30 September 2012

eBilling Kurangkan Kos Kerajaan



PENYELIDIKAN pasaran bebas oleh RedMarch (2011) baru-baru ini menunjukkan industri eBilling Malaysia masih di peringkat permulaan. Ia direkodkan sebagai mempunyai potensi yang besar untuk berjaya.

Pada masa sama, penyelidikan pada Januari 2012 oleh MIT G-lab Programme Sloan School of Management menunjukkan potensi penjimatan kira-kira RM100 juta untuk kerajaan setiap tahun, dengan andaian penukaran 100 peratus kepada sistem eBilling.

Apa itu eBilling?

Secara amnya, mengemukakan bil dan pembayaran secara elektronik (EBPP) adalah satu proses di mana bil dapat diwujudkan, dihantar dan dibayar melalui atas talian. Perkhidmatan ebilling ini mempunyai potensi diguna pakai oleh kebanyakan industri khususnya sektor kewangan, telekomunikasi dan utiliti.


Sebagai contoh, bil telefon boleh diterima dalam format PDF dan dihantar terus ke peti e-mel anda dan pembayaran boleh dilakukan secara perbankan Internet.

eBilling telah menjadi suatu ikutan di sektor kerajaan. Chile contohnya telah memacu pertumbuhan cukai secara atas talian dan e-bil.

Di Arab Saudi, SADAD payment system (SADAD) adalah satu inisiatif untuk proses penghantaran dan pembayaran bil di atas talian. Di Singapura pula, projek OneInbox adalah untuk memupuk komunikasi antara kerajaan dan rakyat Singapura melalui e-mel.

Pada 2010 dan 2011, 79 peratus daripada syarikat-syarikat di Chile telah mendaftar ke dalam inisiatif kerajaan dan sejumlah 108 juta bil elektronik telah diproses. Di Arab Saudi sahaja, 62 juta transaksi pada 2008 diproses melalui SADAD pada nilai yang melebihi AS$7.4 bilion.

Dalam hubungan ini, Myemail adalah satu projek rintis kerajaan di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP), di mana matlamat utama adalah untuk menyediakan setiap warganegara Malaysia dengan akaun e-mel yang selamat dan disahkan identitinya.

Selain daripada komunikasi e-mel, myemail juga memberi ruang kepada agensi-agensi kerajaan serta organisasi perniagaan untuk menghantar bil, penyata, notis secara elektronik.

Secara ringkasnya, myemail merupakan satu inisiatif positif yang memerlukan masa dan sokongan kedua-dua pihak - billers dan pengguna - untuk penjimatan kos kepada kerajaan.

Myemail menawarkan khidmat eBilling kepada organisasi dan juga pengguna. Sistem eBilling myemail ataupun ePost adalah sistem penghantaran dokumen elektronik yang selamat dan berkapasiti tinggi. Ia merevolusikan cara penghantaran bil, penyata serta notis kutipan.

Di antara ciri-ciri ePost adalah seperti elemen-elemen interaktif, dokumen yang sulit dihantar terus ke dalam peti mel dan membolehkan pembayaran atas talian inovatif "1- click" dari dalam dokumen yang di-enkripsi.

Antara faedah pengunaan myemail eBilling adalah:

1. Pihak billers/organisasi

* Penjimatan kos sebanyak 48-80 peratus
* Meningkatkan aliran tunai
* Mengurangkan tempoh kutipan
* Mengurangkan kesan jejak karbon
* Pemasaran peribadi yang lebih efektif
* Penghantaran segera dan efektif

2. Pihak pengguna

* Penerimaan bil di mana-mana dan setiap masa
* Mudah dan senang digunakan
* Penukaran gaya hidup yang minimum
* Mudah dicari dan disimpan dalam format PDF
* Meningkatkan pengurusan wang

Dalam konteks ini, ePost boleh membantu kerajaan untuk mengurangkan kos melalui EBPP. Menerusi E-Government, akan berlaku peningkatan kemudahan perkhidmatan kerajaan seperti berikut:

1. "Paperless" Government

* Penggantian kertas dengan arkib digital
* Penghapusan kertas secara beransur-ansur - minit mesyuarat, bahan persembahan dalaman, pekeliling dan sebagainya.

2. Perkhidmatan E-Counter

* Ke arah sifar interaksi muka ke muka - 90 peratus transaksi atas talian 10 peratus e-borang
* Didapati di pelbagai peranti (kiosk, PC, telefon bimbit) di semua lokasi dan di semua saluran.

3. Akaun 1Malaysia

* e-mel rasmi yang unik
* "single sign-on" kepada saluran e-perkhidmatan kerajaan
* Capaian dan penghantaran e-perkhidmatan yang lebih cekap
* Nilai tambah contohnya perkhidmatan pembayaran bil dalam talian dan lain-lain.

Ketika ini, dipercayai myemail.my team telah berjaya melancarkan perkhidmatan eNotice pertama pada ujian rintis (Bukti Konsep) bagi sebuah agensi kerajaan sejak Januari 2012.

Syarikat berkenaan dikatakan didatangi oleh 32 organisasi awam dan swasta untuk membolehkan penghantaran "Push Email" melalui "EBPP". Yang nyata, proses perolehan yang lebih ringkas ini dapat mengurangkan kos pentadbiran dan operasi anda.

Oleh ZULKIFLI JALIL
Sumber: Utusan

1 comments:

caliph shuriken berkata...

utk jangka masa panjang ia akan mewujudkan byk ruang kt umah kita utk simpan dokumen2 penting selain bil ^^