12 September 2012
KPM Rancang Lancar KSSM KSSR Pada 2017
Kementerian Pelajaran merancang melancarkan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) menjelang 2017.
Kurikulum sekolah di kedua-dua peringkat rendah dan menengah akan disemak semula bagi menerap gabungan ilmu dan kemahiran yang seimbang seperti fikiran kreatif, inovasi, penyelesaian masalah dan kepimpinan.
Kurikulum baru itu juga akan menyokong jalur pembelajaran yang dipertingkat untuk pelajar berprestasi tinggi menyelesaikan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam masa empat dan bukan lima tahun, dan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dalam masa lima dan bukan enam tahun.
Ini terkandung dalam Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Selasa, 11 Sept 2012.
Ia dibentangkan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran di majlis itu.
Kemahiran Berfikir Aras Tinggi
Ketika membentangkan dokumen itu, Muhyiddin berkata: "Selanjutnya, peperiksaan dan pentaksiran kebangsaan akan dirombak untuk meningkatkan tumpuan terhadap kemahiran berfikir aras tinggi, seiring pelaksanaan kurikulum baru.
"Sebagai contoh, UPSR akan mengandungi 80 peratus soalan berbentuk pemikiran aras tinggi (higher-order thinking questions)."
Apa yang diperkatakan Muhyiddin itu mencakupi satu daripada 11 anjakan yang dicadang direalisasikan dalam pelan itu bagi tempoh 13 tahun akan datang untuk mentransformasi sektor pendidikan negara.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata pelan itu bercadang melanjutkan tempoh pendidikan wajib daripada enam tahun sekarang kepada 11 tahun, dengan disokong oleh pelbagai inisiatif untuk mengekalkan murid dalam sistem pendidikan, termasuk memperluas jalur pendidikan dan latihan teknik dan vokasional.
Kerajaan juga berhasrat meningkatkan pelaburan bagi sumber fizikal dan pengajaran kepada murid Orang Asli dan kumpulan minoriti serta murid kelainan upaya (OKU) supaya mereka juga menikmati peluang pembelajaran sama dengan murid lain.
Penguasaan Bahasa Kebangsaan
Menyentuh penguasaan Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris pelajar yang digariskan dalam anjakan kedua, Muhyiddin berkata kementerian mahu meningkatkan kemahiran Bahasa Inggeris guru dengan memastikan semua 70,000 guru Bahasa Inggeris lulus Cambridge Placement Test (CPT) dalam tempoh dua tahun.
Selain itu, pelajar akan diberi pendedahan lebih meluas terhadap Bahasa Inggeris melalui modul Sastera Inggeris yang diwajibkan kepada pelajar sekolah menengah.
Kementerian juga merancang memperkenalkan kurikulum Bahasa Malaysia standard di peringkat rendah, menurut pelan pembangunan awal itu.
Ia menyatakan setiap pelajar sekolah rendah, tidak kira sama ada mereka di sekolah kebangsaan atau sekolah jenis kebangsaan, akan menggunakan kurikulum itu mulai kohort Tahun 4 pada 2014.
Ia berkata pelajar sekolah jenis kebangsaan yang menghadapi kesulitan dengan perubahan ini akan mengikuti kelas Bahasa Malaysia tambahan lepas sekolah dari Tahun 4 hingga 6.
Matlamatnya ialah untuk mencari penyelesaian awal dan membolehkan penghapusan kelas 'Remove' atau 'Peralihan' mulai 2017 dan seterusnya.
"Kementerian juga akan menggalakkan setiap murid mempelajari bahasa tambahan seperti bahasa Cina, Tamil atau Arab serta bahasa ibunda atau bahasa antarabangsa lain," kata Muhyiddin.
Menerusi anjakan ketiga berkenaan 'develop values-driven Malaysians' (membina warga Malaysia yang berpandukan nilai), beliau berkata pedagogi Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral akan disemak semula untuk melibatkan lebih banyak aktiviti main peranan, simulasi, perbincangan, dan tugasan dalam kumpulan kecil.
"Kementerian juga akan mengkaji kemungkinan murid Islam dan bukan Islam berkongsi kelas yang sama apabila nilai-nilai sejagat diajar," katanya.
Lapan anjakan lain yang dikupas Muhyiddin mencakupi usaha mentransformasi profesion perguruan; memastikan pemimpin berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah; mengupaya Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus berasaskan keperluan; memanfaat ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran; mentransformasi kebolehan dan keupayaan penyampaian pendidikan di pihak kementerian.
Anjakan lain melibatkan usaha memperluas jalinan kerjasama dengan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta; memaksimum pulangan bagi setiap ringgit yang dibelanjakan; dan meningkatkan akauntabiliti awam.
Muhyiddin berkata keseluruhan anjakan ini akan memberikan impak yang besar kepada peningkatan kualiti pendidikan negara.
"Sekiranya semua 11 anjakan yang terkandung dalam Pelan ini dilaksanakan dengan cekap dan berkesan untuk tempoh 13 tahun akan datang, rakyat boleh menyaksikan satu anjakan yang besar dalam sistem pendidikan negara, iaitu dari pendidikan yang berfokuskan akses kepada pendidikan yang berfokuskan kualiti," tegas beliau.
Beliau menarik perhatian bahawa pelan pembangunan pendidikan itu disediakan hasil rundingan awam secara telus dan terbuka buat julung kali dalam sejarah negara.
Sumber: BERNAMA [11/09/2012]
Kurikulum baru mulai 2016
Kurikulum baru akan dirangka supaya ia mampu melonjak sistem pendidikan negara termasuk dengan mengambil kira perkembangan teknologi dan global. - Gambar hiasan
KEMENTERIAN Pelajaran akan melaksanakan kurikulum persekolahan baru iaitu Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) mulai 2016 dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) pada 2017 dalam usaha melonjak sistem pendidikan negara.
Kurikulum baru itu dirangka berdasarkan tanda aras antarabangsa bagi memastikan murid dan pelajar yang dilahirkan oleh sistem persekolahan di negara ini memiliki kemahiran yang diperlukan untuk bersaing di peringkat global.
Ia merangkumi dimensi intelek, emosi dan fizikal setiap murid serta menekankan aplikasi pengetahuan serta perkembangan pemikiran kritis, kreatif dan inovatif selain memberi peluang melibatkan diri dalam aktiviti sukan dan kurikulum.
Pengenalan kurikulum baru itu juga selaras dengan pemansuhan Penilaian Menengah Rendah (PMR) mulai 2014 serta perubahan penilaian ke atas murid tahun enam yang tidak lagi dibuat berdasarkan keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) semata-mata.
Ini kerana mulai 2016 juga gred pencapaian UPSR murid tahun enam tidak akan lagi ditentukan melalui peperiksaan awam sahaja tetapi digabung sekali dengan pentaksiran sekolah dan pentaksiran pusat.
Pelaksanaan kurikulum baru ini pula akan melalui tiga fasa iaitu gelombang satu (2012-2015) iaitu fasa persediaan, gelombang kedua (2016-2020) iaitu fasa pelaksanaan dan gelombang ketiga (2021-2025) iaitu fasa pentaksiran.
Menurut Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, sebagai persiapan sebelum memperkenalkan kurikulum baru itu kementerian akan memurnikan kurikulum sedia ada dan mempergiatkan sokongan kepada guru bagi meningkatkan sistem penyampaian.
"Kementerian sedar masih banyak yang perlu dilakukan untuk memastikan keberkesanan pelaksanaan kedua-dua aspek kurikulum baru ini, untuk itu gelombang pertama transformasi pendidikan akan memberi tumpuan kepada inisiatif jangka pendek.
"Ia bagi memastikan kurikulum bertulis, kurikulum yang diajar dan kurikulum pentaksiran dapat ditambah baik selain meletakkan asas kepada perubahan fundamental sebelum gelombang kedua dan ketiga dilaksana dan dikaji semula untuk melihat tahap pencapaian," jelas laporan itu.
Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
Sumber: Utusan
Pendidikan menengah wajib
KEMENTERIAN Pelajaran akan mewajibkan pendidikan peringkat menengah rendah dan menengah atas kepada semua pelajar menjelang 2015 bagi menjadikan sistem pendidikan di negara ini setara dengan piawai tempoh pendidikan wajib antarabangsa.
Menurut laporan awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2015, usaha itu membuktikan kesungguhan kerajaan meningkatkan enrolmen murid yang mengikuti pendidikan peringkat menengah rendah dan menengah atas.
Laporan itu menyatakan, kementerian akan melaksanakan langkah khusus bagi menjayakan usaha tersebut termasuk mengenal pasti murid yang dijangka tercicir di antara peringkat sekolah rendah dengan menengah dan juga mereka yang berada di sekolah menengah rendah tetapi berisiko tercicir ke peringkat seterusnya.
"Sebagai contoh, 70 peratus tempat di sekolah berasrama penuh (SBP) akan disediakan untuk murid miskin dari luar bandar bagi membolehkan mereka mendapat akses kepada pendidikan lebih berkualiti.
"Menjelang tahun 2015, enrolmen menengah rendah di sekolah kebangsaan dijangka mencapai 95 peratus populasi disasarkan manakala enrolmen menengah atas akan mencapai tahap 90 peratus," jelas laporan itu.
Dalam pada itu, laporan tersebut memberitahu, kementerian akan mengekalkan tempoh persekolahan antara 12 hingga 13 tahun bagi pendidikan formal.
Langkah itu, katanya, akan memberi masa kepada murid dan pelajar di negara ini untuk berkembang secara menyeluruh serta memilih jenis program pascamenengah yang boleh diikuti.
Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR
Sumber: Utusan
Baca Juga:
Pelan Pembangunan Pendidikan (PPP) 2013-2015
KPM Rancang Lancar KSSM KSSR Pada 2017
Guru Dijadikan Profesion Berprestij
Menggubal Semula Dasar Pendidikan Negara
Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara
Labels:
Pendidikan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan