18 Ogos 2012

Bertarawih dan Beribadah Ramadan Di Hotel De Palma


Gambar Hiasan

Pengurus Besar Kumpulan Hotel De Palma Datuk Ilyas Zainol Abidin menyapa para pengunjung Hotel De Palma Ampang dan berkata "tinggal lah semalam lagi, hari ini ada Imam dari Madinah untuk Tarawih".

Mungkin suatu perbualan yang pelik jika didengar di lobi sebuah hotel, tetapi bagi pengunjung ke Hotel De Palma, Ampang setiap Ramadan, sudah menjangkakan aktiviti ibadah seperti itu diadakan.

Kebanyakan hotel menyediakan pakej hidangan berbuka puasa yang menarik setiap tahun tetapi di De Palma Ampang, selain juadah berbuka puasa, ia juga menyediakan kemudahan solat berjemaah dan Tarawih setiap malam ditambah pula dengan tazkirah dan Qiamullai pada 10 malam terakhir Ramadan.

"Saya mahu pastikan mereka yang berkunjung atau menginap di hotel ini tidak merasa ketinggalan nikmat Ramadan dan beramal macam mereka duduk di rumah atau pun di masjid juga," kata Ilyas.


Maka itu tidak hairan jika didapati waktu berbuka puasa di Grand Ballroom hotel itu penuh dengan umat Islam yang datang sama ada berpasangan, bersama keluarga, kawan atau pun berkumpulan setiap malam.

Dewan yang boleh memuatkan kira-kira 800 orang itu dipenuhi dengan pelbagai juadah berbuka puasa yang sudah tentunya tidak diragui status halalnya kerana hotel ini pemegang status pensijilan pematuhan syariah dan penerima anugerah Halal Journal Award 2011 bagi sektor pelancongan dan hospitaliti.

BAUCER, KUPON

Menurut Pengurus Pembangunan Perniagaan Hotel De Palma Ampang, Fadhlina Esa, dewan itu hampir penuh setiap malam Ramadan. Kebanyakan yang datang, sudah menempah baucer untuk ditukarkan kepada kupon berbuka puasa sejak bulan April lagi.

Bagi mereka yang memilih untuk segera bersolat Maghrib selepas berbuka, hidangan kurma, air dan sedikit juadah manis disediakan berasingan di luar surau Jumaat Nurul Hikmah di tingkat tiga hotel itu.

Surau itu ialah satu-satu surau di hotel Malaysia yang diberi pengiktirafan mengadakan solat Jumaat.

Selepas solat Maghrib, mereka ini boleh turun menyertai yang lain berbuka dengan hidangan yang lebih mewah di tingkat satu. Ini memberikan pilihan selesa dan mengelakkan orang ramai berpusu-pusu berbuka dan ke surau dalam waktu yang sama.

Ketika makan, orang ramai dan penghuni bilik-bilik hotel ini tidak perlu risau terlewat solat Isyak dan memulakan Tarawih kerana pengumuman dan azan akan dilaungkan yang kedengaran di dewan makan, lobi serta koridor bilik hotel.

MAKAN MALAM, SAHUR

Selepas bertarawih, kelihatan ramai yang turun semula ke Grand Ballroom untuk makan kerana hidangan dibuka sehingga pukul 10 malam. Begitulah santainya suasana berbuka puasa di De Palma, Ampang.

Penginapan bilik di bulan Ramadan di De Palma Ampang lengkap dengan pakej berbuka puasa dan bersahur. Dan untuk 10 hari terakhir Ramadan, harga bilik lebih istimewa iaitu hanya RM130 untuk bersahur dan berqiamullail.

Sahur percuma juga diberikan kepada penduduk sekitar yang datang berqiamullail, kata Fadhlina.

Waktu bersahur, penghuni akan dikejutkan dengan panggilan telefon.

Hidangan disediakan di Coffee House Rumbia mulai pukul 4 pagi. Hidangannya mudah, ada pilihan masakan daging, ayam, ikan, sup, sedikit buah-buahan dan minuman panas.

Terasa syahdunya suasana bersahur dengan keluarga lain di sebuah hotel, tetapi masih merasai suasana makan dinihari seperti di rumah. Hidangan tidak sejuk tetapi panas, segar dan menyelerakan.

TETAMU

Seorang tetamu hotel yang ditemui, berkata beliau sudah seminggu menginap di situ kerana menghadiri seminar, tetapi beliau berpuas hati kerana puasanya terpelihara, berbuka puasanyanya mewah dan dapat beribadah seperti biasa.

Yang lebih menarik ialah selain Imam tetap De Palma, pihak hotel juga menerbangkan imam khas, kali ini termasuk dari Yaman dan Madinah, untuk memimpin solat Tarawih.

Oleh itu tidak hairan juga jika surau hotel berkenaan penuh setiap malam bukan sahaja oleh penginap dan pengunjung hotel, tetapi juga penduduk sekitar hotel itu dan mereka yang kebetulan dalam perjalanan, tetapi singgah untuk tidak ketinggalan mengerjakan solat sunat Tarawih berjemaah sebulan dalam setahun ini.

Selain itu hampir setiap hari juga De Palma Ampang menyediakan masakan bubur lambuk untuk disedekahkan kepada anak yatim, fakir miskin dan orang ramai.

Penyediaan bubur lambuk itu ialah hasil tempahan para dermawan yang membayar RM200 untuk setiap periuk besar bubur lambuk yang akan diedarkan. Bagi penyumbang yang mahu mengambil sebahagian bubur itu untuk diberikan kepada golongan pilihan mereka, pihak hotel akan membungkuskan dalam bekas istimewa untuk mereka.

Di tepi pintu masuk hotel, disediakan khemah khas untuk pengagihan bubur lambuk kepada orang ramai.

ANAK YATIM

Majlis berbuka puasa dengan anak-anak yatim ini juga dibuka kepada dermawan yang bermurah hati mahu membawa anak yatim berbuka puasa di hotel itu. Hidangan dan susun atur majlis diserahkan kepada pihak hotel menguruskannya.

Ramadan di hotel De Palma turut diisi dengan aktiviti tadarus al-Quran, ceramah dan zikir munajat. Bagi kemudahan pengunjung juga, pihak hotel menyediakan kaunter pembayaran zakat fitrah.

Ditanya kepada Ilyas mengenai program istimewa Ramadan di De Palma ini, penerima anugerah Malaysia Business Leadership Award 2010 kategori sektor hospitaliti itu berkata dengan menyediakan kemudahan ini, secara langsung akan merangsang orang beribadah dan hotel mendapat ganjaran menunaikan tuntutan fardu kifayah.

Yang diutamakan ialah pengunjung dan penghuni hotel itu dapat beribadat dalam keselesaan duduk dan menginap di hotel selain berkongsi melakukan ibadah dengan masyarakat sekitar.

Sesungguhnya program Ihya Ramadan di De Palma ini suatu kelainan amalan sebuah hotel yang dihargai umat Islam.Kumpulan Hotel De Palma mempunyai rangkaian hotel di Shah Alam, Kuala Selangor, Sepang dan Kuching di mana semua operasinya berlandaskan pematuhan syariah.

Syabas diucapkan kepada Kumpulan Hotel De Palma atas usaha memartabatkan Islam dalam kemudahan perkhidmatannya.

Oleh Rohana Mustaffa
Sumber: BERNAMA

2 comments:

Unknown berkata...

thn ni blom lgi berbuka di hotel

Unknown berkata...

harus dicontohi oleh pengurusan2 hotel2 terkemuka lain di Malaysia... dan semoga buffet ramadhan akan bertukar ke konsep pakej terawih... insyallah..

KODING di kesempatan ini PPP nak ucap SELAMAT HARI RAYA, MAAF ZAHIR BATIN, mana-mana ada terlepas kata2 mintak ampun ye... :) kalau balik kampung halaman berhati-hati ^^