29 Oktober 2012

Kewajaran PBS ganti PMR


Kewajaran PBS ganti PMR

Sistem PBS adalah salah satu usaha kerajaan melalui Kementerian Pelajaran membangunkan modal insan secara holistik dengan menekankan penguasaan ilmu pengetahuan, modal intelektual, pembudayaan sikap progresif dan pengamalan nilai, etika dan moral yang tinggi.

Ia mula dilaksanakan di sekolah rendah pada tahun 2011 dan dijadualkan menjelang tahun 2016, murid-murid sekolah rendah akan menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang telah ditambah baik.

Bagi peringkat sekolah menengah, sistem PBS baru digerakkan dan dijangka dalam tempoh dua tahun berikutnya, ia akan mula dilaksanakan bagi penambahbaikan pada Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).


Kementerian Pelajaran menjelaskan perlaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) bertujuan menambah baik sistem peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang akan dimansuhkan menjelang tahun 2014.

Menurut Unit Komunikasi Media kementerian, sistem pembelajaran baharu itu telah dimulakan pada tahun 2012 bagi pelajar tingkatan 1.

Sistem peperiksaan berpusat seperti UPSR dan PMR bukan lagi merupakan penilaian tunggal dalam mengukur pencapaian murid menguasai pembelajaran.

Kemajuan dan pertumbuhan seseorang murid dinilai secara adil dengan menggunakan Standard Prestasi.

Ia merupakan proses mendapatkan maklumat tentang sejauh mana murid tahu, faham dan boleh buat atau telah menguasai apa yang dipelajari berdasarkan pernyataan Standard Prestasi.

"Kementerian juga akan meningkatkan secara sistematik bilangan peratusan soalan kemahiran berfikir aras tinggi melalui PBS dan peperiksaan awam'' kata kenyataan itu yang disiarkan pada laman rasmi kementerian

Kementerian memberitahu, soalan yang berasaskan Taksonomi Bloom ini akan menguji kemahiran seperti aplikasi, analisis, dan penilaian.

Menjelang 2016, peratusan soalan berbentuk pemikiran aras tinggi akan ditambah sehingga 80 peratus daripada keseluruhan soalan UPSR, 80 peratus dalam pentaksiran pusat untuk Tingkatan 3.

Selain itu, 75 peratus daripada keseluruhan soalan bagi mata pelajaran teras SPM dan 50 peratus dalam soalan mata pelajaran elektif SPM.

Perubahan dalam reka bentuk peperiksaan bermaksud guru tidak lagi perlu meramal bentuk soalan dan topik yang akan diuji dan pada masa yang sama, tidak perlu melaksanakan latih tubi terhadap topik tertentu.

Sebaliknya, pelajar akan dilatih untuk berfikir secara kritis dan mengaplikasi ilmu yang dipelajari dalam pelbagai konteks keperluan.

Format pentaksiran baharu ini membolehkan murid dinilai berdasarkan keberhasilan yang lebih luas dalam jangka masa yang lebih panjang, seperti yang dihasratkan oleh dasar kementerian.

Sumber: Utusan Artikel1Utusan Artikel2

Pelaksanaan PBS tidak bebankan guru

Lembaga Peperiksaan Kementerian Pelajaran menjelaskan guru tidak akan berasa terbeban sekiranya memahami konsep perlaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Kenyataan Lembaga Peperiksaan menyebut, daripada kajian soal selidik yang dijalankan mengenai kesediaan guru melaksanakan PBS secara dalam talian (online) pada September lalu mendapati 84.2 peratus daripada 46,929 guru Tingkatan 1 sekolah menengah seluruh negara memahami konsep PBS.

Kira-kira 90.7 peratus daripada 89,618 guru Tahun 1, 2 dan 3 sekolah rendah juga didapati memahami konsep dan cara melaksanakan PBS.

''Kira-kira 9,006 atau 10 peratus guru Tahun 1, 2 dan 3 sekolah rendah dan 7,979 atau 17 peratus guru Tingkatan 1 di sekolah menengah jelas tentang konsep Pentaksiran Sekolah iaitu komponen akademik PBS," menurut kenyataan tersebut.

Selain itu, menurut kenyataan Lembaga Peperiksaan, guru juga kurang memahami mengenai cara melaksanakan pentaksiran seiring dengan proses pengajaran dan pembelajaran (pentaksiran formatif).

Hal ini demikian kerana, kesukaran guru membina instrumen pentaksiran yang pelbagai bentuk kerana masih terikat dengan fahaman dan kebiasaan menilai pencapaian murid menggunakan ujian berbentuk kertas dan pensel.

"Pengurusan evidens murid dalam PBS yang dikatakan memakan masa yang banyak dan ruang yang besar adalah perlu bagi memastikan penguasaan murid dalam pembelajaran direkod untuk melihat pertumbuhan dan perkembangan murid sepanjang tempoh persekolahan'', kata kenyataan itu.

Bagi mengatasi permasalahan itu, Fail Perkembangan Murid (FPM) dan Fail Showcase (FS) diperkenalkan.

Pendekatan itu membolehkan seorang murid memiliki sebuah FPM sahaja untuk menyimpan evidens bagi semua mata pelajaran yang dipelajarinya.

FS merupakan fail menyimpan evidens terbaik bagi semua deskriptor untuk setiap mata pelajaran dan digunakan sebagai rujukan piawai evidens serta disediakan mengikut tahun atau tingkatan bergantung kepada keputusan Jawatankuasa PBS sekolah.

Pada masa yang sama, kesukaran guru mengakses Sistem Pengurusan PBS telah dikenal pasti sebagai antara faktor penyumbang kepada masalah yang dihadapi guru.

Langkah interim (bersifat sementara) yang telah diambil oleh Kementerian Pelajaran bagi mengatasi masalah tersebut adalah dengan menyediakan hosting khas yang berasingan bagi Sistem Pengurusan PBS dan Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM).

"Proses migrasi hosting bagi sistem tersebut telah selesai dilaksanakan pada akhir September lalu dan didapati sistem tersebut setakat ini stabil serta boleh diakses," jelasnya.

Sementara itu, bagi memastikan guru Tahun 1, 2 dan 3 dan Tingkatan 1 dan 2 memahami dan boleh melaksanakan PBS sebelum 31 Disember ini, Lembaga Peperiksaan telah merangka pelan tindakan penambahbaikan pelaksanaan PBS.

Antara perancangan tersebut termasuklah menyediakan Latihan Hands-on PBS secara in-situ kepada pejabat pendidikan daerah dan guru contoh PBS di seluruh negara.

Latihan ini dijalankan mulai pertengahan Oktober hingga pertengahan Disember ini.

Lembaga Peperiksaan juga akan menyediakan bahan sokongan dan khidmat pementoran PBS dalam talian bertujuan membantu guru memahami dan boleh melaksanakan PBS seperti yang dihasratkan sekali gus mengurus perubahan yang berlaku dengan baik setelah memahami konsep agar mudah melaksanakan PBS nanti.

Oleh NORIZAN ABDUL MUHID
Sumber: Utusan

0 comments: