29 Ogos 2012

Pengertian Merdeka Dari Kaca Mata Orang Bandar



KELIHATAN seorang lelaki sedang tekun melukis di pintu masuk monumen bersejarah negara iaitu Tugu Negara. Apabila melihat hasil kerja lelaki tersebut yang digantung bersebelahannya, setiap lukisan berkisar tentang tempat-tempat menarik di Malaysia. Tidak ketinggalan corak-corak yang melambangkan kebudayaan di negara kita.

“Ini merupakan salah satu cara bagi saya mempromosikan Malaysia yang kaya dengan pelbagai budaya kepada pelancong yang berkunjung ke Tugu Negara setiap hari. Kebanyakan lukisan saya dibeli oleh pelancong dari seluruh dunia,” kata seorang pelukis jalanan, Azmi Abdullah, 46.

Menjadikan pusat pelancongan tersebut sebagai tempat untuknya mencari rezeki sejak tiga tahun lalu, Azmi ternyata gembira dengan jalan hidup baharu yang dipilih olehnya.


Dengan semangat kecintaannya terhadap negara, beliau bebas berkarya dengan menjadikan ikon-ikon negara seperti Menara Berkembar Petronas (KLCC), Menara Kuala Lumpur, Bangunan Sultan Abdul Samad, Dataran Merdeka, Kampung Baru dan pelbagai lagi sebagai subjek utama dalam penghasilan lukisannya.

Menurut Azmi, setiap karya lukisannya turut menjelaskan gambarannya sendiri mengenai kemerdekaan negara serta perspektif beliau menilai kemerdekaan melalui pengalaman hidupnya.

“Saya selesa dengan apa yang saya lakukan sekarang, bahkan perubahan kehidupan saya juga merupakan pengertian kemerdekaan yang utama buat saya untuk menjamin kelangsungan hidup saya dan keluarga.

“Saya mahu setiap pendapatan saya untuk diberi kepada keluarga datang daripada sumber yang bersih tanpa melibatkan sebarang korupsi,” ujarnya yang dahulu mempunyai kerjaya sebagai seorang kontraktor projek pembangunan selama 18 tahun di ibu negara.

Jelasnya, pengertian merdeka sudah dikecapi olehnya kerana beliau kini tidak lagi bekerja dibawah telunjuk majikan dan segala apa yang diperoleh kini merupakan hasil usahanya sendiri walaupun pendapatan hariannya tidak semewah dahulu.

Tingkatkan patriotisme


SEPANJANG Bulan Kemerdekaan seluruh ibu kota selalunya bertukar wajah apabila Jalur Gemilang dikibarkan dengan penuh rasa bangga.

Bagi seorang Pegawai Eksekutif Pengurusan Acara SME Telekom Malaysia (TM), Josephine Lau Lee Wen, 24, pandangan beliau mengenai kemerdekaan negara mahupun untuk dirinya sendiri, ternyata berbeza dengan persepsi Azmi.

Setiap kali tanggal 31 Ogos muncul beliau akan bersiap-sedia untuk melaungkan ayat keramat ‘Merdeka, Merdeka, Merdeka’ tepat pada pukul 12 tengah malam bersama-sama rakan-rakannya yang lain.

“Tahun lepas, saya dan rakan-rakan berkunjung ke pusat beli-belah Sunway Pyramid untuk menyambut kemerdekaan. Di sana, saya lihat pelbagai kaum berkumpul bersama dan saya juga mengambil kesempatan itu untuk bertukar-tukar pendapat mengenai sejarah kemerdekaan bersama mereka.

“Selain daripada melihat pertunjukan bunga api dan melaungkan merdeka, saya juga berterima kasih kepada pemimpin dan pejuang negara yang telah berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan kemerdekaan daripada cengkaman British suatu ketika dahulu,” ujar anak jati Sarawak itu.

Baginya sambutan kemerdekaan sememangnya harus dirayakan setiap tahun, bahkan Josephine berharap kerajaan mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melakukan inisiatif tambahan seperti menggandakan papan-papan tanda mengenai kemerdekaan dan pertandingan bertemakan merdeka kepada golongan muda. Ia bagi menyuntik lagi kesedaran dan kefahaman mereka mengenai kemerdekaan negara.

“Seperti saya sendiri, pengetahuan mengenai kemerdekaan banyak saya peroleh ketika berada di bangku sekolah. Apabila melangkah ke alam pekerjaan, semangat kecintaan terhadap negara semakin berkurang kerana suasana persekitaran tidak mempunyai ciri-ciri yang mengingatkan saya kepada sejarah kemerdekaan negara,” jelasnya.

Mempertahankan kemerdekaan

Sementara itu, wakil Pusat 1Malaysia Lembah Pantai, Kuala Lumpur, Tengku Zuhri Abd. Aziz, 35, pula memberitahu, cerita mengenai penglibatan datuk beliau, Raja Zainal Abidin, 94, dalam memperjuangkan kemerdekaan ketika era penjajahan British menuntut beliau untuk lebih meminati sejarah kemerdekaan negara.

“Sejak dari kecil sehingga kini, datuk saya sering berkongsi pengalaman pahit dan manis beliau sebelum serta selepas merdeka. Menurut datuk saya, kemerdekaan negara diperoleh tanpa pertumpahan darah dan ia berjalan secara diplomatik.

“Ketika itu datuk saya bertugas sebagai Pegawai Daerah di Perlis dan pada tanggal 31 Ogos 1957, datuk saya antara individu yang terlibat dengan upacara laungan kemerdekaan di Perlis pada ketika itu,” ujarnya yang kini dalam perancangan untuk mengadakan beberapa program kemerdekaan anjuran Pusat 1Malaysia Lembah Pantai.


SAMBUTAN ambang merdeka diraikan penuh meriah oleh seluruh warga kota. - Gambar hiasan

Bakat Dan Kreativiti Generasi Muda

Generasi muda melakukan cara berbeza untuk meluahkan rasa cinta kepada negara. Generasi muda atau dikenali sebagai generasi Y mengekspresikan semangat kemerdekaan dan penghargaan melalui bakat dan kreativiti mereka.

Pelbagai bentuk dan cara cuba diterjemahkan mengikut acuan sendiri yang luar daripada kelaziman terutama dalam mengingati dan menyemarakkan semangat kemerdekaan.

Ada yang mencipta lagu, menghasilkan filem pendek, sajak, menghantar ucapan melalui facebook dan twitter serta segala bentuk yang lebih kreatif.

"Ada dalam kalangan mereka meluahkannya dalam bentuk seni dengan menghasilkan klip video mengenai Malaysia dan kemudian memuatkannya melalui media sosial yang ada seperti Facebook dan Youtube secara suka-suka. Mereka adalah pengguna teknologi yang cukup mahir." kata pemenang Anugerah Tokoh Belia Negara, Mohammad Rizan Hassan.

Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA dan Kurniawati Kamarudin
Sumber: Kosmo dan BERNAMA

2 comments:

Unknown berkata...

tiap2 thn rasa hambar jer sambutan kemerdekaan kan

Karen Monica berkata...

negara dah lama merdeka..tapi ramai penduduknya masih dijajah...huhu