09 Oktober 2012
Bilangan Remaja Sakit Mental Meningkat
Masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak dan remaja di negara ini berada pada tahap membimbangkan malah bilangannya semakin menunjukkan peningkatan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai (gambar) berkata, statistik Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan mendapati kelaziman masalah kesihatan mental golongan tersebut telah meningkat daripada 13 peratus pada 1996 kepada 20 peratus pada tahun 2011.
Katanya, pengaruh internet dan teknologi komunikasi di samping faktor kesibukan ibu bapa dijangka terus membawa kepada peningkatan peratusan tersebut kelak.
"Kanak-kanak kini terpengaruh dan menghabiskan banyak masa dengan internet dan teknologi komunikasi terkini yang menyebabkan mereka semakin kurang berinteraksi dan berkomunikasi terutama bersama keluarga.
"Ini menyebabkan semakin terhakisnya sistem sokongan sosial termasuk dorongan dan sokongan keluarga lalu mendorong kepada kemurungan yang merupakan satu daripada penyakit mental," katanya sewaktu berucap merasmikan Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia Peringkat Kebangsaan 2012 di Taman Tasik Permaisuri.
Beliau berkata, sehubungan itu, usaha strategik perlu dilakukan bagi mencegah masalah tersebut dan program spesifik seperti latihan kognitif, penyelesaian masalah dan kemahiran sosial perlu dijalankan untuk remaja dan kanak-kanak.
Menurut Tiong Lai, bilangan pesakit mental di negara ini dijangka terus meningkat dalam masa 10 tahun akan datang.
"Berdasarkan statistik Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2006, masalah kesihatan mental dalam kalangan orang dewasa pula ialah 11.2 peratus berbanding 10.6 peratus pada 1996," katanya.
Sementara itu, kata beliau, Kementerian Kesihatan akan menambah Pusat Kesihatan Mental Komuniti di seluruh negara dalam usaha menyediakan kemudahan untuk tujuan rawatan dan pemulihan kepada pesakit mental.
"Langkah itu jelas lebih mesra dan dapat memberi ruang kepada pesakit untuk berada dalam kalangan ahli keluarga dan masyarakat berbanding kekangan rawatan di institusi-institusi psikiatri," katanya.
Beliau menambah, satu-satunya Pusat Kesihatan Mental Komuniti ketika ini terletak di Putrajaya yang telah memulakan operasi November tahun 2011 lalu dan memberikan kemudahan saringan, rawatan dan pemulihan.
Oleh BADRUL HAFIZAN MAT ISA
Sumber: Utusan [07/10/2012]
Masalah Kesihatan Mental Perlu Diberi Keutamaan
Masalah kesihatan mental terutamanya tekanan mental perlu diberikan perhatian sama seperti masalah kesihatan lain, kata Ahli Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental Tan Sri Lee Lam Thye.
Beliau mencadangkan agar promosi dan peningkatan kesihatan mental di kalangan rakyat Malaysia dari semua peringkat umur diberi keutamaan dan dijadikan sebahagian daripada agenda utama kesihatan nasional yang perlu ditangani.
Lee mengesyorkan supaya pihak sekolah menjalankan pelbagai aktiviti termasuk ceramah bagi mempromosi kesihatan mental di kalangan warga sekolah.
"Pihak sekolah boleh mengadakan ceramah, pameran dan kuiz atau pertandingan sebagai aktiviti kurikulum tambahan yang melibatkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru dan kelab-kelab sekolah bagi meningkatkan pemahaman mengenai kesihatan mental," katanya.
Katanya lebih ramai kaunselor yang dilatih dengan kemahiran dan teknik diperlukan untuk memimpin dan membantu pelajar-pelajar bagi menangani masalah tekanan.
"Kita tidak dapat menidakkan bahawa sistem persekolahan berorientasikan peperiksaan dan ia menyebabkan tekanan dari ibu bapa ke atas anak-anak mereka untuk berjaya di sekolah.
"Kita perlu menerapkan sikap percayakan diri sendiri kepada anak-anak supaya sebarang kegagalan atau kekecewaan dapat dilihat sebagai satu peluang untuk mencuba lagi. Ini akan menyebabkan mereka supaya tidak tersalah langkah," kata beliau.
Sumber: BERNAMA [08/10/2012]
Jejas Pembentukan Pewaris Gemilang
Asas kekuatan insan banyak bertunjang kepada kemampuan akal dan fikiran. Menerusi akal dan fikiran yang sihat, individu akan bersikap proaktif, reseptif serta mampu menyesuaikan secara positif terhadap keadaan persekitaran.
Insan yang mempunyai akal fikiran sihat mampu menyumbang secara konstruktif serta efektif demi kebaikan rakyat serta negara tercinta. Namun, dalam keadaan mental yang tidak sihat, individu bakal mengganggu-gugat kitaran pembentukan generasi yang kukuh.
Citra wibawa generasi muda
Usia remaja serta kanak-kanak adalah detik penting dalam pendidikan setiap insan. Ketika tempoh itu, kemampuan kognitif serta sosial individu secara asasnya akan dipupuk.
Usaha itu akan tergendala jika kanak-kanak serta remaja gagal mengawal emosi, bersikap mengasingkan diri (tidak mahu berinteraksi secara sosial), serta sering berfikiran negatif.
Cerminan masa depan negara akan ditampilkan menerusi citra wibawa generasi mudanya. Menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan citra wibawa mereka dapat dibentuk dengan kukuh.
Pada peringkat awal usia, kanak-kanak perlu didedahkan untuk berinteraksi dengan persekitaran. Kebebasan untuk mentafsir perlu digalakkan di bawah pemerhatian ibu bapa dan keluarga.
Apabila seseorang menganjak ke usia remaja, potensi perlu digilap dengan memahami kehendak serta pemikiran mereka. Galakan serta sokongan perlu diberikan jika apa yang difikirkan ( remaja) mampu membawa kebaikan.
Sebaliknya, mereka juga perlu ditegur serta dihukum secara membina untuk menyedarkan akan implikasi negatif terhadap sesuatu perkara (sekiranya mereka melakukan perkara negatif).
Dengan lain perkataan, daripada hasil Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan bermaksud kegagalan kita melahirkan generasi muda yang mempunyai kesihatan mental membanggakan kerana dalam usia sebegini seseorang masih di bawah jagaan dan bimbingan ibu bapa serta keluarga.
Tahap kompetensi tinggi
Justeru, bagi mengatasi masalah ini, ilmu yang berkaitan dengan keluarga perlu diberi perhatian. Ibu bapa perlu dibantu agar mempunyai tahap kompetensi tinggi.
Ia perlu meliputi kaedah mengenal pasti masalah, punca dan tanda, langkah yang wajar diambil serta akhirnya kepada kaedah bimbingan dan penyelesaian masalah. Ini adalah cabaran yang perlu dihadapi ibu bapa masa kini.
Proses pendidikan terhadap golongan ini perlu melangkaui kebiasaan masa kini. Semangat persaingan yang bersifat materialistik serta individualistik hanya menambahkan tekanan ke atas remaja atau kanak-kanak.
Meletakkan mereka dalam kancah saingan seperti ini melahirkan sikap mementingkan diri serta kiasu yang hanya menjejaskan pertumbuhan emosi. Persaingan seperti ini akan meruntun semangat ingin membina jati diri yang positif.
Mereka harus didedahkan dengan persaingan sihat, yakni sebarang kejayaan serta kegagalan dinilai sebagai sumber pengajaran untuk memperkemaskan jati diri mereka.
Hubungan dua hala
Ibu bapa serta keluarga tidak harus cuai dalam menampilkan interaksi emosi yang positif untuk membina keyakinan dalam hubungan dua hala di antara mereka. Hanya menerusi interaksi positif (antara ibu bapa), proses pendidikan mampu dijalankan secara menyeluruh.
Untuk membantu individu mencapai puncak potensi diri, kesihatan akal serta fikirannya perlu dihormati serta dijaga. Ia perlu dielak daripada dicemari elemen materialistik, individualistik serta hedonistik yang mengalpakan fitrah insan.
Kemampuan akal serta fikiran individu adalah hak yang sudah dimartabatkan secara adil oleh Allah SWT. Justeru, menjadi tanggungjawab kita bersama untuk menghormati kurniaan ini demi kebaikan agama, bangsa dan negara.
Oleh Amidi Abdul Manan
Sumber: BHarian
Labels:
Kesihatan,
Maklumat Umum
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 comments:
ramai yg mental sekarang,buktinya mcm2 kes sekarang.
Catat Ulasan