Nuff Atas

17 Oktober 2012

Anak Istimewa Ialah Satu 'Anugerah'



Menurut pakar dan kaunselor kanak-kanak, ibu bapa beranggapan mereka mempunyai masa hadapan yang sukar, penuh dengan ranjau dan kemurungan bila mendapat tahu anak mereka yang baru dilahirkan disah sebagai 'istimewa' atau 'kurang upaya'.

Pakar dan kaunselor kanak-kanak ini menyatakan bahawa ibu bapa pasti akan 'hilang punca', tidak tahu apa perlu dibuat selain mengalami tekanan bila mengetahui anak mereka mempunyai masalah berkenaan.

Tetapi kajian yang dijalankan ke atas ibu bapa yang mempunyai anak istimewa mendapati walaupun episod awalnya adalah agak sukar, ibu bapa ini boleh bahagia seperti keluarga lain yang mempunyai anak normal.

"Perkara pertama yang perlu dibuat ialah padamkan perasaan negatif dalam diri. Selepas beredarnya kemurungan pada peringkat awal, perjalanan (kehidupan) yang akan dilalui akan menjadi lebih jelas dan mudah," kata pakar fisioterapi Ida Yasmine Ahmad.


"Pada mulanya setiap keluarga akan mengalami cabaran mengenai masalah anak kurang upaya tetapi kemudian seperti menerima anak itu sebagai satu anugerah.

"Anggota keluarga akan jadi lebih rapat, lebih menyayangi, sabar dan punya lebih rasa simpati," jelas beliau.

Ida Yasmine, yang berasal dari Kuching, Sarawak ialah seorang daripada pakar fisioterapi di Yayasan Sindrom Down Kiwanis-Pusat Nasional (KDSF-NC) di Petaling Jaya dekat sini. Beliau berkelulusan dari Kolej Universiti Mahsa Kuala Lumpur.

KEKAL POSITIF

"Kekalkan sikap positif dalam diri anda selain menyimpan harapan yang realistik.

"Jangan membebankan diri anda dengan fikiran negatif. Memang sudah satu perkara biasa bagi ibu bapa memikirkan masa depan anak istimewa mereka tetapi jika bersikap terlampau memikirkan perkara itu sehingga mendatangkan satu keresahan, ia akan mengabui apa-apa perancangan atau keputusan mengenai masa depan anak itu," jelas beliau.

"Jangan sekali-kali dan elakkan daripada membanding anak kelainan upaya dengan anak (normal) yang lain. Dia akan membesar dan belajar mengikut keupayaannya sendiri. Ibu bapa perlu kekalkan objektif mereka secara realistik," jelas Ida Yasmine.

Katanya setiap ibu bapa mengharapkan kelahiran anak yang normal yang sihat.

"Ibu bapa mungkin mengalami kekecewaaan yang akut bila mendapat tahu anak mereka kelainan upaya atau cacat mental. Mereka tidak boleh menerima, marah, kesal dan rasa bersalah.

"Jangan rasa malu kerana reaksi seperti ini adalah normal. Satu jangkamasa untuk meluahkan rasa kesedihan adalah satu proses semulajadi bagi penyesuaian. Ketika ini pasangan anda adalah sumber kekuatan.

"Saat mengetahui anak anda mempunyai kelainan upaya adalah satu ketika yang agak traumatik. Tetapi anda perlu sensitif kepada pelbagai sudut bagaimana menyesuailkan diri dengan keadaan ini," kata beliau.

Ida Yasmine menasihati ibu bapa yang mempunyai anak kelainan upaya agar menyesuaikan hidup harian mereka kepada satu situasi yang baru di mana setiap cabaran akan dapat dilalui dengan lebih mudah bila ibu bapa memberi kasih sayang kepada anak.

KEYAKINAN DIRI

"Anak kelainan upaya memerlukan keyakinan diri ibu bapanya. Terimalah anak anda seadanya. Berikan segala kasih sayang yang tidak berbelah-bahagi bagi dirinya. Sayangi mereka kerana dirinya dan bukan kerana apa yang mereka dah capai.

"Masa kini dan masa depan adalah penting bagi anak itu.

"Ia satu keutamaan bagi anda menerima dan memenuhi keperluannya. Dengan cara ini anda akan dapat memberikannya sokongan emosi dan pembelajaran. Jika berfikiran negatif, situasi akan bertambah teruk," katanya.

Beliau berkata, ibu bapa seharusnya berasa bangga dengan pencapaian anak kelainan upaya mereka.

"Fokus terhadap apa yang anak itu boleh buat dan bukan terhadap perkara yang dia tidak boleh buat. Galakkan anak itu mengenali keupayaan dirinya dan membina keyakinan diri yang sihat.

"Tingkatkan kefahaman serta kasih sayang dalam kalangan adik beradik anak itu. Bagi anak yang mempunyai adik beradik dari kelainan upaya akan menempuh cabaran yang berlainan. Mereka perlu sensitif terhadap kehadiran adik beradik mereka yang kurang upaya.

"Berikan yang terbaik bagi mereka memahami kelainan upaya adik beradiknya. Ajar mereka membantu adik beradik dan bincang bagaimana hendak uruskan ketika berhadapan dengan situasi yang sukar," nasihat Ida Yasmine.

Setiap anak sama ada yang normal atau kelainan upaya adalah unik dan mereka memerlukan kasih sayang, semangat dan sokongan dari ibu bapa.

"Sebagai ibu bapa, kenalilah cabaran dan peluang di hadapan anda kerana anak kelainan upaya adalah satu anugerah,' katanya lagi.

Oleh Zulkiple Ibrahim
Sumber: BERNAMA

2 comments:

Aishah Jahirah berkata...

anak istimewa tu kdg2 lbh buat mak ayah bahagia banding adik beradik lain...

caliph shuriken berkata...

setiap satu ada rezki masing2 kn ^^