18 Ogos 2012

Aidilfitri Cara Rasulullah SAW

Selamat Hari Raya Aidilfitri dari Anarm.Net

SALAM akhir Ramadan dan Salam Syawal. Hampir sebulan yang lalu, kita berdoa agar Allah SWT memanjangkan umur kita hingga bertemu Ramadan.

Kini Ramadan telah melabuhkan tirainya. Telah berpisah dengan kita dan belum pasti ketemu lagi dengan Ramadhan akan datang. Mari kita sama-sama memperkemaskan diri dan iman untuk menghadapi saat-saat perpisahan kita dengan Ramadan. Kita juga harus melihat bagaimana Rasulullah SAW menghadapinya dan bagaimana Baginda menyambut kedatangan Syawal dan Aidilfitri.

Ketika Rasulullah berhijrah ke Madinah, ada dua hari raya yang disambut meriah oleh penduduknya. Maka Baginda bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah menggantikan untuk kamu dua hari yang lebih baik daripada itu iaitu Aidiladha dan Aidilfitri."(Hadis riwayat Abu Daud dan An-Nasa'i).

Di sini jelas bahawasanya menyambut hari raya dengan kegembiraan dan kemeriahan merupakan perkara yang dibenarkan, asalkan ia tidak menyalahi batasan syariat Islam.

Rasulullah menganjurkan kita sebagai umat Islam untuk memperbanyakkan bertakbir pada 1 Syawal bersempena Aidilfitri dan ia merupakan satu amalan yang disyariatkan. Takbir pada hari Aidilfitri bermula ketika terlihatnya hilal (anak bulan) dan berakhir setelah selesainya kemuncak hari raya, iaitu ketika imam selesai berkhutbah.


Firman Allah: "Supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir) kerana telah memberi petunjuk-Nya kepada kamu dan supaya kamu bersyukur." (Surah al-Baqarah: ayat 185)


BERTAKBIRLAH pada sepanjang malam dengan membesarkan Allah untuk menghidupkan jiwa dengan iman.

Bertakbirlah pada sepanjang malam untuk menghidupkan jiwa dan sentiasa ingat kepada Allah pada ketika manusia sibuk dengan persiapan rayanya. Bertakbirlah sebagai tanda kemenangan setelah kita melalui peperangan dengan nafsu selama sebulan.

Dari hukum fiqah pula bertakbir untuk Aidilfitri dinamakan Takbir Mursal iaitu takbir yang tidak terikat dengan solat bermaksud takbir itu boleh dikumandangkan di mana-mana dan bila-bila sahaja dalam tempoh terbenam matahari akhir Ramadan sehingga imam naik ke mimbar untuk berkhutbah pada pagi Hari Raya Aidilfitri.

Rasulullah juga menganjurkan kita untuk menyebarkan ucapan kegembiraan sempena Aidilfitri sebagaimana yang diceritakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani RH yang dinukilkan daripada Jubair bin Nufair RA katanya: "Apabila para sahabat Rasulullah SAW bertemu pada hari raya, sebahagian mereka mengucapkan kepada yang lain 'taqabbalallahu minna waminka' (Semoga Allah menerima amalan kami dan amalanmu)." - (Rujuk Fath al-Bari, al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani, Jil. 5, ms. 270-271).

Kebiasaannya kita umat Islam di Malaysia akan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri sahaja, maka insya-Allah tahun ini kita boleh menambah baik ucapan kita dengan mengikut sunah yang Rasulullah amalkan.

Rasulullah juga tidak meninggalkan amalan kebiasaan yang dilakukan pada setiap malam ketika Ramadan dan bulan-bulan sebelumnya.

Ayuh kita hidupkan malam raya kita dengan amalan qiamullail dan bukan sahaja dengan kesibukan persiapan perayaan semata-mata. Semoga dengan kita menghidupkan malam raya ini kita akan sentiasa dihidupkan hati kita untuk mengingati Allah.

Rasulullah juga menganjurkan kita untuk mandi pada pagi raya sebagaimana tatacara mandi wajib iaitu sebelum berangkat menuju ke tempat perlaksanaan solat Aidilfitri.

Ali bin Abi Thalib RA pernah ditanya mengenai mandi. Adakah diharuskan mandi setiap hari?

Beliau menjawab: "Tidak harus melakukannya. Namun, mandi yang diharuskan (disunatkan) ialah mandi pada hari Jumaat, hari Arafah, hari Aidiladha dan Aidilfitri." - (Musnad al-Syafi'i, Jil. 1, ms. 118-119).

Jadi jangan lupa mengingatkan seluruh ahli keluarga kita untuk mandi sunat pada pagi hari raya.

Rasulullah juga kebiasaannya, akan memakan kurma dalam jumlah yang ganjil pada pagi hari raya. Namun, tidak menjadi kesalahan jika ketiadaan kurma kita memakan makanan yang lain. Tetapi, mengikut sunah itu lebih baik daripada meninggalkannya kerana sunah itu termasuk perkara yang tidak boleh dipersoalkan.

Anas bin Malik RA berkata: "Rasulullah SAW tidak akan pergi ke tempat solat pada pagi Aidilfitri sebelum memakan beberapa biji kurma."

Murajja' bin Raja' berkata: Ubaidillah menceritakan kepadaku bahawa Anas RA berkata: Rasulullah SAW memakannya dalam jumlah yang ganjil." - (Hadis riwayat al-Bukhari dalam Sahihnya, no: 953)

Rasulullah juga akan memakai pakaian yang terbaik pada pagi raya sebagai tanda syukur dan gembira dengan nikmat kurniaan Allah. Terbaik di sini tidak semestinya baharu dan mahal, cukuplah yang cantik dan masih boleh dipakai serta yang terbaik daripada yang lain.

Akan tetapi jika ada kemampuan dan kelebihan rezeki tidak salah untuk memakai pakaian serba baharu dan indah sebagai tanda syukur kepada Allah atas kurniaan kesempatan kita bertemu dengan bulan Ramadan dan Syawal.

Seperkara yng erlu dingat, janganlah ia sehingga menjadi bebanan untuk kita menyediakannya dan janganlah sehingga timbul riak dan berniat untuk menunjuk-nunjuk, itu akan merosakkan Syawal kita.

Disunatkan juga bagi kaum lelaki memakai wangi-wangian, tetapi tidak disunatkan kepada kaum wanita.

Sumber: Kosmo

1 comments:

Seri berkata...

sama2 kita raikan hari kemenangan dengan penuh kegembiraan...ampun dan maaf dipinta sekiranya ada salah dan silap selama berkenalan di alam maya...