Felix Baumgartner (kiri) atau Fearless Felix berjaya cipta rekod dunia
Atlet ekstrem Austria, Felix Baumgartner berjaya memecah rekod dunia payung terjun selepas melakukan terjunan dramatik dari stratosfera pada ketinggian 38.6 kilometer dari paras bumi di sini, pada 15 September, 2012.
Dia terjun dari kapsul tersebut yang berada setinggi 39 kilometer (km) dari Bumi. Kapsul tersebut bergerak ke udara dengan menggunakan belon helium. Ia mengambil masa lebih dua jam untuk tiba pada ketinggian 39km dari Bumi.
Baumgartner berjaya memecah rekod dunia payung terjun yang melakukan terjunan bebas mengatasi kelajuan bunyi. Beliau yang turut dikenali sebagai Fearless Felix mendarat di sebuah kawasan di sebuah gurun di Roswell, New Mexico, Amerika Syarikat (AS) kira-kira sembilan minit selepas melakukan lompatan dari kapsulnya.
Laman web syarikat minuman tenaga Red Bull menyiarkan aksi pelagak ngeri itu yang memakai pakaian seperti angkasawan semasa dia berada di dalam kapsul tersebut.
"Ketika saya berdiri di aras paling tinggi di dunia saya terasa amat rendah diri dan tidak lagi memikirkan tentang misi memecahkan rekod atau mendapatkan data saintifik.
"Satu-satunya yang saya mahukan ketika itu ialah pulang dengan selamat," katanya selepas melakukan terjunan itu.
Pemerhati penerjunan daripada Persekutuan Antarabangsa Sukan Penerbangan, Brian Utley berkata, angka awal menunjukkan Baumgartner mencapai kelajuan maksimum 1,342 kilometer sejam. Lelaki itu 265km/j lebih pantas daripada bunyi.
TERJUNAN yang dibuat Baumgartner.
Menurutnya, angka itu sama dengan Mach 1.24 iaitu lebih pantas daripada kelajuan bunyi dan belum ada sesiapa yang pernah mencatat kelajuan tersebut dengan hanya memakai pakaian berteknologi tinggi.
Baumgartner turut memecah rekod melakukan terjunan dari paras paling tinggi bagi payung terjun, tiga kali lebih tinggi daripada purata aras ketinggian yang dilakukan oleh penerjun komersial, selain berjaya melakukan penerbangan pada paras paling tinggi menggunakan belon di stratosfera.
Dia turut memecahkan rekod sebagai manusia pertama membuat terjunan dari altitud tinggi. Baumgartner pernah terjun dengan menggunakan payung terjun dari Bangunan Petronas di Kuala Lumpur pada 1999.
Sebelum ini seorang bekas pegawai tentera udara AS, Kolonel Joe Kittinger memegang rekod itu dengan terjun dari sebuah gondola pada ketinggian 31 kilometer dari Bumi dengan kelajuan 988km/j pada tahun 1960.
Sumber: Utusan dan Kosmo
Nilai saintifik terjunan bebas tertinggi
FELIX meninggalkan kapsul selepas cubaan pertama pada 9 Oktober gagal akibat angin kencang di Roswell, New Mexico.
MELALUI lompatan bebas pada ketinggian 39 kilometer (km), Felix Baumgartner, 43, telah membuka mata sejagat bahawa tiada apa yang mampu menghalang manusia untuk menerokai alam. Semakin alam ini diterokai semakin banyak ilmu dan dunia bertambah luas.
“Kadangkala, kami perlu berada pada kedudukan tertinggi untuk melihat diri sendiri yang begitu kecil,” kata Felix merendah diri kepada pemberita selepas penerjunan itu.
Dikenali sebagai Red Bull Stratos, ia merupakan satu misi luar biasa apabila Felix akan dibawa oleh kapsul dan belon helium khas sehingga ke lapisan stratosfera (lapisan antara 10 km hingga 50 km daripada bumi) sebelum membuat terjunan bebas.
Atmosfera terdiri daripada beberapa lapisan yang dinamakan menurut fenomena iaitu troposfera, stratosfera, mesosfera, termosfera dan eksosfera.
Ketika bahagian pertama terjunan bebas Felix, pasukan pemantau yang berada di pusat kawalan misi panik apabila dia kelihatan berpusing-pusing tanpa kawalan.
“Ketika saya berpusing pada 10 ke 20 saat pertama, saya tidak pernah terfikir akan kehilangan nyawa, tetapi lebih bimbang jika misi ini gagal. Saya berkorban tujuh tahun untuk ini,” ceritanya.
Situasi tersebut merupakan risiko terbesar yang dihadapi Felix sepanjang penerjunan bebas. Putaran di luar kawalan itu boleh menyebabkan lebihan tenaga graviti sekali gus menjadikan dia hilang kesedaran.
Pada tarikh bersejarah iaitu 14 Oktober baru-baru ini, Felix akhirnya berjaya melakukan terjunan bebas sehingga mencapai kelajuan bunyi kelajuan 1,348.8 km sejam. Dia mendarat di New Mexico, Amerika Syarikat (AS).
Masalah lain yang turut dihadapinya dalam penerjunan itu adalah pada helmet ketika sedang naik ke lapisan stratosfera. Pemanas pada plat bahagian muka gagal berfungsi, ia boleh mengakibatkan pembentukan kabus apabila Felix bernafas.
Namun, dia dan pasukannya mengambil keputusan meneruskan penerjunan tersebut.
Di sebalik kejayaan gila Felix itu, bekas angkasawan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), Leroy Chiao percaya, elemen-elemen yang digunakan pada sut tekanan Felix amat berguna dalam bidang aeroangkasa.
“Teknologi sut tekanan boleh digabungkan ke dalam rekaan sut-sut tekanan pada masa hadapan untuk kegunaan dalam kapal angkasa,” katanya dalam wawancara bersama stesen televisyen CNN.
Kajian saintifik
Bersama-sama Felix, terdapat sebuah pasukan yang dianggotai lebih 100 orang penyelia termasuk pesara Tentera Udara AS, Joe Kittinger yang memegang rekod terjunan bebas tertinggi sebelum ini pada ketinggian 31.33 kilometer pada tahun 1960.
Misi Felix direka bagi meningkatkan pemahaman saintifik bagi melihat ketahanan badan manusia dalam menahan keadaan ekstrem di angkasa lepas.
Joe yang mengetuai pasukan tersebut amat memahami nilai saintifik yang didapati daripada sesebuah penyelidikan.
Keputusan misi itu akan memberi faedah kepada komuniti sains melalui data-data yang dikumpul untuk pembangunan sut angkasa lepas bagi generasi akan datang.
Tindakan berani mati Felix juga boleh meningkatkan prosedur kecemasan menyelamatkan diri untuk penumpang dan krew di angkasa lepas selain mencipta payung terjun yang memiliki sistem keselamatan tercanggih.
Semua sistem pengangkutan di angkasa lepas mempunyai prosedur keselamatan, tetapi sehingga kini para penyelidik masih lagi tidak mempunyai jawapan bagi banyak persoalan terutamanya pada altitud yang sangat tinggi.
FELIX melakukan senaman sebelum melakukan cubaan terjunan pertama.
Antara data yang dilihat amat berpotensi dalam kajian sains angkasa adalah kelajuan bunyi yang dicapai, altitud dan tempoh masa dalam melakukan terjunan bebas.
Selain itu, kapsul kenaikannya yang menggunakan belon mampu mencapai altitud 39 kilometer mampu memberi data yang amat berguna.
Kelak, hasil misi itu amat berguna dalam pembangunan keselamatan bagi industri pelancongan angkasa lepas dan juga juruterbang serta angkasawan yang sudah pun berada di angkasa.
Sumber: Kosmo [24/10/2012]
0 comments:
Catat Ulasan