18 Oktober 2012

Kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES)


Kamera AES (Automated Enforcment System)

Pelaksanaan Kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (Automated Enforcment System - AES) merupakan tindakan tegas kerajaan bagi mengurangkan jumlah kemalangan jalan raya. Kamera AES dipasang di 'kawasan hitam' atau lokasi dikenal pasti sebagai lokasi maut yang mencatatkan jumlah kematian tinggi.

Orang ramai boleh menyemak lokasi kamera AES menerusi laman sesawang JPJ di www.jpj.gov.my, atau portal.jpj.gov.my atau Lokasi AES (Had Laju) dan Lokasi AES (Lampu Isyarat) serta pengguna boleh mengetahui mengenai zon operasi kamera AES melalui papan tanda yang diletakkan di kawasan berhampiran.

"Dengan mengetahui lokasi kamera AES, pengguna jalan raya akan lebih berhati-hati dan mereka memandu mengikut undang-undang. Ini dapat mengurangkan jumlah kematian dan objektif kami adalah bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya tercapai dan bukannya untuk memberikan kuasa lebih besar kepada JPJ mengeluarkan saman," kata Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan


Papan tanda bagi lokasi kamera AES yang mengesan had laju dapat dilihat antara jarak dua hingga tiga kilometer sebelum lokasi kamera tersebut.

Sementara itu, bagi lokasi kamera yang mengesan pesalah trafik lampu isyarat, ia diletakkan antara 50 hingga 500 meter daripada persimpangan lampu isyarat berkenaan.

Imej yang dirakam kamera AES akan dihantar secara automatik ke pusat kawalan AES dan nombor pendaftaran kenderaan itu akan direkodkan pangkalan data JPJ, sebelum saman dikeluarkan kepada pemilik kenderaan tersebut.

Proses semakan mengenal pasti kesalahan dan pengeluaran notis saman dibuat oleh pegawai JPJ terlatih yang ditempatkan di pusat kawalan AES.

"Jika imej yang ditangkap tidak sepadan dengan nombor pendaftaran kenderaan dalam pangkalan data JPJ, siasatan lanjut akan dijalankan. Ini bagi memastikan saman dikeluarkan mengikut undang-undang serta dapat mengelakkan saman kepada pihak yang tidak bersalah," katanya Datuk Solah.

Notis saman yang telah diproses akan dihantar kepada pemilik kenderaan dalam tempoh lima hari daripada tarikh kesalahan serta imej kenderaan yang dirakamkan.

"Bagaimanapun, jika pemilik berdaftar bukan pemandu kenderaan tersebut ketika kesalahan direkodkan, mereka boleh mengemukakan butiran pemandu terbabit kepada JPJ selepas 30 hari daripada tarikh menerima notis saman tersebut," katanya.

Katanya lagi bagi kesalahan yang direkodkan di Perak, pemandu yang menerima notis saman AES boleh menghubungi pusat kawalan AES menerusi talian 03-78464400, manakala bagi kesalahan yang direkodkan di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur mereka boleh menghubungi talian 03-7628 8268. - BERNAMA

Sumber: Utusan [23/09/2012]



AES Bukan Untuk Cari Untung

Pengguna jalan raya diminta supaya jangan memberi peluang kepada syarikat konsesi Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) membuat untung menerusi kesalahan di jalan raya.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha, berkata ia hanya dapat dilakukan sekiranya semua pengguna lebuh raya mematuhi had laju yang ditetapkan di atas jalan raya dan tidak melanggar arahan lampu isyarat.

Katanya, setakat ini, 14 kamera dipasang di seluruh negara di laluan yang dikenali polis sebagai 'black spot' atau kawasan yang sering berlaku kemalangan jalan raya sehingga membawa kematian.

Beliau berkata hanya polis sahaja yang boleh mengenal pasti lokasi itu dan sistem ini sama sekali bukan ditampilkan untuk memberi keuntungan kepada syarikat konsesi AES.

"Bila kamera dipasang, kita iklankan di semua media, Bahasa Malaysia, Cina, akhbar Inggeris, Tamil, lokasi dipasang (kamera) juga diberitahu dalam iklan, kita tidak berhasrat untuk sembunyi kedudukan kamera itu," katanya.

Kong berkata AES ditampilkan atas rasa tanggungjawab kerajaan dalam usaha mengurangkan kemalangan jalan raya, dan salah satu daripada caranya ialah menerusi usaha mengurangkan kelajuan kenderaan di kawasan tertentu dan memastikan orang ramai mematuhi lampu isyarat.

Beliau berkata penguatkuasaan AES hanya merujuk kepada kesalahan berkaitan had laju serta lampu isyarat, dan menurutnya beliau turut menerima banyak cadangan dan permohonan orang ramai bagi mencari mekanisme terbaik bagi menangani lain-lain kesalahan jalan raya seperti memotong kenderaan di garisan berkembar, memotong di sebelah kiri, meletak kenderaan dan sebagainya.

Katanya jika ada pihak yang tidak menyokong sistem AES ini, ia juga mungkin secara tidak langsung menggambarkan bahawa pihak berkenaan itu tidak prihatin dengan soal keselamatan jalan raya.

Sebagai contoh, Kong berkata beliau difahamkan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang mewakili pengguna negeri menyokong pemasangan sistem itu, jadi beliau tidak faham sekiranya kerajaan negeri itu pula yang bertindak sebaliknya.

Beliau berkata pemasangan kamera di tempat berkenaan masih tertakluk kepada kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia, dan syarikat konsesi juga perlu mendapat kebenaran pihak tertentu seperti Jabatan Kerja Raya (jalan persekutuan), pihak berkuasa negeri (jalan negeri) dan juga syarikat pemegang konsesi lebuh raya (laluan di lebuh raya). - BERNAMA

Sumber: BHarian [2012/10/17]

Pelaksanaan AES Untuk Kurangkan Kemalangan Dan Kematian Di Jalan Raya

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menegaskan pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) adalah untuk mengurangkan kadar kemalangan dan kematian di jalan raya dengan meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya terhadap persepsi ditangkap melakukan kesalahan atau Perception of Being Caught (POBC).

Malah, ianya bukan bertujuan untuk mengenakan saman dan denda ke atas pengguna jalan raya mahupun membawa keuntungan kepada syarikat yang dilantik sepertimana yang didakwa pihak tertentu, menurut JPJ dalam satu kenyataan di sini hari ini.

"Berdasarkan kajian antarabangsa pelaksanaan penguatkuasaan secara elektronik dapat mengurangkan kematian akibat kemalangan jalan raya antara 17 peratus sehingga 71 peratus dan menurunkan kadar kemalangan jalan raya sebanyak 40 peratus.

"Sebagai contoh, negara Perancis telah mencatatkan penurunan kadar kematian sebanyak 27 peratus dalam tempoh tiga tahun pelaksanaan sistem penguatkuasaan automatik, manakala Kuwait pula telah mencatatkan penurunan kemalangan sebanyak 48 peratus," menurut kenyataan itu.

Begitu juga kajian Institit Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), mendapati bahawa pelaksanaan AES di negara ini akan meningkatkan POBC kepada 75 peratus.

Sumber: BERNAMA [2012/10/17]

AES diteruskan demi keselamatan

Kerajaan tidak akan berganjak atau mengkaji semula penggunaan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang terbukti berjaya mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, sistem yang turut digunakan di beberapa negara lain itu juga terbukti berjaya mendidik pengguna mematuhi undang-undang sekali gus mengelakkan banyak nyawa terkorban akibat kemalangan jalan raya.

“Apabila berlaku kemalangan jalan raya terutamanya melibatkan kemalangan maut pada setiap hari, rakyat tertanya-tanya apakah yang kerajaan buat untuk mengatasinya.

“Oleh itu, kerajaan sudah mengkaji keberkesanan sistem ini seperti dilaksanakan di negara lain dan ternyata sistem ini mampu menurunkan kadar kemalangan biasa dan maut," katanya.

Menurut Cho Ha, kerajaan sentiasa telus dalam melaksanakan sistem tersebut tanpa mempunyai niat tersirat mengambil duit rakyat dengan cara mudah.

Katanya, maklumat berhubung kawasan serta jumlah bilangan kamera yang dipasang sentiasa dihebah malah, pengguna jalan raya juga diberi amaran menerusi papan tanda yang diletakkan di kawasan berhampiran.

“Hebahan mengenai pemasangan sistem ini juga diiklankan dalam semua jenis akhbar jadi tidak timbul isu kerajaan cuba menyembunyikan daripada pengetahuan umum.

“Jadi saya berharap projek kerajaan yang bertujuan selamatkan nyawa manusia ini mendapat sokongan semua pihak bukan sahaja pengguna jalan raya malah ahli politik dan pemimpin masyarakat," katanya.

Mengulas mengenai 831 lokasi hitam kemalangan yang bakal dilengkapi sistem tersebut, katanya, lokasi tersebut ditentukan oleh polis dan pihaknya hanya akan membuat perubahan jika kawasan tersebut tidak lagi dilabel sebagai hitam.

Dalam pada itu, mengulas cadangan sesetengah pihak bahawa kerajaan perlu menambah had laju di beberapa kawasan yang dipasang sistem itu, Cho Ha berkata, perkara itu perlu dirujuk kepada Jabatan Pengangkutan Jalan yang mempunyai kuasa untuk menentukannya.

Menyentuh dakwaan pelaksanaan sistem itu akan menguntungkan kroni, beliau berkata, syarikat konsesi tersebut hanya mendapat keuntungan jika ramai pengguna jalan raya disaman.

Jelasnya, kerajaan juga tidak membayar sebarang sewa peralatan atau yuran penyelenggaraan kepada syarikat konsesi yang dilantik itu.

“Jadi, saya cabar rakyat jangan bagi syarikat ini mendapat keuntungan besar iaitu dengan mematuhi had laju yang ditetapkan dan tidak melanggar lampu isyarat," katanya.

Sumber: Utusan  [2012/10/17]

AES mampu elak penguat kuasa rasuah

Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) bagi mengesan pesalah trafik bukan hanya mendidik pemandu supaya mematuhi undang-undang jalan raya, malah mampu menghalang rasuah membabitkan penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Pengarah Bahagian Pemantauan dan Penyelarasan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Rasuah, Datuk Hisham Nordin, berkata, penggunaan AES dapat mengurangkan unsur budi bicara, yang boleh mendorong pemandu memberi suapan kepada penguat kuasa JPJ bagi mengelak disaman atas kesalahan trafik.

“Kita berpendapat unsur budi bicara antara faktor yang sering menyebabkan rasuah dan bagi mengatasinya, penggunaan peralatan automasi seperti kamera litar tertutup (CCTV) untuk mengesan pesalah adalah digalakkan.

Sumber: BHarian  [2012/11/09]

Sistem perangkap had laju PDRM tetap diteruskan

Kerajaan tidak bercadang memansuhkan sistem kamera elektronik perangkap had laju yang diguna Polis Diraja Malaysia (PDRM) walaupun Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dilaksana.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Abu Seman Yusop berkata, sistem kamera perangkap had laju yang dikuat kuasa PDRM masih beroperasi bagi meningkatkan tahap kesedaran masyarakat supaya lebih berhati-hati ketika memandu.

"Walaupun pendekatan baru melalui AES diperkenalkan, sistem sekarang (kamera perangkap had laju) yang digunakan oleh polis masih lagi dilaksanakan kerana pendekatan baru itu (AES) dilaksanakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan. Agensi yang berkaitan perlaksanakan pemantauan jalan raya akan tetap laksanakan tugas masing-masing," katanya.

Beliau berkata, kamera perangkap had laju PDRM berupaya merakam imej kenderaan yang melanggar had laju dari jarak 1.2 kilometer pada kelajuan 320 kilometer sejam.

"Notis Pol170A dikeluarkan kepada pemilik kenderaan bagi pelbagai kesalahan trafik. Tujuan notis Pol170A dikeluarkan bagi memperoleh maklumat identiti dan alamat pemandu yang dikesan melakukan kesalahan trafik.

“Mereka yang gagal memberi maklum balas dalam tempoh ditetapkan, akan dikenakan saman kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 115, Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sumber: BHarian [05/11/2012], BHarian [06/11/2012]

17% Bayaran Saman AES Untuk Firma Pembekal

Hanya 17 peratus bayaran saman diperoleh daripada pesalah trafik yang dirakam Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) disalurkan kepada syarikat pembekal sistem berkenaan. Baki selebihnya dikira sebagai hasil kerajaan.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, syarikat dilantik menanggung RM717 juta kos operasi dan modal bagi membekal teknologi, perisian dan khidmat mengambil gambar.

Kerajaan hadkan hasil atau yuran pembekal perkhidmatan kepada purata 17 peratus dan selebihnya adalah hasil kerajaan.

Sekiranya semua pengguna memandu dengan berhemah, mengikut peraturan dan mengubah tabiat pemanduan, maka tidak ada jaminan keuntungan diperoleh syarikat berkenaan.

Abdul Rahim berkata keputusan kerajaan melantik syarikat pembekal perkhidmatan kerana ia tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan modal dan operasi yang tinggi, selain menanggung kos penyelenggaraan.

Kerajaan juga tidak perlu melantik kakitangan dan menyedia peralatan sokongan perkhidmatan, sekali gus membantu mengurangkan saiz perkhidmatan awam. Isu dan masalah vandalisme yang sentiasa berlaku juga menjadi tanggungjawab pembekal.

Selain itu, kerajaan tidak perlu menanggung sebarang kos dan tanggungan sekiranya sistem ini berjaya mengubah tingkah laku pemandu sehingga jumlah saman menurun dengan drastik, katanya.

Beliau menjelaskan, sistem pengukur kelajuan terkini dan tercanggih yang dilaksana di 90 negara maju itu diyakini berupaya menangani kadar kemalangan di negara ini.

Penguatkuasaan secara manual atau khidmat manusia secara langsung tidak ada keupayaan untuk melakukannya tanpa peralatan canggih ini, katanya.

Abdul Rahim turut membidas dakwaan bahawa kerajaan menswastakan sepenuhnya penguatkuasaan AES kepada syarikat pembekal.

Katanya, kerajaan hanya melantik syarikat untuk membekal sistem infrastruktur teknologi kamera dan perisian bagi mengambil gambar serta mengenal pasti pesalah melalui kaedah kamera teknologi tinggi.

Sumber: BHarian [26/11/2012]

AES Guna Proses Tender Terbuka

Pemilihan pembekal perkhidmatan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dibuat pada 2007 melalui proses tender terbuka dan memenuhi segala tatacara tender ditetapkan kerajaan.

“Sebanyak sembilan syarikat pembekal menyertai tender itu. Daripada sembilan syarikat itu, hanya tujuh bersetuju melalui proses penilaian keberkesanan dan kecanggihan sistem. Pembekal perkhidmatan terpaksa melalui pelbagai proses ujian termasuk perlu melakukan demonstrasi secara langsung.

“Ujian itu disaksikan oleh pemerhati Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” kata Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri.

Abdul Rahim berkata, hasil ujian itu, jawatankuasa teknikal dan penilaian AES merumuskan dua syarikat iaitu ATES yang menggunakan teknologi Jenoptik Robot Germany dan BETA TEGAP menggunakan teknologi Redflex Australia melepasi kriteria.

Sumber: BHarian [27/11/2012]

Denda RM20,000 jika ubah nombor plat 

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan mengingatkan pengguna jalan raya supaya jangan cuba mengelirukan pihak berkuasa dengan mengubah suai nombor plat atau berdepan hukuman berat.

Pengguna jalan raya yang cuba mengelak daripada dikesan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) kerana memandu melebihi had laju atau melanggar lampu isyarat merah dengan mengubah suai nombor plat kenderaan boleh didakwa di bawah Seksyen 108 (3A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda minimum RM5,000 dan maksimum RM20,000,” katanya

Sumber: Kosmo [10/12/2012]

Operasi AES diambilalih sepenuhnya kerajaan

Mesyuarat Jawatankuasa Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan [PEMANDU] berkaitan pelaksanaan sistem penguatkuasaan automatik (AES) memutuskan operasi AES akan diambilalih sepenuhnya kerajaan melalui syarikat milik penuh kerajaan yang diperbadankan iaitu AES Solutions Sdn Bhd.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata AES Solution akan mengambil alih operasi sistem AES daripada ATES dan Beta Tegap Sdn Bhd kerana ia adalah langkah terbaik memastikan kesinambungan pelaksanaan AES.

"Usaha pengambilalihan saham syarikat ini dibuat memandangkan ia jalan terbaik untuk memastikan kesinambungan perjalanan sistem AES yang terbukti berjaya mengurangkan kemalangan di kawasan tertentu.

“Penguatkuasaan dan operasi sistem AES akan dilaksanakan PDRM dengan dibantu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan selepas ini, sistem saman di PDRM serta AES diselaraskan manakala saman hanya akan dikeluarkan oleh PDRM.

“PDRM juga bersetuju mulai hari ini (semalam) semua operasi kamera penguatkuasaan undang-undang jalan raya akan dibuat mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 di mana papan tanda amaran perlu diletakkan di kawasan operasi had laju,” katanya.

Hishamuddin turut memutuskan kadar baru minimum kompaun AES ditetapkan sebanyak RM150 selaras dengan kadar ditetapkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkuat kuasa serta merta.

Bagaimanapun, katanya kadar maksimum RM300 akan dikenakan sekiranya pesalah membayar lewat dan juga bergantung kepada kesalahan tahap had laju (dirakam AES).

Sumber: BHarian, Kosmo [2013/09/18], Bharian [19092013]

0 comments: