12 September 2012

Guru Dijadikan Profesion Berprestij



Guru akan dijadikan profesion berprestij dan bertaraf elit, yang hanya mengambil 30 peratus siswazah paling cemerlang di negara ini, demikian menurut cadangan Rangka Tindakan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Laporan awal tentang rangka tindakan itu menyatakan bahawa Kementerian Pelajaran akan melaksanakan dengan ketat standard kemasukan bagi memastikan setiap pengambilan guru pelatih memenuhi kelayakan akademik minimum yang ditetapkan. Ini sejajar dengan satu daripada 11 anjakan yang digariskan di dalam dokumen ke arah mentransformasikan sistem pendidikan negara - mentransformasikan jawatan guru agar menjadi profesion pilihan utama.

Rangka tindakan awal itu menyatakan Kementerian Pelajaran akan berganding bahu dengan Institut Pendidikan Guru dan Kementerian Pengajian Tinggi untuk memastikan kualiti kurikulum dan pensyarah dinaik taraf bagi melahirkan guru seperti yang dihasratkan.


Ia juga menyatakan bahawa mulai 2013, beban guru dalam bidang pentadbiran akan diringankan bagi membolehkan mereka memberi fokus terhadap tugas mengajar.

"Ini akan dicapai dengan memperkemas dan mempermudahkan proses pengumpulan data dan pengurusan sedia ada. Sesetengah fungsi pentadbiran juga akan dipindah kepada pusat perkhidmatan terpusat atau kepada guru khusus pentadbiran di peringkat sekolah," kata laporan itu.

Kementerian Pelajaran juga bercadang melaksanakan kemajuan kerja berasaskan kecekapan dan prestasi menjelang 2016, apabila guru diberi penilaian setiap tahun oleh pengetua masing-masing, dengan inputnya mungkin diberi rakan setugas mereka.

"Malah, guru paling baik mungkin dinaikkan pangkat daripada DG41 kepada DG54 dalam tempoh lebih cepat berbanding tempoh kenaikan pangkat purata sedia ada iaitu 25 tahun," kata laporan itu.

Laporan itu seterusnya berkata guru yang menghadapi masalah untuk mencapai kualiti minimum pula akan diberi bimbingan sokongan tambahan untuk membantu mereka kembali berada di landasan sewajarnya.

"Guru yang sering mencatat prestasi rendah, walaupun sudah menerima sokongan tambahan, akan diberi tugas lain yang mempunyai kaitan dengan fungsi sekolah seperti pentadbiran, pegawai tatatertib atau pengurusan kokurikulum," kata laporan itu. - BERNAMA

Sumber: BHarian [11/09/2012]


Transformasi Profesion Keguruan

PELAKSANAAN Pakej Kerjaya Guru baru yang dicadangkan Kementerian Pelajaran bakal melalui tiga gelombang dalam mentransformasi keguruan menjadi profesion pilihan.

Menurut laporan awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, gelombang pertama (2013-2015) memberi fokus kepada meningkatkan standard profesionalisme serta penambahbaikan sistem sokongan dan persekitaran kerja sedia ada.

Empat langkah yang akan diambil adalah meningkatkan standard kemasukan, mengukur pretasi berdasarkan kecekapan, meningkatkan jumlah peruntukan dalam pembangunan profesionalisme berterusan dan mengurangkan bebas tugas pentadbiran guru.

"Secara keseluruhan, langkah ini dilaksanakan bertujuan menyediakan peluang dan sokongan yang diperlukan oleh guru bagi menggalakkan peningkatan kemahiran dan kecemerlangan mereka dalam pekerjaan," kata laporan awal itu.

Selain itu, bagi gelombang kedua (2016-2020) pula, Pakej Kerjaya Guru baru akan dibina atas kejayaan gelombang pertama dan akan menyediakan pelaksanaan laluan kerjaya yang dimantapkan dengan tawaran pelbagai pengkhususan bergantung kepada minat guru.

Kemajuan kerjaya yang lebih pantas disediakan untuk guru berprestasi tinggi manakala guru yang konsisten pada prestasi rendah diberi pilihan bagi penempatan semula.

Semua kerja awal perubahan ini perlu bermula semasa pelaksanaan gelombang pertama bagi membolehkan inisiatif yang dirancang dilaksanakan segera pada tahun 2016.

Bagi gelombang ketiga, menjelang tahun 2021, semua elemen Pakej Kerjaya Guru baru diharap akan dapat dilaksanakan. Profesion itu akan berubah apabila guru dapat menikmati pelbagai laluan kerjaya berbeza selain menerima kesan daripada pelan induk pembangunan profesionalisme yang dirangka khusus serta pemberian ganjaran berdasarkan prestasi, bukannya tempoh perkhidmatan.

Sepanjang tempoh itu, kementerian akan menumpukan kepada usaha memastikan semua guru memanfaatkan keadaan fleksibel dalam hal-hal profesionalisme berkaitan jadual waktu kurikulum dan susunan pengajaran, pendekatan kaedah dan prinsip pengajaran serta pentaksiran berasaskan sekolah.

''Kementerian berhasrat untuk mewujudkan budaya kecemerlangan profesionalisme teladan rakan setugas, iaitu guru membimbing satu sama lain, dan saling memberi inspirasi, berkongsi amalan terbaik, dan memastikan rakan setugas mengamalkan nilai kebertanggungjawaban untuk memenuhi standard profesional.

"Kementerian juga mempertimbangkan cadangan bagi mewujudkan skim pensijilan berdasarkan penguasaan kecekapan keguruan seperti ditetapkan dalam gelombang pertama selain mewujudkan jalinan bekerjasama dengan wakil kesatuan guru untuk mencapai semua matlamat ini," kata laporan tersebut.

Oleh ASSIM HASSAN
Sumber: Utusan

Pakej, ganjaran untuk guru

KEMENTERIAN Pelajaran akan memperkenalkan satu Pakej Kerjaya Guru baru dalam usaha memartabatkan keguruan sebagai profesion pilihan termasuk kaedah memberi ganjaran sepanjang tempoh kerjaya sebagai guru.

Menurut laporan awal pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, sistem kenaikan pangkat berasaskan tempoh perkhidmatan 8:8:6:3 yang baru merupakan suatu penambahbaikan yang jelas lebih baik daripada sistem sebelumnya.

Sistem itu membolehkan guru dalam tempoh 25 tahun dinaikkan gred daripada DG41 kepada Gred DG54.

''Bagaimanapun, terdapat kemungkinan guru kurang berusaha untuk memperbaiki profesionalisme mereka secara berterusan kerana sistem ini masih terikat dengan tempoh perkhidmatan dan jangka waktu kenaikan pangkat selama 25 tahun juga terlalu lama.

''Oleh itu, sistem ini tidak akan dapat menyelesaikan isu dan cabaran semasa seperti kekurangan guru yang berpengalaman untuk membimbing guru baru," kata laporan awal itu.

Cabaran lain kepada kemajuan kerjaya secara berkesan adalah instrumen utama yang digunakan dalam penilaian guru, iaitu Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT).

Sebagai contoh, daripada hampir 48,000 orang sampel guru yang diambil pada tahun 2010, lebih daripada 60 peratus responden telah digredkan dengan markah melebihi 90 peratus; 38 peratus (markah antara 70 hingga 90%) manakala dua peratus daripada responden mendapat markah bawah daripada 70 peratus.

''Ini menyebabkan kementerian menghadapi kesukaran menyediakan sokongan profesionalisme mengikut kumpulan sasaran yang tepat berdasarkan prestasi mereka.

''Namun, bagi mengatasi kesukaran ini, kementerian telah menyediakan beberapa instrumen lain seperti Standard Kualiti Pendidikan Malaysia: Standard 4 dan instrumen penilaian guru cemerlang, untuk membantu proses penilaian," ujar laporan awal itu.

Selain itu, tambah laporan awal berkenaan, bagi kaedah pemilihan calon dan syarat kelayakan minimum membuktikan sistem ambilan itu telah menghasilkan suatu anjakan penting dalam profil guru pelatih manakala bagi bagi Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) ia memperlihatkan peningkatan dari segi tahap kemasukan.

Bagi latihan pra perkhidmatan dan pembangunan profesionalisme berterusan, kementerian menyedari masih terdapat kekurangan seperti latihan amali yang terhad.

''Bagi pembangunan profesionalisme berterusan pula berada di tahap sangat baik apabila lebih daripada 90 peratus guru mengikuti program ini 10 hari setahun berbanding tujuh hari setahun seperti yang ditetapkan kerajaan," ujar laporan awal itu.

Kementerian juga telah meningkatkan saiz tenaga kerja keguruan bagi mengecilkan nisbah murid-guru pada kadar 13:1 iaitu lebih rendah secara signifikan daripada sistem yang berprestasi tinggi seperti Singapura (16:1), Korea Selatan (20:1) malah lebih rendah daripada purata Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) (16:1).

Bagi kualiti pengajaran, Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT), telah menjalankan kajian kualitatif mengenai pengajaran guru melalui pemerhatian terhadap 125 pengajaran di 41 buah sekolah mendapati hanya 12 peratus daripada pengajaran disampaikan pada standard yang tinggi, 38 peratus pada tahap memuaskan manakala 50 peratus pada tahap tidak memuaskan.

''Pengajaran yang membosankan murid apabila guru lebih bergantung kepada kaedah syarahan yang pasif dalam menyampaikan kandungan mata pelajaran," menurut laporan tersebut.

Oleh ASSIM HASSAN
Sumber: Utusan

Baca Juga:

Pelan Pembangunan Pendidikan (PPP) 2013-2015
KPM Rancang Lancar KSSM KSSR Pada 2017
Guru Dijadikan Profesion Berprestij
Menggubal Semula Dasar Pendidikan Negara
Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara

0 comments: