berpuasa adalah antara amalan yang digalakkan di dalam bulan ini dan merupakan amalan yang dianggap agak sukar kerana ia benar-benar menguji ketahanan mental, emosi dan fizikal seseorang. Bagaimanapun, inilah amalan yang banyak ganjarannya jika dilakukan dalam bulan ini.

Kitab Durratun Nasihin ada menyebut hadis, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa tiga hari pada permulaan Syaaban dan tiga hari pada pertengahan Syaaban dan tiga hari pada akhir Syaaban, maka Allah mencatat untuknya pahala seperti pahala 70 nabi dan seperti orang yang beribadat kepada Allah Taala selama 70 tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti orang yang mati syahid.”

Sabda Rasulullah SAW apabila ditanya apakah bulan selepas Ramadan yang afdal berpuasa, Nabi SAW menjawab yang bermaksud: “Bulan Syaaban kerana untuk mengagungkan Ramadan. Nabi SAW ditanya lagi: Sedekah apakah yang lebih afdal? Nabi SAW menjawab: Sedekah di bulan Ramadan.” (Hadis riwayat at-Tirmizi).

Untuk mencapai kelebihan bulan ini, umat Islam di anjurkan melakukan puasa sunat dan qiamullail. Inilah ibadah diutamakan Rasulullah SAW dengan memperbanyakkan puasa sunat pada 15 terakhir Syaaban. 

Keistimewaan bulan ini adalah amalan seluruh manusia diangkat untuk dihadapkan kepada Allah. Maka sewajarnya sepanjang bulan ini diisikan dengan amal ibadat dan kebajikan. Antara amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban adalah memperbanyakkan puasa, bertaubat dan beristighfar, memperbanyakkan zikir dan doa.

Rasulullah pernah ditanya mengapa Baginda melebihkan bulan Syaaban berbanding bulan lain lalu Baginda bersabda, “Bulan itu (Syaaban) yang berada di antara Rejab dan Ramadan adalah bulan yang dilupakan manusia dan ia adalah bulan yang diangkat padanya amal ibadat kepada Tuhan sekalian alam, maka aku suka supaya amal ibadatku diangkat ketika aku berpuasa.” (Hadis direkodkan oleh Nasaie)

Nisfu Syaaban

Pada bulan Syaaban juga ada satu malam yang sangat dinanti-nantikan umat Islam iaitu malam Nisfu Syaaban kerana pada malam itu Allah SWT memberikan kelebihan kepada hamba-Nya dan memberi keampunan kepada mereka kecuali yang syirik kepada-Nya.

Pertengahan Syaaban (Malam 15 Syaaban) atau lebih dikenali sebagai Nisfu Syaaban ini mempunyai kelebihan tersendiri. Dalam hadis sahih, Muaz bin Jabal melaporkan Rasulullah berkata, “Allah menjenguk datang kepada semua makhluknya pada malam Nisfu Syaaban, diampunkan dosa sekalian makhluknya kecuali orang yang menyekutukan Allah atau orang yang bermusuhan.” (Hadis direkodkan oleh Ibn Majah, Tabrani dan Ibn Hibban).

Islam mengajar umatnya menjaga dan menggunakan masa dengan beriadah kepada Allah dalam apa juga bentuk ibadat sama ada ibadat khusus mahupun umum. Islam mahu melahirkan umat yang berkualiti dalam ibadat, masa dan pekerjaan.

Solat tahajud dan solat taubat haruslah ditekankan khususnya pada malam Nisfu Syaaban. Rasulullah menggalakkan kita supaya melakukan kebaikan terutama ibadat khusus seperti solat sunat, puasa sunat dan sedekah secara berterusan (istiqomah) walaupun sedikit. Malam Nisfu Syaaban juga sunat dihidupkan dengan membaca zikir serta al-Quran kerana malam itu adalah malam yang amat mustajab dan penuh rahmat.

Baginda sendiri bukan saja kuat beribadat khusus, memohon keampunan, malah Baginda juga sebagai bapa, suami, ahli masyarakat dan paling besar adalah sebagai pemimpin negara serta ummah. Semuanya dikira ibadat jika dilakukan mengikut syariat Islam.



Syaaban ruang perbaiki diri

Memperkukuhkan tali silaturahim sesama manusia. Hubungan sesama manusia penting kerana ia bersangkutan hubungan manusia dengan Allah SWT. Leraikanlah permusuhan sesama kita dan saling bermaafan kerana Allah SWT tidak akan mengampunkan dosa manusia selagi mereka bermaafan.

Ikatan silaturahim mesti disegarkan semula kerana sikap permusuhan akan mengundang sia-sia kepada ibadat kita. Hati mestilah disucikan daripada perasaan benci dan dendam serta melakukan fitnah supaya dapat merasai kemanisan beribadat di bulan Ramadan yang dipenuhi keberkatan.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang menyebarkan fitnah dan permusuhan tidak akan ke syurga.” (Hadis riwayat Muslim dari Huzaifah)

Memperbanyak doa, zikir dan membaca selawat kepada Rasulullah SAW. Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertakwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri daripada perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya dalam tahun itu dari segala macam bencana dan penyakit.” (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa'izhin) 

Beristiqamah melaksanakan amal ibadah dan kebajikan untuk menjadikan jiwa sentiasa tetap dengan pendirian. Ia dapat melonjakkan kualiti ibadat walaupun kuantiti ibadat dilakukan dengan kadar sedikit.

Munajat keampunan juga haruslah diperbanyakkan kerana dosa dan kesalahan kita semakin bertambah disebabkan semua pancaindera dipergunakan pada setiap masa. Ramai yang tidak menyedari bahkan alpa dengan segala dosa dilakukannya saban waktu. Dosa semakin hari semakin bertambah terutama dosa kecil daripada percakapan, penglihatan, pendengaran dan perbuatan. 

Semua dosa ini sebenarnya telah menjadi titik hitam dalam hati yang menyebabkan hati semakin keras. Lebih membimbangkan, hati akan jauh daripada petunjuk Allah SWT. Perbanyakkan berdoa dan memohon ampun selagi pintu keampunan itu terbuka.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan hendaklah kamu memohon keampunan kepada Tuhanmu dan hendaklah kembali taat pada-Nya supaya kamu mendapat nikmat dan rahmat di dunia dan akhirat.” (Surah Hud, ayat 3)

Syaaban bulan tarbiyah untuk mendidik jiwa dengan melakukan ibadat penuh ketaatan dan keikhlasan. Kekuatan yang dijana pada Syaaban akan menghasilkan kesan positif terhadap ibadat Ramadan.

Segala dosa akan terampun jika terdapat unsur kesungguhan dan istiqamah dalam melakukan ibadat. Sifat mazmumah seperti dengki dan khianat akan terhakis dengan amalan kebajikan yang semakin bertambah. Rebutlah peluang Syaaban untuk merealisasikan Ramadan.

Sumber:
Buku Diari Ramadan / BHarian [2012/06/21], BHarian [2012/06/23],
Khutbah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) / BHarian [2012/06/22],
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) / BHarian [2012/06/18]

3 comments:

Unknown berkata...

Berapa hari dah dapat puasa Syaaban koding?? ^^

amranaiman berkata...

jom puasa syaban :)

caliph shuriken berkata...

semakin mhampiri ramadhan ^^