26 September 2012

Air Mata Buang Toksin


JUMLAH toksin yang dikeluarkan oleh air mata berbeza mengikut situasi seperti bersedih dan dimasuki habuk.

BERHADAPAN perasaan sedih akibat pemergian mengejut orang tersayang, ditinggalkan kekasih mahupun tekanan di tempat kerja begitu menyakitkan untuk dihadapi.

Namun, perasaan itu sebenarnya dapat dilegakan dengan menangis. Banyak kajian saintifik membuktikan bahawa perbuatan mengeluarkan air mata itu menjadikan seseorang lebih sihat.

Menangis bukan sahaja disebabkan perasaan sedih, tetapi air mata yang keluar juga merupakan refleks kepada perasaan terlalu gembira, terharu dan takut.

Terdapat tiga jenis air mata yang keluar mengiringi tangisan iaitu tangisan basal iaitu air mata keluar bagi melindungi bebola mata agar sentiasa lembap, tangisan refleks apabila berlaku iritasi mata dan tangisan emosi kerana tindak balas terhadap tekanan dan kesedihan.


Air mata yang rasanya masin keluar menerusi dua kelenjar pada bahagian atas dan hujung mata iaitu kelenjar lakrimal. Air mata mengandungi protein, air, mukus dan minyak.

Menangis dikatakan mampu menghindari pelbagai penyakit yang dikaitkan dengan tekanan seperti penyakit jantung, darah tinggi, diabetes jenis dua dan obesiti.

Menurut satu kajian di Universiti Minnesota, Amerika Syarikat, tangisan dapat membersihkan badan daripada bahan kimia yang dikaitkan dengan tekanan. Dikatakan, kandungan hormon adrenokortikotrofik (ACTH) yang tinggi disingkirkan ketika seseorang menangis secara emosi.

ACTH merupakan hormon penting yang bertindak balas dalam badan manusia apabila berlaku tekanan biologikal.

Emosi

“Menangis membantu mengurangkan tekanan seperti mana ekspresi emosi. Apabila anda sedih dan tertekan, anda sebenarnya mempunyai ketidakseimbangan badan dan membina lebih banyak bahan kimia.

“Menangis membantu mengurangkan bahan tersebut yang boleh menyumbang kepada penyakit berbahaya,” jelas perunding fisiologi klinikal di Middlesex, England, Dr. Abigael San.

Bagaimanapun, kajian oleh Dr. William H. Frey II di Pusat Perubatan St. Paul-Ramsey di Minnesota mendapati, tangisan emosi dan tindak balas fizikal pada bahagian mata adalah berbeza.

“Kandungan bahan kimia dalam air mata yang keluar ketika sedih dan mata dimasuki habuk tidak sama.

“Semasa menangis sedih, kandungan protein yang terdiri daripada hormon prolaktin ACTH dan liusin enkefalin iaitu sejenis pelega semula jadi, lebih banyak dihasilkan oleh badan. Keadaan itu amat membantu merawat tekanan,” ujar Frey.

Selain menyingkirkan bahan-bahan toksik daripada badan, menangis akibat kesedihan yang mendalam sebenarnya memberi kesan kepada psikologi dan membantu kita menguruskan situasi yang menyakitkan perasaan.

“Teori The Freudian menyatakan, adalah lebih baik jika kita dapat meluahkan segala perasaan. Jika kita melepaskannya secepat mungkin, ia akan memberi kesan baik kepada fizikal dan psikologi kita,” kata ahli psikologi kesihatan pekerjaan di Universiti Bedfordshire, Britain, Prof. Gail Kinman.

Begitupun, tambah Kinman, kesan tangisan terhadap seseorang berkait rapat dengan banyak sebab, konteks dan bagaimana perkara itu diuruskan.

“Kebanyakan orang memilih untuk menangis apabila berada dalam keadaan yang memerlukan kelegaan seperti masalah di tempat kerja, berasa malu atau rasa bersalah.

“Ramai wanita dalam kajian saya memberitahu, mereka berasa seperti perlu menangis untuk berdepan dengan sesuatu masalah. Hal itu benar-benar berkesan apabila emosi terbabit dibersihkan selepas itu,” kata Kinman.

Setelah saintis England yang memenangi Hadiah Nobel pada tahun 1945, Alexander Fleming menemui kandungan protein yang dikenali sebagai lisozim antiseptik dalam air mata, pengkaji dari Universiti Irvine, California, AS, yang menjalankan kajian lanjut mendapati bahawa kandungan itu mampu meneutralkan beberapa jenis bakteria.

“Molekul lisozim mempunyai ciri-ciri untuk memerangkap dan memusnahkan bakteria yang cuma memasuki mata seperti mana kita memakan bertih jagung,” kata pengkaji terbabit.

Lisozim merupakan antibakteria yang pantas bertindak. Tanpa kandungan tersebut, mata akan mudah diserang bakteria dan meningkatkan potensi untuk seseorang menjadi buta.

Namun begitu, menurut San lagi, tangisan yang berlebihan bakal memberi kesan buruk seperti tekanan perasaan, penyakit tekanan selepas trauma, dan tekanan selepas bersalin.

Susunan SYALMIZI HAMID
Sumber: Kosmo

2 comments:

ch000tz berkata...

klau camtu kena nagis salu lah eyh hhehe

Karen Monica berkata...

nak nangis selalu la camni...hehe