19 Julai 2012

Sudoku Bukan Permainan Matematik


Aktiviti yang baik bagi meremajakan minda disamping sebagai aktiviti mengisi masa lapang.

BEBERAPA orang lelaki berusia lebih separuh abad beristirehat sambil menconteng sesuatu di atas kertas putih di kafe makanan stimbot bersebelahan dengan bangunan SECITA di Seksyen 7, Kelana Jaya. Kertas putih itu rupanya bukan kosong, tetapi mempunyai petak-petak kecil dengan sembilan petak di setiap lajur dan baris membentuk 81 petak kecil iaitu grid.

Mereka semua sedang cuba menyelesaikan teka-teki Sudoku menggunakan nombor 1 hingga 9 dalam satu kotak kecil sembilan petak tanpa berulang sehingga penuh grid tersebut.

"Kebanyakan daripada kami adalah pesara. Oleh kerana tidak mahu otak kami juga bersara sama, kami tampil dengan idea bermain Sudoku. Masing-masing mempunyai sebab sendiri memilih permainan ini. Tetapi hasilnya, ia sangat membantu awet muda otak serta mengisi masa lapang," demikian kata Presiden Persatuan Sudoku Malaysia, Ismail Omar.


Beliau yang berada dalam lingkungan usia 60-an mengakui ahli persatuan sebenarnya turut terdiri daripada orang muda, cuma mereka jarang bersama dalam setiap pertemuan kerana golongan muda lebih sibuk dan terikat dengan kerja.

Ganeson Somasundram adalah ahli persatuan yang paling tua. Duduk di hujung meja sambil memegang kertas dan pensil, warga emas yang berusia 74 tahun itu perlahan-lahan mengatur nombor.

"Saya mula membuat teka-teki ini enam tahun lalu apabila melihatnya di akhbar berbahasa Inggeris. Perlahan-lahan saya mula mengembangkan minat saya, sehingga sekarang saya cuba membuat empat hingga lima teka-teki Sudoku dalam masa sehari," kongsinya.

Kata lelaki yang sudah bergelar datuk itu lagi, walaupun penglibatan dalam permainan tersebut hanyalah secara suka-suka, beliau mendapati ia membantu mengekalkan dirinya lebih sedar dan tajam pemikiran. Sama seperti Ganeson, beberapa warga emas lain turut sibuk sesama mereka mengatur nombor pada grid Sudoku.

"Walaupun selalu bermain Sudoku, saya masih merasakan ia susah. Kemampuan saya menyelesaikan Sudoku adalah daripada tahap satu bintang hingga tiga atau empat bintang, selebihnya agak sukar," kata seorang lagi ahli Persatuan Sudoku, Mohd. Yusri Mohd. Shariff, 51.


PELBAGAI buku panduan dan bimbingan menjadi rujukan pemain Sudoku bagi meningkatkan tahap kemahiran masing-masing.

Kuiz berasaskan logik

Kebiasaannya, ramai yang mempunyai salah faham ke atas kuiz Sudoku apabila melihatnya sebagai permainan matematik.

"Apabila anda berfikir ia matematik, maka Sudoku diberi gambaran sejenis permainan yang sukar," kata seorang ahli jawatankuasa persatuan tersebut Lim Teck Guan.

Namun, sebenarnya, Sudoku hanya melibatkan logik dan ia tidak sama sekali merupakan permainan matematik.

"Apabila menganjurkan kejohanan Sudoku seperti mana yang dilakukan secara tahunan oleh Persatuan Sudoku Malaysia, kami akan cuba mendekati orang ramai untuk mengubah persepsi itu. Sebaik mendapat tahu paten sebenar permainan itu, ramai yang mula menunjukkan minat," kata Ismail pula.

Persatuan tersebut turut aktif melibatkan diri dalam pelbagai acara dan aktiviti khususnya di peringkat institusi pengajian tinggi untuk mendekatkan Sudoku dengan orang muda.

Bercadang untuk membuka cawangan persatuan tersebut di semua negeri khususnya Sabah, Ismail, kesal dengan kekurangan sukarelawan yang sanggup berkerjasama dengan mereka dalam merealisasikan impian persatuan tersebut berkembang.

Namun, buat masa sekarang sebuah sekolah di Bandar Utama melibatkan diri dalam Sudoku sebagai kurikulum tambahan, ujarnya.


SEBAHAGIAN daripada ahli Persatuan Sudoku Malaysia bersungguh-sungguh menyelesaikan soalan kuiz masing-masing.

Bercakap mengenai kaedah permainan Sudoku, Yusri sekali lagi dengan penuh khusyuk memberitahu, antara taktik penyelesaian seperti counts, twins, menyilang, Xan dan Yung, swordfish dan sebagainya.

"Ia adalah antara strategi yang digunakan dalam mengatur nombor-nombor Sudoku. Oleh kerana ia tidak melibatkan pengiraan, taktik-taktik logik yang dinamakan tadi diaplikasi," kata Yusri yang bekerja sebagai seorang jurutera.

Bagi Teck Guan pula, beliau bukan sekadar bergiat aktif dalam mengisi masa lapang bermain Sudoku, bahkan menariknya telah mengeluarkan beberapa buku berkaitan Sudoku dengan yang terbaharu, hasil paten sendiri 1Sudoku.

Kebanyakan mereka dilihat mula terlibat dalam teka-teki Sudoku sejak ia mula diterbitkan di akhbar. Kemudian ia menjadi sebahagian gaya hidup atau pengisi masa lapang. Sekiranya diamalkan sejak lebih muda, Yusri percaya pemikirannya mungkin lebih tajam dan peka.

"Saya terlibat dengan Sudoku pada tahun 2009. Ia juga membantu dalam tugas saya, menyelesaikan masalah yang berkaitan logik. Saya harap Sudoku akan dinaik taraf di peringkat kurikulum sekolah kerana ia benar-benar berhasil mencetus kesihatan minda," luahnya bersungguh.

Perbaharui neuron otak

Seorang Pakar Kesihatan Usia Pusat Perubatan Pantai, Dr. Rajbans Singh mengenai penglibatan warga emas dalam permainan berbentuk teka-teki atau silang kata berkata, melatih minda dengan permainan berbentuk teka-teki adalah satu usaha yang baik khususnya kepada mereka pada usia emas.

Permainan seperti Sudoku katanya lagi, akan membantu menstimulasi dan membantu memperbaharui neuron otak. Ia sekali gus mengelak daripada masalah sakit tua membabitkan hilang memori, lupa, Alzheimer, nyanyuk dan sebagainya.

"Permainan Sudoku boleh diibaratkan senaman mental yang boleh membaik pulih serta menajam kemampuan mental," katanya yang menggalakkan warga emas memilih mana-mana permainan, teka-teki atau silang kata berbentuk interaktif bagi pemulihan otak.

Ujarnya lanjut, ia seperti merawat masalah sakit tua di peringkat awal.

"Jika ia boleh membantu orang tua, apatah lagi mereka yang masih muda. Ia satu permulaan yang baik dan tidak pernah lewat," tambah Rajbans.

Menyahut cabaran Sudoku pada usia muda, Hooi Cheng Leong, 15, sudah pun mula menjinakkan diri dalam permainan itu sejak berusia enam tahun lagi. Berasal dari Petaling Jaya, Cheng Leong didampingi bapanya yang turut bersama-sama terlibat dalam menyelesaikan Sudoku dalam akhbar.

"Bapa ajar saya cara bermain. Saya pun terikut-ikut dengan beliau. Agak mudah dan saya mempelajari dalam masa tiga minggu," katanya. Cheng Leong adalah johan pertandingan Sudoku bawah 18 tahun pada tahun lalu.

Menariknya, Cheng Leong boleh menyelesaikan kira-kira 30 Sudoku sehari selama tiga minggu sebagai persiapan menjelang sesuatu kejohanan.

"Selagi kita tahu selok-belok penyelesaian dan berlatih secara konsisten, saya rasa tiada masalah," katanya yang mengambil masa lebih kurang 15 minit bagi menyelesaikan sebuah Sudoku.

Sumber: Kosmo
Sila Baca Juga: SUDOKU(Untuk mengetahui cara bermain sudoku)

5 comments:

Zamani berkata...

Best sudoku. menajamkan otak jgk buat sudoku ni.

Jahirah berkata...

jarang bermain sudoku.pasni kena rajin2 main la....;)

Noor Atikah Ramli berkata...

ika suka main sudoku. best ! ^^

Karen Monica berkata...

selalu juga puteri main sudoku bila ada masa terluang

caliph shuriken berkata...

dh lama x main sudoku.. lagi pun x mahir laa...