20 Julai 2012

Boleh Bawa Telefon Dan iPad Ke Sekolah?



Peraturan Pendidikan (Disiplin Murid) 2012

Kementerian Pelajaran sedang merangka Draf Peraturan Pendidikan (Disiplin Murid) 2012 yang akan membenarkan pelajar membawa peralatan komunikasi termasuk telefon bimbit dan iPad ke sekolah mulai tahun 2012.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, pihaknya bagaimanapun akan menetapkan garis panduan yang mengawal penggunaan alat komunikasi tersebut bagi mengelakkan ia mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran di kelas.

Menurutnya, keputusan untuk membenarkan telefon bimbit dibawa ke sekolah adalah selari dengan perkembangan semasa serta mengambil kira faktor keselamatan pelajar.


''Sebelum ini, para ibu bapa pernah beberapa kali meminta Kementerian Pelajaran membenarkan pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah, ini bagi membolehkan mereka mengawasi pergerakan anak mereka," katanya.

Dalam pada itu, Ka Siong berkata, kebenaran penggunaan iPad adalah selari dengan kaedah pembelajaran secara dalam talian yang semakin popular di negara ini.

''Kementerian Pelajaran akan memperkenalkan cara pembelajaran dalam talian iaitu 1BestariNet mulai tahun 2012, kaedah pembelajaran ini akan semakin berleluasa di negara ini. iPad juga mempunyai fungsi perbualan, alat komunikasi seperti Samsung Galaxy Note adalah sukar dikategorikan sebagai telefon bimbit atau komputer riba," katanya.

Ka Siong bagaimanapun menegaskan keputusan untuk membenarkan telefon bimbit dibawa ke sekolah tidak bermaksud Kementerian Pelajaran menggalakkan pembelian produk berteknologi tinggi dalam kalangan pelajar.

Menurutnya, Draf Peraturan Pendidikan (Displin Murid) 2012 kini berada di peringkat akhir penyediaan sebelum diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk diluluskan. Dalam tempoh ini, Kementerian Pelajaran mengalu-alukan pendangan daripada semua pihak.

Dalam perkembangan berkaitan, Ka Siong berkata, Draf Peraturan Pendidikan (Displin Murid) 2012 juga akan menetapkan peraturan untuk menangani perihal jenayah siber. Ini antaranya bertujuan mengelakkan pelajar menyalahgunakan alat komunikasi untuk tujuan yang tidak baik termasuk memfitnah guru di Internet.

Oleh THOMAS CHONG
Sumber: Utusan [16/07/2012]

Majoriti guru tak setuju

Lebih 90 peratus guru dan 80 peratus pemimpin sekolah tidak bersetuju cadangan Kementerian Pelajaran membenarkan pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah.

Keputusan hasil kaji selidik membabitkan kira-kira 2,000 responden di seluruh negara itu dimaklumkan Yang Dipertua Majlis Pengetua Sekolah Menengah (MPSM), Muhamad Khailani Abdul Jalil.

Malah, kajian itu turut mendapati lebih 75 peratus ibu bapa dan 55 peratus pelajar sendiri turut menolak cadangan berkenaan. Kajian dibuat Kementerian Pelajaran tahun 2011 lalu untuk mendapatkan pendapat pihak berkepentingan mengenainya.

Beliau berkata, rata-rata semua pihak kepentingan menegaskan keperluan pelajar untuk membawa telefon bimbit ke sekolah amat sedikit dan tidak mewakili suara majoriti. Kebimbangan utama semua pihak berkepentingan itu ialah ia lebih banyak membawa keburukan.

“Berdasarkan pengalaman sekolah, 60 peratus pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah walaupun tidak dibenarkan ketika ini. Masalah berlaku apabila telefon bimbit hilang, pelajar menuduh rakan mencuri sehingga mencetuskan pergaduhan.

“Pelajar juga akan membawa anasir berunsur lucah ke sekolah dan berisiko tinggi berlaku penyebaran yang boleh mempengaruhi rakan,” katanya.

Syuhada Choo Abdullah
BHarian [18/07/2012]

Bantah pelajar bawa telefon

Langkah membenarkan para pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah dikhuatiri boleh menyebabkan tumpuan mereka terhadap pembelajaran di dalam kelas terganggu.

Setiausaha Agung Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Zambri Mohd. Isa berkata, selain tidak sesuai dilaksanakan kerana memberi kesan terhadap fokus pelajar, ia juga boleh mewujudkan jurang antara pelajar berkemampuan dan kurang berkemampuan.

''Perkara ini perlu dikaji kerana dikhuatiri ia akan menganggu fokus para pelajar ketika di dalam kelas,'' katanya.

Tokoh pendidik, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim berpeandangan, penggunaan peralatan itu di sekolah dilihat tidak memberi manfaat terhadap peningkatan mutu pembelajaran pelajar.

"Kerajaan perlu memperhalusi cadangan ini dengan sebaik-baiknya kerana bimbang kesannya terhadap institusi sekolah, hubungan antara guru dan pelajar serta masa depan negara," katanya.

Menurut Kay Kim, kerajaan juga harus mencorak sistem pendidikan mengikut acuan sendiri agar ia dapat membantu ke arah kemajuan dan kecemerlangan sistem pendidikan negara.

"Jika ingin melakukan perubahan, biarlah perubahan itu membawa lebih banyak kebaikan dan bukan atas kepentingan satu-satu pihak sahaja," katanya.

Seorang lagi tokoh pendidik, Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim pula berpendapat, kebenaran membawa alat telekomunikasi itu dibimbangi akan disalahgunakan oleh pelajar.

"Daripada aspek keselamatan, saya melihat ia memang wajar dibenarkan agar ibu bapa sentiasa boleh berhubung dengan anak-anak mereka.

"Tetapi dari sudut persekolahan, saya bimbang ia menjejaskan tumpuan pembelajaran, disalahgunakan, menambahkan beban guru untuk memantau sewaktu proses pembelajaran selain berlakunya kes-kes kecurian," katanya.

Dalam pada itu, Tokoh Guru Kebangsaan 2010, Awang Mohamad berkata, langkah tersebut tidak perlu dibuat dengan terburu-buru memandangkan suasana di dalam kelas tidak menuntut pelajar menggunakan peralatan canggih tersebut.

Sumber: Utusan [18/07/2012]

Belum ada keputusan

Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan belum ada sebarang keputusan dibuat terhadap cadangan membenarkan pelajar membawa telefon bimbit dan iPad ke sekolah.

Kementerian Pelajaran akan mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk masyarakat, guru-guru dan ibu bapa sebelum membenarkan pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kebenaran itu hanya keputusan pada peringkat Jawatankuasa Disiplin Murid peringkat Kementerian Pelajaran dan belum dimuktamadkan.

Sumber: Utusan [19/07/2012], BERNAMA [19/07/2012]

Kerajaan perlu tegas

Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) menggesa kerajaan membuat keputusan tegas berhubung cadangan membenarkan pelajar membawa telefon bimbit dan iPad ke sekolah.

Presidennya, Prof. Madya Datuk Mohd. Ali Hassan berkata, selain mengganggu proses pembelajaran, ia juga boleh mewujudkan budaya tidak sihat dalam kalangan pelajar.

"Langkah membenarkan pelajar membawa telefon bimbit hanya akan menganggu tumpuan mereka pada sesi pembelajaran ketika berada di dalam kelas.

"Langkah itu juga dikhuatiri akan mengundang beberapa masalah lain seperti kecurian, penyalahgunaan dan wujud jurang antara berkemampuan dan kurang berkemampuan dalam kalangan pelajar," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin Khamis lalu yang menegaskan, belum ada sebarang keputusan dibuat terhadap cadangan membenarkan pelajar membawa telefon bimbit dan iPad ke sekolah.

Jelas Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, perkara tersebut hanya salah satu cadangan yang diusulkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Disiplin peringkat kementerian yang dipengerusikan oleh timbalannya, Datuk Dr. Wee Ka Siong beberapa minggu lalu setelah mengambil kira perkembangan teknologi terkini.

Mohd. Ali berkata, penggunaan peralatan alat komunikasi itu turut dilihat akan membebankan pihak sekolah daripada aspek kos dan masa.

"Saya bimbang ia akan meningkatkan kos pihak sekolah dalam menyediakan lokar khas untuk menyimpan peralatan elektronik itu kepada pelajar serta menambahkan beban guru untuk memantau sewaktu proses pembelajaran," ujarnya.

Justeru jelasnya, kerajaan harus mengkaji perkara tersebut secara mendalam terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan agar ia tidak mendatangkan kesan negatif terhadap institusi pendidikan negara.

Sumber: Utusan [25/7/2012]

0 comments: