Nuff Atas

01 Ogos 2012

Adtech Tukar Sisa Jadi Baja Dan Biogas


Sisa makanan boleh dilupuskan menjadi baja ....

KESUKARAN melupuskan sisa makanan dan minyak yang mencecah beratus kilogram setiap hari sentiasa mengganggu fikiran pemilik restoran Namkiending di Bangkok, Thailand, Banuerd Loplamlert.

Selama hampir 15 tahun, masalah itu bermain di fikiran Loplamlert kerana sisa makanan tersebut mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan.

Bahkan, usahawan itu tidak mengetahui cara sesuai melupuskan lebihan minyak memasak dan lemak yang boleh menjejaskan alam sekitar. Selain terpaksa mengeluarkan belanja besar mengatasi masalah tersebut, Loplamlert sebenarnya tidak berasa yakin kaedah yang sedia ada itu benar-benar berkesan.


Bagaimanapun, selepas beliau menghadiri satu ekspo di Bangkok kira-kira tujuh tahun lalu Loplamlert menemui jalan penyelesaian yang tidak pernah diduganya. Di situ, dia diperkenalkan dengan mesin kitar semula keluaran Micro Biotec Co. Ltd.


SISA jualan sayuran dihancurkan sebelum dimasukkan ke dalam mesin kitar semula Adtech di pasar basah Samyan, Bangkok.

“Semasa berada di ekspo berkenaan, seorang pekerja telah menerangkan mengenai mesin kitar semula itu. Pada waktu itu saya tidak begitu yakin dengan produk tersebut.

“Namun, terdetik di sanubari saya untuk mencuba sesuatu yang baharu asalkan ia dapat memulihara alam sekitar walaupun perlu mengeluarkan pelaburan,” katanya.

Dia ditemui pada sesi lawatan syarikat BWF Network, CH Green Sdn. Bhd. dan Micro Biotec. Co. Ltd. ke premis-premis yang sudah menggunakan Adtech di beberapa buah wilayah di Thailand baru-baru ini.

Sebagai pembeli terawal Adtech iaitu mesin berkapasiti 350 kilogram (kg), ternyata ia bukanlah pelaburan sia-sia.

Menurut Loplamlert, dengan menggunakan Adtech, dia dapat menjimatkan kos operasi di restorannya sekali gus mampu memulihara alam sekitar sehingga menambah dua lagi mesin tersebut.

“Lebihan makanan dan minyak yang agak sukar diuruskan sebelum ini dapat diurus dengan baik serta berkesan. Selain daripada itu, mesin tersebut juga mampu menghasilkan baja selepas kira-kira 15 minit melalui proses kitar semula,” katanya.


BAJA organik yang dihasilkan mesin kitar semula Adtech.

Baja yang dihasilkan melalui proses kitar semula digunakan terus pada tumbuhan yang ditanam untuk kegunaan restoran itu.

Hasilkan gas bio

Melalui mesin kitar semula berkenaan, ia turut mampu menghasilkan biogas.

“Saya menggunakan biogas yang terhasil untuk memasak dan ia dapat mengurangkan sehingga 20 peratus kos penggunaan gas memasak di restoran ini.

“Saya dapat menjimat kos operasi sehingga RM20,000 setahun,” ujarnya.

Sementara itu, juruteknik yang bertugas di Horseshoe Point, Pattaya, Viroat Wathawy, memberitahu, Adtech sebenarnya dapat menghasilkan pulangan yang menguntungkan.

“Setiap hari dua mesin Adtech yang berkapasiti 500kg setiap satu dapat menghasilkan 1,000 liter baja cecair daripada bahan buangan kuda di Horseshoe Point yang kemudiannya dijadikan EM (effective mikroorganisme).



SRIYAPHAN menunjukkan model mesin Adtech yang mampu menghasilkan biogas, baja dan efektif mikroorganisma yang bermanfaat kepada alam sekitar di kilang Micro Biotec di Nonthaburi baru-baru ini.

“Sebanyak 80 peratus digunakan untuk tumbuhan di kawasan Horseshoe Point, manakala bakinya dijual kepada petani di sekitar kawasan ini,” katanya.

Jumlah yang dijual itu bersamaan 200kg yang dijual pada harga RM12 seliter di Thailand. Ia dapat menghasilkan pendapatan sebanyak RM2,400 sehari. Jumlah itu tidak termasuk penjimatan penggunaan baja ke atas tumbuhan di kawasan seluas kira-kira 80 hektar itu.

Jelasnya, hasil baja yang diterima melalui penggunaan mesin itu sangat berbaloi, malah proses penghasilan baja hanya mengambil masa kira-kira dua jam sahaja setiap hari.

Mudah dikendalikan


MURID sekolah Kumutmas di Pakret, Nonthaburi menggunakan mesin Adtech untuk melupuskan sisa makanan dari rumah dan sekolah.

Dalam pada itu, pelajar-pelajar Sekolah Kumutmas, Nonthaburi, Thailand mempunyai cerita tersendiri berhubung mesin mesra alam tersebut.

Menurut mereka, mesin tersebut mudah dikendalikan dan mengajar pelajar menyayangi alam sekitar.

Salah seorang pelajar, Naphat Sirichaipattana memberitahu, walaupun usianya baru mencecah 10 tahun, tetapi dia sudah pandai mengendalikan Adtech.

Selain sisa makanan di sekolah, mereka turut membawa sisa makanan dari rumah untuk dikitar semula menjadi biogas dan baja menggunakan Adtec di sekolahnya.

“Ibu saya gembira sebab saya bukan sahaja bawa sisa makanan yang berbau busuk ke sekolah, tetapi dapat membawa pulang baja untuk kegunaan tumbuhan di rumah,” kata pelajar itu lagi.

Pengarah sekolah berkenaan, Ajjana memberitahu biogas yang dihasilkan melalui proses itu pula akan disalurkan untuk kegunaan kantin sekolah.

“Sekarang ini kami sudah mampu menjimatkan kos gas memasak sebanyak 50 peratus.

“Kami menetapkan sasaran dalam masa terdekat untuk menggunakan sepenuhnya biogas selepas penggunaan Adtech mencapai tahap maksimum iaitu 100kg,” katanya yang turut menjelaskan mesin berkenaan dibeli Ahli Lembaga Pengarah sekolah itu sejak setahun lalu.

Oleh MANIRAH OTHMAN
Sumber: Kosmo

0 comments: