05 September 2012

Khazanah Tapak Warisan Dunia Di Malaysia



MALAYSIA sememangnya terkenal dengan pelbagai tarikan pelancongannya yang unik dan tersendiri. Daripada warisan sejarah silam, keindahan alam semula jadi, kejernihan pantai dan pulau-pulau serta kepelbagaian budaya masyarakatnya telah menarik jutaan pelancong dari seluruh dunia.

Kepelbagaian produk pelancongan yang ditawarkan di negara ini bukan sahaja mengundang kebanggaan rakyat, malah turut mendapat pengiktirafan dunia.

Malaysia kini mempunyai empat Tapak Warisan Dunia yang diiktiraf oleh Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). Ia sekali gus menjadikan negara ini sebaris dengan negara-negara lain yang pernah menerima pengiktirafan sedemikian sebelum ini.


Empat lokasi Tapak Warisan Dunia ini berupaya mengangkat nama Malaysia di persada antarabangsa.

Taman Negara Gunung Mulu

Terletak di sebelah utara negeri Sarawak, Taman Negara Gunung Mulu (TNGM) merupakan salah satu daripada destinasi pelancongan yang terkenal di Malaysia. Mempunyai keluasan lebih 544 kilometer persegi, ia mula diwartakan sebagai taman negara pada 3 Oktober 1974.

Dengan dikelilingi tiga buah gunung iaitu Gunung Mulu (2,376 meter), Gunung Api (1,750 meter) dan Gunung Benarat (1,585 meter), Taman Negara Mulu mempunyai kepelbagaian bio yang menakjubkan.

Kawasan hutan yang terdiri daripada jenis paya gambut, rawa, dipterokap, lumut serta tumbuhan gunung menempatkan ribuan spesies flora dan fauna.


Puncak Pinnacles Gunung Mulu

Puncak Pinnacles pula menjadi mercu tanda bagi Gunung Mulu. Bagi mereka yang sukakan cabaran, bolehlah cuba mendaki ke puncaknya yang dipenuhi bantuan dan ngarai dalam yang terhasil secara semula jadi.

Tatkala berada di TNGM jangan lupa mencuba aktiviti penerokaan gua yang menjadi identitinya selama ini. Di banjaran Mulu sahaja terdapat 76 buah gua secara keseluruhan di mana hanya 24 buah sahaja yang baru diteroka oleh pengembara.

Antara gua yang wajib dikunjungi pastinya Sarawak Chamber. Ia cukup besar dan luas serta dikatakan mampu memuatkan lapan jet jumbo 747.

Tidak cukup dengan itu, pengunjung juga boleh meneroka beberapa tarikan lain yang tidak kurang hebatnya seperti Gua Rusa atau Gua Air Jernih.

Bagi pencinta alam semula jadi, perasaan kagum pasti hadir melihat keunikan formasi stalagmit dan stalagtit serta pelbagai arca yang terhasil akibat proses geomorfologi yang berlaku. Ia diwartakan sebagai Tapak Warisan Dunia pada November 2000.

Taman Kinabalu

Kunjungan ke Sabah seakan tidak lengkap sekiranya berkunjung ke Taman Kinabalu. Memakan masa kira-kira dua jam perjalanan dari Kota Kinabalu, taman negara seluas 75,370 hektar itu menjanjikan pelbagai tarikan kepada pengunjung yang mahu lari jauh daripada riuh dan hingar kota.

Terdapat pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan di situ antaranya, mendaki Gunung Kinabalu setinggi 4,095 meter dan diiktiraf sebagai gunung kelima tertinggi di Asia Tenggara.



Sejak Sir Hugh Low melakukan pendakian yang pertama menawan puncak gunung itu pada tahun 1851, saban tahun ia terus menggamit ribuan pendaki dari dalam dan luar negara.

Kepelbagaian bio yang amat tinggi di taman ini menyebabkan ia diwartakan sebagai taman negara pada tahun 1964.

Dianggarkan Taman Kinabalu mempunyai antara 5,000 hingga 6,000 spesies tumbuhan berbunga, 621 spesies paku-pakis dan lebih 1,000 spesies orkid sekali gus menjadikan ia terkenal dalam kalangan penyelidik dari seluruh dunia.

Keunikan dan kepelbagaian yang ditawarkan menyebabkan ia turut diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO pada Disember tahun 2000.

Bandaraya Melaka dan George Town

Terletak di perairan Selat Melaka, bandar raya Melaka dan George Town merupakan contoh bandar kolonial bersejarah yang cukup menarik untuk dilawati di negara ini.

Menjadi laluan perdagangan terpenting di rantau ini satu ketika dahulu, kedua-dua bandar raya itu memaparkan warisan kepelbagaian budaya serta tradisi Asia dan Barat yang masih terpelihara, tempat pertembungan pelbagai agama dan budaya.

Kehadiran pelbagai elemen melalui aktiviti perdagangan itu diterjemahkan melalui keunikan seni bina bangunan, masyarakat, bahasa, perayaan, tarian, busana, seni dan muzik, makanan serta cara hidup seharian


Kota A Famosa

Di Melaka misalnya, pengunjung berpeluang meneroka keunikan dan tradisi masyarakat Baba Nyonya, Chetti, Portugis dan Chingay yang masih diamalkan sehingga kini.

Di samping itu, bandar raya itu juga terkenal dengan warisan peninggalan penjajah daripada era kolonial Portugis, Belanda dan Inggeris.

Antara bangunan yang terkenal di situ ialah A Famosa, kota yang dibina Portugis sebaik sahaja berjaya menawan Melaka pada tahun 1511.

Menjadi bandar raya kedua terbesar di Malaysia dengan bilangan penduduk melebihi 700,000 orang, George Town banyak dipengaruhi penjajahan Inggeris bermula pada tahun 1786.

Dianggarkan terdapat lebih 4,000 bangunan bersejarah di bandar raya itu yang berunsurkan era kolonial, Islam, Cina, Anglo India dan sebagainya.


RUMAH Teh Bunga di Jalan Hutton ini menyimpan pelbagai kisah sejarah silam di George Town. 

Antara bangunan warisan yang menjadi tumpuan pelancong ialah Rumah Syed Al-Atas, Tokong Khoo Kongsi, Masjid Melayu Lebuh Acheh dan Tokong Yap.

Pada Julai 2008, Melaka dan George Town telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO bagi kategori tapak budaya.

Lembah Lenggong


Bukit bunuh, Lembah Lenggong menyimpan sejarah tamadun manusia Zaman Paleolitik yang dipercayai wujud sekitar 1.83 juta tahun lalu.

Sejak penemuan rangka Perak Man pada 2001 dan Perak Woman pada 2004, nama Lembah Lenggong yang terletak di daerah Hulu Perak terus dikenali di peringkat antarabangsa.

Penemuan-penemuan saintifik yang dilakukan oleh penyelidik tempatan sebelum ini telah membuka pintu rahsia kehidupan masyarakat awal di rantau ini. Ia terbukti menyimpan rahsia besar sejarah kehidupan manusia dan sejarah tamadun manusia yang pernah wujud dipercayai sekitar 1.83 juta tahun lalu.

Kawasan itu juga dipercayai menjadi laluan keluar terawal manusia dari Afrika menuju ke Australia selain dianggap ‘ibu kota’ Malaysia.


PENEMUAN rangka manusia 'Lelaki Perak' di Lembah Lenggong, Perak pada tahun 2001 menarik perhatian dunia.

Bukit Bunuh misalnya, menjadi pilihan penempatan awal manusia kerana ia kaya dengan pelbagai sumber alam dan keperluan untuk menyediakan peralatan batu.

Penemuan kapak genggam pada tahun 2009 membuktikan kawasan itu merupakan satu-satunya tapak manusia Paleolitik yang berfungsi sebagai bengkel membuat alat batu.

Di samping itu, terdapat beberapa bukti lain yang turut dijumpai di sekitar Kota Tampan dan Gua Teluk Kelawar seperti tembikar, peralatan gangsa dan sebagainya.

Pada 1 Julai yang lalu, Lembah Lenggong telah diwartakan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO menjadikan, ia tapak keempat seumpamanya di negara ini.

Bagi pengunjung yang mahu melihat kesemua artifak itu dengan lebih dekat bolehlah berkunjung ke Muzium Arkeologi Lenggong di Kota Tampan, Mukim Temelong, Lenggong.

Dibuka sepenuhnya pada tahun 2001, ia merupakan muzium prasejarah pertama di negara ini.

Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA
Sumber: Kosmo

2 comments:

Unknown berkata...

rasa2 x ramai yg tau kan

Unknown berkata...

Kepada sesiapa yang pernah melawat Lembah Lenggong, sila tolong saya mengisi borang soal selidik ini. Pertolongan amat dihargai. This survey is for those who had visited Lengong Valley. Your help in filling this survey is much appreciated. Thanks for your time.
https://docs.google.com/forms/d/1ivGJ8Y1ItP5bWMnx9c5fchuqwO5ILecC7hZRbbqc4Oc/viewform?sid=4b7da8ad91d65059&token=2ppaAj0BAAA.OC6H3uBI6dKUwkRU_K5sxg.frOELjaQ71i1OYdQekCVCw