25 September 2012

Pemeliharaan Mata Oleh Pakar Yang Bertauliah



"Mata bukan segala-galanya, tetapi tanpa mata segala-galanya tidak lagi bererti" itu yang diperkatakan pada seminar yang dihadiri oleh 50 optometris dan pegawai optikal tempatan baru-baru ini.

Ia dianjurkan sebuah syarikat optometri Bumiputera yang mengambil berat akan kesihatan mata dan kebolehan warga optometrinya yang saban hari berdepan dengan masyarakat.

Tugas memastikan harapan pelanggan dan daya penglihatan mereka tidak diabaikan adalah cabaran yang perlu dilalui warga optometris.

Selain itu, keperluan berlainan warga Malaysia dan yang sentiasa berubah memerlukan perhatian serius warga optometris yang berkhidmat dengan syarikat-syarikat optometri.


Empat penceramah profesional dijemput untuk berkongsi ilmu, pengalaman dan berita perkembangan terkini kepada peserta dan semua yang berminat untuk membantu menjaga mata mereka, keluarga dan rakan.

MATA DAN KEHIDUPAN

Seseorang boleh mengalami kehilangan atau pengurangan dalam daya penglihatan akibat kemalangan, penuaan ataupun masalah kesihatan seperti diabetes.

Menurut kajian yang pernah dijalankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), hampir 39 peratus masyarakat Malaysia mengalami masalah penglihatan dengan lebih 60 peratus daripada mereka berusia bawah 39 tahun.

Lima puluh tiga peratus daripada mereka dengan masalah penglihatan ini tinggal di kawasan luar bandar.

Kehilangan daya penglihatan lazim boleh dikategorikan kepada 'low myopia,' 'high myopia' dan 'amblyopia' atau mata yang malas (lazy eye) dengan masalah ini boleh diperbetulkan menggunakan kanta.

Bagaimanapun, masyarakat yang mengambil berat terhadap kesihatan mata harus mendapatkan pemeriksaan lengkap mata daripada seorang optometris yang bertauliah.

DAPATKAN KHIDMAT PROFESSIONAL

Lazimnya orang ramai tidak berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut siapa yang menjalankan ujian penglihatan terhadap mereka atau sekeluarga.

Orang ramai mampu meningkatkan kualiti hidup mereka dengan memastikan semua pemeriksaan mata dijalankan dengan menyeluruh dan sempurna kerana penglihatan adalah deria terpenting kepada manusia.

"Tidak dapat disangkal, keperluan untuk optometris yang bertauliah agak terhad, baik bagi aspek bekalan mahupun keperluan dalam industri yang berkaitan. Ini kerana premis optikal tumbuh seperti cendawan.

"Banyak kedai cermin mata yang wujud hari ini dikendalikan oleh juruteknik biasa yang tidak bertauliah. Mereka digelar juruoptik atau refraksionis saja dan boleh melaksanakan ujian penglihatan biasa semata-mata," jelas Mohd Zaremdeen Mohd Zaman, Pengarah Urusan Menara Optometry Centre Sdn Bhd.

Seorang optometris akan dihargai jika khidmat yang dibekal dapat disampaikan secara beretika, tambah Mohd Zaremdeen.



PENTINGNYA ILMU

Seminar itu mendedahkan bahawa terdapat kira-kira 900 optometris atau pakar optik di Malaysia.

Manakala lebih 3,000 orang yang terlibat dalam industri optikal sebagai juruoptik atau refraktionis yang turut dikenali sebagai 'optician'.

Adakah juruoptik yang bertugas di kedai-kedai cermin mata di Malaysia ini bertauliah yakni berilmu tentang bidang yang diceburi mereka itu?

Jumlah optometris dan pusat perkhidmatan penjagaan kesihatan mata di Malaysia didapati belum mencukupi malah berada di tahap kritikal untuk memenuhi keperluan penduduk di negara ini.

Menurut kajian WHO, di Malaysia, statistiknya menunjukkan seorang optometris perlu memberi khidmat kepada hampir 16,000 penduduk dan ia satu angka yang tersangat kritikal.

Perbezaan besar seorang juruoptik dengan optometris dan pakar oftalmologi ialah juruoptik tidak memerlukan kelulusan tinggi, kata Prof Dr Norhani Mohidin, Dekan Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

"Tugas optometris pula bukan sekadar melariskan jualan cermin mata di kedai. Mereka perlu memastikan penjagaan mata pelanggan mengikut standard yang ditetapkan," jelas Prof Dr Norhani.

Penjagaan mata menjadi sesuatu yang tidak boleh diabaikan memandangkan mata ialah jendela penglihatan yang sangat penting kepada manusia terutama mereka yang sememangnya telah celik sejak lahir.

Pakar optometri yang mempunyai ilmu pengetahuan tentang penjagaan rapi mata, boleh memberi nasihat yang tepat dan amat diperlukan oleh masyarakat umum baik yang muda mahupun dewasa atau berusia.

Penjagaan utama dalam bidang optometri membabitkan diagnostik dan terapi untuk membetulkan kelemahan optikal seseorang itu, baik dari aspek penglihatan jauh mahupun yang dekat.



BERETIKA

Tugas sebagai seorang pembekal khidmat berkaitan dengan kesihatan mata tidak dinafikan bukan sesuatu yang mudah.

Malah ia berisiko kerana diagnosis kurang sempurna boleh membawa padah atau masalah yang lebih memudaratkan pemilik sepasang mata.

Nasihat penjagaan yang rapi sememangnya amat perlu dan diberikan secara beretika oleh seorang optometris.

Nasihat yang disampaikan juga perlu yang paling sesuai dan terbaik untuk setiap individu.

Sementara itu, setelah 28 tahun menjadi anggota akademik Prof Dr Azrin Esmady Ariffin bertanya kepada hadirin jika optometris sudah berpuas hati dengan kedudukan kerjaya mereka tanpa perlu melanjutkan pengajian dalam bidang ini.

Prof Dr Azrin, Dekan Asasi Fakulti Optometri dan Sains Penglihatan, Kolej University Segi juga bertanya kepada peserta seminar sama ada seorang optometris boleh disama-ertikan dengan seorang penjual cermin mata?

Seorang optometris merupakan seorang profesional dalam satu cabang kesihatan yang turut melibatkan keperluan klinikal.

BERTANGGUNGJAWAB

Menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan penuh beretika menjadi tuntutan buat setiap orang yang terlibat dalam apa jua jenis profesion sekalipun, termasuk bidang sains yang berkait rapat dengan mata dan penglihatan manusia.

"Kanta lekap kosmetik boleh dan akan dipreskripsikan oleh seorang petugas kedai cermin mata atau 'optician' yang sekadar mahu menjualnya. Kanta lekap yang dipreskripsikan secara begini membahayakan. Hanya pegawai optikal yang diakreditasi bersijil warna merah jambu boleh mengeluarkan preskripsi untuk kanta lekap. Inilah etika kerjaya ini," jelas Prof Dr Azrin.

Malaysia juga menekankan aspek penjagaan mata dan ini antara sebab kerjaya sebagai optometris semakin berkembang bukan hanya di hospital kerajaan malahan di entiti swasta.

Pastikan masalah mata yang dialami diberikan perhatian yang sewajarnya dan mendapat khidmat nasihat pakar yang bertauliah termasuk optometris daripada peringkat awal lagi.

Oleh Hazlinda Hamzah
Sumber:  BERNAMA

1 comments:

ch000tz berkata...

shhhhhh hahahah aku baru buat eyes lashes extension....ahahahaha :p