Nuff Atas

13 Oktober 2012

Kepentingan Bersenam Kepada Kesihatan



75 peratus rakyat Malaysia tidak bersenam!
Demikian kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Kenyataan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin tidaklah memeranjatkan: Rakyat Malaysia ternyata malas bersenam atau beriadah. Hanya 25 peratus rakyat negara ini yang terbabit dalam aktiviti senaman.

Rosnah juga menyebutkan bahawa rakyat kita terdedah kepada pelbagai penyakit yang membunuh secara senyap - daripada diabetes hinggalah hipertensi. Kadar penyakit yang membabitkan jantung juga meningkat, demikian juga masalah obesiti. Menurut laporan terbaru, 6.2 juta penduduk dewasa kita mempunyai kolesterol tinggi, 5.8 juta menghidap hipertensi dan 2.6 juta menghidap diabetes.

Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS), Kementarian Kesihatan bagi tahun 2011 menunjukkan bahawa kadar penyakit diabetes meningkat kepada 15.2 peratus daripada 11.6 peratus pada tahun 2006, sementara hipertensi dalam kalangan orang dewasa yang berumur melebihi 30 tahun meningkat daripada 32.2 peratus kepada 32.7 peratus.


Hakikatnya cara hidup kita berubah tetapi amalan pemakanan kita tidak berubah. Mungkin nenek moyang kita makan makanan yang sama dengan apa yang kita makan hari ini tetapi mereka bekerja di ladang dan mengeluarkan peluh, sedangkan kita masuk ke pejabat berhawa dingin.

Kadar penyakit moden seperti barah, sakit jantung, diabetes dan lain-lain meningkat apabila rakyat semakin mewah. Kita makan terlalu banyak, makan makanan yang kurang berkhasiat di samping membazirkan makanan.

Lebih malang lagi, kita tidak berbuat apa-apa selepas makan. Rakyat Malaysia enggan bersenam waima setengah jam sehari tiga minggu sekali, kadar minimum yang diperlukan bagi membakar lebih 3,000 kalori yang dimakan sehari.

Walaupun rata-rata mereka menggemari sukan tetapi mereka menonton perlawanan bola Liga Inggeris (EPL) sambil makan di kedai mamak atau di rumah. Minat terhadap sukan tidak diimbangi dengan amalan bersukan.

Kita bukan negara sukan atau sporting nation. Rakyat kita mempunyai banyak keutamaan lain selain memberikan perhatian serius pada soal sukan. Kita juga malas bergerak, kalau boleh kita ingin meletakkan kenderaan kita di hadapan pintu pasar raya. Pergerakan kita terbatas hanya dengan turun naik lif dan bergerak ke kantin dan ke pejabat.

Apa yang lebih penting ialah kualiti sukan di sekolah. Tanpa penekanan pada kepentingan sukan dan riadah, kita melahirkan generasi yang malas dan tidak peduli pada riadah. Apabila sistem sekolah tidak memberikan perhatian pada aktiviti sukan dan kualiti ahli sukan, sukan negara tidak akan ke mana. Kesihatan rakyat banyak bergantung pada sikap kita terhadap sukan dan riadah.

Kerajaan akan membelanjakan lebih RM19 bilion untuk kesihatan rakyat bagi tahun hadapan. Maka itu kita harus menekankan budaya bersukan di kalangan rakyat, tanpa mengira agama, bangsa dan usia. Sukan dan riadah merupakan kemestian bagi setiap orang.

Di kalangan umat Islam sendiri, budaya bersukan tidaklah begitu memberangsangkan. Sepatutnya ditanamkan sikap bahawa untuk mengamalkan tuntutan agama seperti solat, kita memerlukan tubuh badan yang sihat. Umat Islam yang sihat merupakan ummah yang kental jati diri, semangat dan diberkati kekuatan fizikal.

Umat yang lemah kekuatan tubuh badannya tidak akan mengembangkan Islam. Kita tahu kisah perwira Islam pada zaman awal yang tersohor kerana semangat juang mereka. Empayar Islam berkembang kerana kekuatan umatnya. Tradisi ilmu di kalangan orang Islam berkembang kerana minda yang juga sihat. Kekuatan fizikal dan minda yang tajam membina tamadun dan kegemilangan Islam.

Budaya masyarakat negara ini harus juga berubah. Kita harus mengawal cara pemakanan anak-anak kita. Apa yang lebih penting ialah menekankan keperluan beriadah di kalangan mereka. Tidak ada usia yang menghalang kita beriadah.

Profesor Diraja Ungku Aziz mungkin tidak boleh berlari lagi pada usianya sekarang tetapi beliau masih berjalan pantas. Adnan Osman berusia 68 tahun bulan September lalu apabila beliau berbasikal ke Sukan Olimpik London. Seorang menteri Nepal, Bahadur Sherchan berusia 76 tahun 340 hari apabila beliau menjejak puncak Gunung Everest tiga tahun lalu.

Kaum Melayu dan India dilihat amat kurang beriadah berbanding kaum Cina di negara ini. Pergilah ke mana-mana pusat riadah terbuka, peratus kaum Cina yang aktif amat tinggi berbanding dengan yang lain.

Maka itu tidaklah memeranjatkan berdasarkan angka Jabatan Statistik Negara, jangka hayat wanita Cina ialah yang tertinggi di Malaysia - 79.8 tahun, melebihi kadar jangka hayat purata bagi rakyat Malaysia, 77 tahun. Kadar jangka hayat wanita India ialah 76.2 dan wanita Melayu 75.3. Lelaki kaum Cina hidup lebih lama dengan purata jangka hayat 74.4 tahun diikuti oleh lelaki Melayu (70.5) dan India (68). Perangkaan ini sepatutnya membuka mata kita semua.

Oleh Johan Jaaffar
Sumber: BHarian

5 comments:

CikZaitul berkata...

hahha..senaman tu mmg penting..sebab tu aku la ni da bersenam..memula pancit tau..berlari sikit je da mengah ..

pas seminggu lari ..pergghhh...stamina aku cukup kuat berlari marathon :P

hehehhe

Puteri Kasih berkata...

puteri kalau sehari tak bersenam rasa badan macam tak bermaya je...huhu

deno berkata...

DENO joging2 ringan boleh la... hihi

caliph shuriken berkata...

dh lama x bersenam.. bdan rasa semacam ni...

baby comel berkata...

kena amalkan gaya hidup sihat. skg ramai je yg mati muda.. sungguh,