30 Julai 2012
Bedil Bukit Pak Apil Tanda Berbuka dan Imsak
BAGI penduduk sekitar Kuala Terengganu, mereka tidak perlu menatap jam atau mendengar laungan azan untuk menentukan sudah tiba waktu berbuka sepanjang bulan Ramadan.
Begitu juga apabila ingin mendapatkan kepastian tibanya waktu imsak untuk mula menahan diri daripada segala yang ditegah sambil bersiap menunaikan solat subuh.
Mereka hanya perlu mendengar ledakan bedil dari Bukit Pak Apil yang menyajikan kelainan Ramadan di Kuala Terengganu dan suasana itu sangat istimewa bagi sesetengah orang.
Satu bedilan dilepaskan apabila tiba waktu berbuka, sekali lagi permulaan imsak dan permulaan detik hari baru untuk berpuasa yang menjadi tradisi sejak lebih lima dekad lalu.
Difahamkan tradisi bedilan ini menyusul selepas penggunaan genta atau loceng besar di Bukit Puteri ketika zaman Sultan Zainal Abidin Ketiga dari 1881 hingga 1918.
Seorang pesara, Ibrahim Omar, 75, memberitahu bunyi bedil dari Bukit Pak Api itu cukup sinonim dengan Ramadan di Kuala Terengganu.
''Malah tidak keterlaluan dikatakan, menjadi tidak sempurna jika dentuman bedil tersebut tidak kedengaran sepanjang bulan puasa dan jadi kenangan bagi mereka yang pernah berada di sini," katnya.
Kemeriahan Ramadan lebih terserlah dengan bunyi ledakan bedil yang dipanggil 'bedil puasa' dan 'bedil raya' di mana dentumannya boleh kedengaran sehingga jarak 10 kilometer.
Seperti lazimnya, pada petang, sehari sebelum 1 Ramadan, sebanyak tujuh das tembakan bedil dilepaskan sebagai peringatan kepada umat Islam tentang bermulanya puasa pada keesokannya.
Selain waktu berbuka puasa, dua das lagi akan kedengaran pada waktu sahur dengan tembakan pertama sebagai 'amaran' sebelum disusuli dentuman kedua menandakan waktu imsak.
Pihak polis dipertanggungjawab untuk menyeliakan tembakan bedil itu yang dikendalikan sebuah syarikat pengeluar bunga api dengan menggunakan bunga api bersaiz 12 inci untuk menghasilkan bunyi padat.
Besi paip besar digunakan melancarkan bunga api ke udara. Sebanyak lapan batang paip dipacak di atas tanah dengan sebatang paip menghasilkan satu letupan.
Ini bermakna, untuk berbuka puasa, hanya sebatang paip digunakan dan dua batang paip untuk waktu imsak. Bagi menandakan esok mula berpuasa atau hari raya, kesemua lapan batang paip akan digunakan.
Untuk proses letupan bedil ini, pelancar akan digunakan untuk menembak bunga api dan pelancar ini dikawal alat kawalan yang diletak 30 meter dari jarak pelancar tadi.
Sejurus suis dipicit, satu bunyi kecil kedengaran dan dalam masa lima saat selepas itu, bunga api akan terpancar di udara disusuli bunyi padat.
Sumber: Utusan
Labels:
Maklumat Umum
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
2 comments:
mmg istimewa..
lagi-lagi zaman aku mmg xde bende ni...
lain dr yg lain...kat tempat lain xde kot...
Catat Ulasan