10 Oktober 2012
IJN Agensi Paling Cemerlang 2011
Institut Jantung Negara Malaysia (IJN) atau National Heart Institute of Malaysia, adalah pusat jantung terulung di Malaysia. Ditubuhkan pada bulan September 1992, IJN menyediakan perkhidmatan kardiologi dan pembedahan kardiotorasik (cardiothoracic) bagi kes orang dewasa dan kanak-kanak.
IJN juga bertindak sebagai pusat rujukan kebangsaan bagi penyakit kardiovaskular. IJN menyelesaikan kes baru yang dirujuk dari seluruh negara dan luar negara serta kes susulan dari klinik pesakit luar.
IJN merupakan satu-satunya pusat yang pakar dalam rawatan dan pengurusan penyakit jantung. IJN menawarkan pelbagai perkhidmatan yang komprehensif untuk perubatan kardiovaskular berkaitan semua jenis intervensi; pembedahan diagnostik dan therapeutik; dan pembedahan jantung untuk jantung terbuka, jantung tertutup, toraks dan pemindahan jantung.
Sejak penubuhannya, IJN telah dibangunkan dengan kemajuan terkini bidang perubatan daripada hanya mengendalikan kes mudah seperti lubang di tengah-tengah jantung kepada kes pemindahan paru-paru )lung transplantations).
Hari ini, IJN mempunyai satu pasukan yang sangat berwibawa terdiri daripada kardiologi, kardiologi pediatrik, pakar bedah kardiotorasik, anaesthesiologists jantung, kakitangan sokongan untuk mengendalikan kecemasan dan juga kes-kes yang paling rumit.
Sumber: en.wikipedia
IJN agensi paling cemerlang 2011
DINOBATKAN sebagai pemenang AIPM, IJN membawa pulang trofi dan wang tunai sebanyak RM1 juta.
KECEMERLANGAN Institut Jantung Negara (IJN) memberikan rawatan kardiovaskular dan torasik kepada lebih sejuta pesakit dengan subsidi kerajaan dalam tempoh 10 tahun adalah khidmat terbesar hospital jantung terulung ini.
Menggalas tanggungjawab sebagai pakar rujuk tunggal negara dalam melaksanakan pemindahan jantung dan alat bantuan jantung mekanikal, sumbangan IJN sebenarnya terlalu berharga untuk dinilai.
Kecemerlangan ini secara tidak langsung meletakkan IJN sebagai penyumbang perkhidmatan kesihatan yang signifikan kepada rakyat Malaysia bahkan pencapaiannya telah meningkatkan imej negara di peringkat antarabangsa.
Bukan sekadar itu, keunggulan IJN yang sentiasa tampil dengan inovasi prosedur perubatan terbaharu yang memberi impak besar dalam sejarah perubatan tempatan turut dilihat sebagai sumbangan yang amat membanggakan.
Antara yang melakar nama dalam sejarah perubatan negara, IJN muncul sebagai hospital pertama di negara ini yang menjalankan pembedahan pemindahan jantung pada tahun 1997, menjalankan pembedahan pintasan cantuman koronari arteri (CABG) ke atas pesakit dalam keadaan sedar pada tahun 2004, pertama di Asia memperkenalkan alat bantuan jantung mekanikal yang ditambah baik secara berterusan dan hospital pertama di negara ini yang menjalankan pembedahan pemindahan paru-paru pada tahun 2005.
Selain itu, IJN juga menjadi hospital pertama di negara ini yang memperkenalkan ciptaan terbaharu antaranya peranti Watchman bagi mengurangkan risiko strok pada tahun 2010 dan peranti Klip Mitra bagi mengangani masalah kebocoran injap mitral pada tahun 2011.
Dalam melaksanakan tugas hakiki sebagai pemberi perkhidmatan kesihatan kepada orang awam, IJN juga berkesempatan untuk melaksanakan tanggungjawab sosial korporat dengan menawarkan perkhidmatan kepada golongan kurang berkemampuan.
Buktinya, mulai tahun 2006 sehingga hari ini, IJN telah membiayai rawatan perubatan seramai 529 pesakit yang bernilai RM12 juta melalui inisiatif Yayasan IJN.
Atas daya usaha yang dijalankan IJN selama 20 tahun penubuhannya, agensi tersebut telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Inovasi Perdana Menteri (AIPM) 2011 atas kecemerlangan dalam bidang perubatan tempatan dalam satu majlis di IJN, baru-baru ini.
Dengan kejayaan itu, IJN menerima anugerah berupa plak dan wang tunai berjumlah RM1 juta yang disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Tan Sri Dr. Robaayah Zambahari.
AIPM yang dimulakan sejak 2009 merupakan pengiktirafan perdana terunggul kepada agensi serta jabatan yang berjaya menghasilkan sesuatu perkara berimpak tinggi terhadap kesejahteraan rakyat dan negara.
Dianjurkan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan, IJN telah mengalahkan sembilan agensi yang telah disenarai pendek sebelum diumum sebagai pemenang bagi anugerah berprestij itu.
Pada majlis itu, Perdana Menteri serta para tetamu turut menyaksikan pembedahan pintasan jantung dan angiogram secara langsung dari bilik pembedahan IJN oleh pakar-pakar pusat perubatan tersebut.
Dalam pada itu, Robaayah ketika ditemui selepas majlis itu bersyukur dengan penerimaan anugerah tersebut dan berharap ia akan membuatkan IJN lebih dikenali di persada antarabangsa.
Katanya, dengan segala usaha penambahbaikan dan inovasi yang dijalankan selama ini, para penghidap masalah jantung di negara ini tidak perlu ke luar negara bagi mendapatkan rawatan.
“Kita telah dapat merawat banyak komplikasi dan yang terbaru, ada pesakit yang sudah mendapat injap jantung baharu tanpa perlu melalui pembedahan. Sebaliknya injap tersebut dimasukkan melalui paha bagi menggantikan injap yang sudah rosak,” katanya.
Memperluaskan skop perkhidmatannya, IJN kini turut mewujudkan Klinik Bergerak IJN bagi menghubungkan masyarakat luar bandar kepada perkhidmatan dan rawatan di IJN.
“Buat masa ini, klinik bergerak ini kami sewa.
“Menjadi harapan IJN untuk memiliki klinik bergerak sendiri supaya kami dapat memberi perkhidmatan kepada masyarakat khasnya penduduk luar bandar.
“Dianggarkan sebuah klinik bergerak memerlukan kos jutaan ringgit. Kami juga mengalu-alukan kerjasama daripada badan korporat untuk merealisasikan hasrat ini bagi kemudahan rakyat di negara ini,” katanya.
Oleh SITI NOR AFZAN KASIMAN
Sumber: Kosmo [02/09/2012]
Khidmat IJN perlu diperluas
Perkhidmatan Institut Jantung Negara (IJN) perlu diperluas dalam bidang perubatan lain dan tidak hanya menawarkan serta mengehadkan pada rawatan jantung semata-mata.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, IJN perlu memperkenal perkhidmatan baru supaya terus relevan dalam bidang perubatan dan perawatan.
"IJN perlu diperkembangkan dengan tidak terhad pada jantung saja sebaliknya kepada anggota badan yang berkaitan seperti paru-paru, termasuk berkaitan kardiovaskular dan surgeri torasik," katanya selepas Majlis Anugerah Khidmat Pekerja IJN.
Dr Mahathir berkata, pencapaian IJN amat mengagumkan dan menempa sejarah perubatan negara dengan melakar nama di dalam dan luar negara.
"Saya berpuas hati dengan pencapaian IJN... banyak pencapaian dan teknik baru dipelajari serta dikembangkan... saya yakin IJN akan lebih maju pada masa akan datang.
"Saya sendiri pernah melalui pembedahan jantung di sini, dan meskipun pembedahan kali kedua itu dikatakan sukar namun saya pulih semula dan boleh aktif seperti sedia kala termasuk menunggang kuda," katanya.
Beliau turut menasihatkan masyarakat khususnya pesara supaya kekal aktif dan mengutamakan kesihatan bagi mengelak tekanan serta gangguan kesihatan. [BERNAMA].
Sumber: BHarian [09/10/2012]
Labels:
Maklumat Umum
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan