28 Ogos 2012

Neil Armstrong Dalam Kenangan



Angkasawan Amerika Syarikat (AS) yang juga merupakan manusia pertama menjejakkan kaki di bulan, Neil Armstrong, meninggal dunia pada 26 Ogos 2012 setelah mengalami komplikasi daripada pembedahan pintasan jantung.

Berusia 82 tahun, Armstrong menjalani pembedahan pintasan jantung awal bulan ini selepas doktor mendapati saluran darahnya tersumbat, menurut ahli keluarganya dalam satu kenyataan.

Menyifatkan Armstrong sebagai ‘Hero AS yang tidak suka menonjolkan diri’, ahli keluarganya berkata, kematiannya adalah sesuatu yang amat menyedihkan, sambil menyatakan bahawa peneraju angkasa lepas itu telah berkhidmat dengan bangga sebagai juruterbang jet pejuang tentera laut, juruterbang penguji dan seorang angkasawan.


““Walaupun kami berkabung atas kematiannya, tetapi kami turut berbangga dengan kehidupannya yang luar biasa dan berharap ia akan menjadi contoh kepada golongan muda di seluruh dunia supaya bekerja keras mencapai cita-cita mereka, sanggup bekerja di luar batasan diri dan tidak mementingkan diri," kata ahli keluarga angkasawan legenda itu.


Krew Apollo 11 (kiri) Neil Armstrong, Komander Jelajah dan juga manusia pertama memijak kaki di bulan, Edwin "Buzz" Aldrin (kanan) pemandu Kapsul Lunar dan Michael Collins (tengah) Ketua pemandu kapsul bergambar bersama pada 1 Mei, 1969. - REUTERS

Misi Apollo 11

Sebagai komander kapal angkasa Apollo 11, Armstrong merupakan manusia pertama menjejakkan kaki di bulan pada 20 Julai 1969 diikuti oleh angkasawan, Edwin Aldrin. Ketika itu Neil Armstrong berusia 38 tahun.

Selain beliau dan Aldrin, misi ke bulan yang dilancarkan oleh Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) Amerika Syarikat itu disertai oleh seorang lagi angkasawan, Michael Collins.

Ia juga menjadi momen bersejarah di seluruh dunia. Detik pelancaran dan pendaratan peristiwa bersejarah tersebut disiarkan secara langsung di televisyen (TV) dan kira-kira 500 juta orang atau seperlima populasi manusia di dunia menonton dengan keterujaan ketika Armstrong berjalan di atas permukaan bulan.

Semasa kali pertama melangkah di permukaan bulan yang berdebu, Armstrong berkata, "Langkah kecil ini (dirinya) merupakan langkah besar buat manusia sejagat.".

Ungkapan tersebut kekal sebagai antara petikan bahasa Inggeris paling terkenal sehingga hari ini.

Armstrong yang turut menerima penghargaan daripada 17 negara, selain beberapa anugerah daripada kerajaan AS sendiri, bagaimanapun tidak selesa dengan kemasyhurannya di seluruh dunia dan sering menjauhkan diri daripada mendapat perhatian.

Kejayaan misi Apollo 11 tersebut menandakan kemenangan AS ke atas Perang Dingin dalam perlumbaan penerokaan angkasa. Ketegangan antara AS dan Kesatuan Soviet bermula pada 4 Oktober 1957 dengan pelancaran Sputnik 1, satelit seberat 184 paun milik Kesatuan Soviet.

Ketika mereka mendarat di kawasan yang dikenali sebagai Lautan Ketenteraman (Sea of Tranquility), minyak kapal angkasa tersebut hanya cukup untuk tempoh 30 saat sahaja. Armstrong kemudiannya menghubungi bilik kawalan di Bumi dan mengatakan: “Houston, pangkalan ketenteraman di sini, The Eagle telah mendarat.”

Apollo 11 menempuhi perjalanan sejauh 250,000 batu, bersamaan dengan empat hari untuk tiba ke bulan. Armstrong berada di permukaan bulan selama 2 jam 32 minit manakala Aldrin meluangkan masa kurang 15 minit daripada waktu Armstrong.

Kedua-dua angkasawan itu mencacakkan bendera AS, mengambil beberapa sampel batuan bulan dan menjalankan eksperimen saintifik sebelum kembali ke kapal utama yang dikawal Collins. Ketiga-tiga mereka pulang dengan selamat dan dijulang sebagai wira.


NEIL ARMSTRONG, Edwin Aldrin (kiri) dan Michael Collins (tengah) bergambar di Pejabat Oval di White House, Washington sempena sambutan 40 tahun pendaratan manusia di bulan pada 20 Julai 2009.

Kerjaya Selepas Misi  Apollo 11

Misi ke bulan atau misi Apollo 11 menjadi penerbangan angkasa terakhir bagi Armstrong. Sekembalinya ke Bumi, beliau dilantik sebagai pentadbir aeronautik di Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) AS dan meninggalkan agensi itu pada tahun 1971 untuk mengajar kejuruteraan aeroangkasa di Universiti Cincinnati sehingga tahun 1979.

Tahun selebihnya banyak difokuskan kepada kerja-kerja sebagai petani dan penternak di ladang miliknya dan hidup tenteram bersama isteri dan anak-anaknya. Bekas angkasawan itu tinggal di sebuah kawasan di Cincinnati bersama isterinya, Carol.

Sepanjang tempoh tersebut, Armstrong memencilkan diri dan hanya bersetuju menerima beberapa undangan temu ramah atau syarahan.

Biodata Neil Armstrong

Dilahirkan pada 5 Ogos 1930 di Wapakoneta, Ohio, Armstrong merupakan anak pertama daripada tiga adik beradik kepada pasangan Stephen dan Viola Armstrong.

Beliau berkahwin dengan Janet Sharon yang dikenali di kolej pada tahun 1956 dan bercerai pada tahun 1994. Beliau kemudiannya mengahwini Carol Knight pada tahun 1999.

Armstrong meminati kapal terbang sejak kecil lagi dan pernah bekerja di sebuah lapangan terbang berdekatan semasa meningkat remaja.

Sejak kali pertama menaiki kapal terbang pada usia 6 tahun, Armstrong bertekad untuk mendalami dunia penerbangan. Zaman remajanya dihabiskan dengan mereka cipta beberapa model kapal terbang dan berjaya memiliki perpustakaan penerbangan peribadi yang amat besar.

Beliau mengambil kelas penerbangan ketika baru berusia 15 tahun. Duit yang diperoleh hasil pekerjaan di sebuah farmasi digunakan untuk mengambil kelas penerbangan. Beliau berjaya memperoleh lesen juruterbang pada hari jadinya yang ke-16. Armstrong mendapat lesen untuk terbang, lebih awal daripada lesen memandu kereta.

Sambung pengajian

Zaman sekolah menengah pula menyaksikan kecemerlangan Armstrong dalam subjek Matematik dan Sains sehingga dianugerahkan biasiswa tentera laut AS untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Purdue, Indiana pada tahun 1947.

Beliau meninggalkan universiti seketika bagi menjadi juruterbang tentera laut dan dilantik sebagai juruterbang misi pertempuran dalam Perang Korea dan menerima tiga pingat.

Usai peperangan, Armstrong menyambung kembali pelajaran di Purdue. Beliau tamat belajar pada tahun 1955 dengan ijazah kejuruteraan aeronautik. Beliau kemudian memperoleh ijazah Sarjana Sains di Universiti California Selatan.

Beliau kemudiannya menyertai Jawatankuasa Penasihat Nasional Bagi Aeronautik (NACA) pada tahun 1958 yang kini dikenali sebagai NASA.

Pada bulan September 1962, Armstrong dipilih NASA sebagai angkasawan. Beliau menjadi juruterbang perintah bagi misi Gemini 8 dan juruterbang perintah sandaran untuk misi Gemini 11 yang dijalankan pada tahun 1966.

Dalam misi Gemini 8, Armstrong dan rakan angkasawan, David Scott berjaya melakukan cantuman kapal angkasa yang dipandu manusia dengan pesawat angkasa lain. Ia merupakan yang pertama dalam sejarah.

Sebagai Juruterbang dan Angkasawan

Sebagai seorang juruterbang Tentera Laut AS, beliau pernah menyertai 78 misi penerbangan dalam Perang Korea.

Selepas berkhidmat sebagai juruterbang tentera laut dari 1949 hingga 1952, Armstrong menyertai agensi angkasa lepas AS yang ketika itu dikenali sebagai Jawatankuasa Penasihat Nasional Bagi Aeronautik (NACA) pada 1955.

Beliau berkhidmat sebagai jurutera, juruterbang ujian, angkasawan dan pentadbir untuk NACA dan kemudian NASA sepanjang tempoh 17 tahun.

Sebagai juruterbang penyelidikan untuk Pusat Penyelidikan Penerbangan NASA di California, beliau menerbangkan banyak pesawat perintis berkelajuan tinggi AS.

Armstrong mendapat status angkasawan pada 1962 dan menerajui misi Gemini 8 untuk berlabuh di angkasa lepas sebelum diberikan kepercayaan untuk mengetuai pengembaraan manusia ke bulan.


AKHBAR The New York Times menyiarkan berita kejayaan angkasawan Amerika Syarikat yang berjaya menjejakkan kaki ke bulan.

Sikap sederhana

Walaupun telah merealisasikan impian manusia yang mendambakan untuk menyentuh bulan sejak berkurun lamanya, Armstrong enggan meninggi diri berhubung pencapaian terhebat itu. Malah, beliau agak kecewa dengan sanjungan besar yang diterimanya.

"Kita semua mahu diktiraf bukan hanya kerana sesuatu pencapaian yang luar biasa tetapi kita mahu dihargai berdasarkan usaha yang kita lakukan pada setiap hari," kata Armstrong dalam temu bual bersama program televisyen terbitan CBS,60 Minutes, pada 2005.

Beliau juga pernah ditanya tentang perasaannya apabila mengetahui bahawa tapak kakinya di bulan akan kekal selama ribuan tahun.

"Saya berharap seseorang akan pergi ke bulan suatu hari nanti dan membersihkan tapak-tapak kaki saya," katanya.

Lelaki yang telah menerbangkan lebih 200 jenis pesawat termasuk jet, roket, helikopter dan peluncur (glider) itu kemudiannya memilih untuk keluar daripada lensa umum. Sifat beliau yang pendiam dan suka bersederhana mendorong Armstrong hidup menyendiri bersama keluarganya di kampung halamannya di Ohio.

Penulis buku First Man: The Life of Neil A. Armstrong, James Hansen memberitahu CBS: “Segala perhatian yang diberikan seluruh orang kepada gelaran manusia pertama berpijak di bulan tidak difahami Armstrong dan merasakan ia sesuatu yang tidak wajar untuk diperbesarkan.”

John Glenn, bekas angkasawan NASA yang juga sahabat Armstrong menyatakan: “Beliau bersedia menggalas misi negara dan bangga dengan pencapaian tersebut, namun masih mampu kekal sebagai individu yang sama. Sifat rendah diri beliau tidak pernah hilang.”

Mereka yang mengenali Armstrong dengan rapat tahu bahawa beliau suka bermain golf, aktif dalam persatuan setempat dan kerap makan tengah hari di restoran yang sama di kawasan kediamannya.

“Armstrong tidak gemar ditemuramah namun beliau bukan lelaki yang pelik atau sukar dibawa berbual. Beliau hanya tidak suka menjadi sebutan ramai,” ujar rakannya dari Universiti Cincinnati, Ron Huston.

Dalam satu majlis sekitar bulan Februari 2000, Armstrong meluahkan kekecewaan beliau terhadap misinya ke bulan: “Secara jujur, saya tidak pernah memasang impian untuk ke bulan.”

Dalam Kenangan

Ekoran kematian Armstrong, keluarganya telah mengeluarkan kenyataan rasmi: “Kami berasa amat sedih untuk memberitahu Neil Armstrong telah meninggal dunia. Beliau merupakan seorang suami, ayah, datuk, abang dan sahabat yang penyayang.”

Keluarga Armstrong berharap golongan muda di seluruh dunia dapat meminjam inspirasi Armstrong yang sering mencabar diri melakukan perkara mustahil.

“Apabila anda berjalan di luar rumah pada malam terang dan terlihat bulan tersenyum kepada anda, ingatlah kepada Armstrong dan kelipkan mata anda kepada bulan,” ujar keluarganya lagi.

Presiden AS, Barack Obama menerusi kenyataan rasmi yang dikeluarkan Rumah Putih menyatakan, Armstrong ialah wira Amerika yang terhebat bukan sahaja untuk waktu ini malah sampai bila-bila.

"Armstrong merupakan antara wira AS yang paling unggul. Apabila beliau dan dua lagi angkasawan berlepas menaiki roket Apollo 11 pada 1969, mereka membawa bersama aspirasi seluruh rakyat negara ini," kata Obama.

“Hari ini, semangat penerokaan Armstrong menyala di dalam diri mereka yang mengabdikan hidup meneroka dan mengkaji rahsia alam agar kita mampu menuju lebih jauh dalam dunia angkasa,” ujar Obama.

Aldrin yang juga manusia kedua berjalan di bulan sebelum ini berharap Armstrong dapat bersama-sama menyertai sambutan ulang tahun ke-50 kejayaan misi Apollo 11 pada tahun 2019.

“Setiap kali saya melihat bulan, ia mengembalikan memori bermakna itu. Saya sedar walaupun kami berada jauh dari Bumi, kami tidak bersendirian. Seluruh dunia mengambil bahagian dalam perjalanan terhebat itu.

"Saya akan merindui sahabat saya ini dan saya tahu rakyat AS dan penduduk di seluruh dunia akan terasa kehilangan perintis aviasi dan angkasa lepas ini," tambahnya.

Bekas angkasawan yang juga manusia terakhir pergi ke Bulan, Eugene Cernan berkata: “Armstrong merupakan epitome kepada tamadun manusia hingga ke hari ini.”

Armstrong meninggalkan dua orang anak lelaki, dua orang anak tiri, 10 cucu dan seorang adik lelaki dan adik perempuan.

Sumber: Kosmo Artikel 1Utusan  dan Kosmo Artikel 2

0 comments: