22 Ogos 2012

Pemakaian Gelaran Keturunan Perlu Ikut Peraturan JPN



Pemakaian gelaran keturunan pada pangkal nama tidak boleh dibuat sesuka hati oleh mana-mana pihak, sebaliknya perlu mengikut peraturan yang ditetapkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan persatuan berkaitan.

Ketua Pengarah JPN, Datuk Jariah Mohd Said, berkata semua gelaran seperti Tunku, Tengku, Raja, Wan dan Megat hanya boleh dipakai oleh individu yang layak.

"Penamaan gelaran adalah berdasarkan kepada gelaran bapa dan status kanak-kanak itu sewaktu dilahirkan tanpa mengira tempat di mana kelahiran berlaku. Ia sebagaimana arahan Jabatan Pendaftaran Negara Bilangan 10/2011," katanya.


Jariah berkata, bagi kanak-kanak tidak sah taraf yang didaftarkan kelahiran di bawah Seksyen 13 Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299), penamaan gelaran adalah mengikut ibu dan bukannya bapa.

Dalam perkembangan lain Jariah berkata, sebanyak 36,908 perkahwinan yang berlangsung di luar negara didaftarkan semula di Malaysia sejak 12 tahun lalu.

Beliau berkata, pada 2001 sebanyak 1,692 perkahwinan didaftarkan, 2002 (2,243), 2003 (1,979), 2004 (2,205), 2005 (2,180), 2006 (2,791), 2007 (4,333), 2008 (4,576), 2009 (5,017), 2010 (4,551) dan 4,312 pada tahun lalu.

"Untuk tahun 2012 pula, setakat ini JPN mendaftarkan 1,029 perkahwinan," katanya.

Sumber: BERNAMA, BHarian [21/08/2012]

Catatanku:

Sepanjang kehidupanku aku ada bertemu ramai kalangan perempuan yang lahir sekitar tahun 1970-an dan awal 1980-an yang mempunyai pangkal nama Syarifah walaupun hakikatnya mereka bukan daripada keturunan Syed. Kemungkinan pemilihan nama pangkal Syarifah oleh sesetengah pasangan ibu-bapa adalah kesan daripada populariti Syarifah Aini pada masa itu.

0 comments: