13 Oktober 2012

Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC)



PIPC Bakal Ubah Landskap Ekonomi Malaysia Dan Johor

Kejayaan pelaksanaan projek Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) amat penting kerana ia bakal mengubah secara keseluruhan landskap ekonomi Malaysia dan negeri Johor, demikian menurut Johor Petroleum Development Corporation Berhad (JPDC).

Ketua Eksekutifnya Mohd Yazid Jaafar berkata kajian oleh makmal minyak dan gas Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (Pemandu) menunjukkan PIPC akan menyumbang RM17.7 bilion kepada Pendapatan Negara Kasar (PNK) pada 2020.

Kajian oleh Pemandu itu juga menunjukkan PIPC akan mewujudkan 8,500 pekerjaan mahir dan berpendapatan tinggi pada 2020.


"Ini (PIPC) merupakan satu daripada inisiatif yang akan mengubah landskap (ekonomi) Johor. Kita ada Iskandar Malaysia, yang merupakan kawasan pembangunan yang lebih komprehensif. Ini akan mengubah landskap sebuah kawasan."

"Minyak dan gas (melalui PIPC) akan mengubah satu lagi landskap Johor. Ini merupakan perubahan bagi ekonomi Johor secara keseluruhan dan yang lebih luas, adalah Malaysia. Malaysia tentunya akan mendapat faedah. Masa yang menarik," katanya.

Mohd Yazid berkata manafaat PIPC terhadap ekonomi Johor dan negara keseluruhannya adalah amat besar, dengan rakyat tempatan bakal menerima pelbagai peluang ekonomi hasil daripada perlaksanaan projek terbabit.

JPDC merupakan sebuah agensi kerajaan persekutuan, yang bertanggungjawab menyelaras pembangunan sektor minyak dan gas di Johor terutamanya yang membabitkan pembangunan industri hiliran seperti kemudahan penyimpanan minyak dan petrokimia.

Agensi yang baru ditubuhkan itu dipengerusikan secara bersama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala dan Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman.

Projek PIPC yang akan menjadikan Malaysia sebagai hab industri minyak dan gas Asia itu akan dilaksanakan di atas tanah seluas 8,000 hektar di Pengerang, yang terletak di Timur Johor berhampiran Singapura dan bertentangan dengan laluan maritim Timur Barat yang sibuk.

Kira-kira 2,500 hektar daripada keseluruhan kawasan PIPC itu akan dibangunkan oleh syarikat minyak nasional, Petronas, menerusi projek Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID).

Petronas dilaporkan akan melabur kira-kira RM60 bilion dalam RAPID untuk membina kemudahan penapisan minyak berkapasiti 300,000 tong sehari, Naptha Cracker dan kompleks petrokimia.

Syarikat minyak negara itu akan memulakan kerja-kerja pembinaan kompleks RAPID itu tahun 2013 dan siap pada 2016.

Selain itu, syarikat tempatan, Dialog Berhad dengan kerjasama rakan kongsinya, Royal Vopak dan kerajaan negeri Johor juga terlibat dalam pembinaan Terminal Petroleum Laut Dalam Bebas di PIPC bernilai RM5 bilion.

Terminal itu akan dilengkapi dengan kemudahan penyimpanan minyak dengan kapasiti sebanyak 1.3 juta meter padu dan jeti yang mempunyai kedalaman 24 meter bagi membolehkan kapal VLCC (pengangkut minyak mentah amat besar) berlabuh.

Fasa pertama projek itu dengan nilai pelaburan sebanyak RM1.9 bilion dijangka siap tahun depan.

Dialog dan rakan kongsinya, Royal Vopak dan kerajaan negeri Johor baru-baru ini turut mengumumkan pelaburan berjumlah RM4 bilion untuk membina kemudahan Terminal Gas Asli Cecair (LNG) di PIPC.

Selain Petronas dan Dialog, dua syarikat antarabangsa berasaskan minyak dan gas, turut menunjukkan minat untuk melabur di PIPC dengan nilai pelaburan keseluruhan antara US$16 bilion hingga US$20 bilion.

Kedua-dua syarikat terbabit, sebuah daripada Taiwan dan sebuah lagi berpangkalan di Singapura, sedang menjalankan kajian kesesuaian tanah di Pengerang.

Jika pelaburan mereka menjadi kenyataan, kedua-dua syarikat itu akan membina kemudahan penapisan minyak, kompleks petrokimia dan industri hiliran lain.

Latar Belakang PIPC

Pengerang bakal bertukar wajah mulai 2013 apabila Kompleks Bersepadu Petroleum Pengerang (PIPC) di kawasan seluas 8,000 hektar, dimulakan.


RAPID apabila siap akan lebih besar daripada kompleks sedia ada di Malaysia, iaitu Kerteh, Gebeng dan Melaka disatukan.

Perlaksanaan RAPID dan Terminal Petroleum Laut Dalam itu akan mewujudkan 50,000 peluang pekerjaan. Sehubungan itu, cadangan usahasama FELDA, Kementerian Belia dan Sukan serta Petronas untuk menaiktaraf Institut Kemahiran Belia Negara(IKBN) di Bandar Penawar dengan memperkenalkan kursus-kursus berkaitan minyak dan gas, boleh memberi jaminan bahawa Malaysia tidak akan menghadapi masalah mendapat sumber tenaga kerja dalam bidang berkenaan.

Kompleks itu akan menempatkan Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) yang dimajukan oleh Petronas dan Terminal Petroleum Laut Dalam Bebas oleh Kumpulan Dialog dan Royal Vopak dan Setiausaha Kerajaan Johor Diperbadankan (SSI).

Pengerang Bakal Jadi Hab Minyak dan Gas Terhebat

Apabila kedua-dua projek itu siap dan memulakan operasi masing-masing pada 2017, Pengerang akan berubah wajah sebagai hab minyak dan gas terkemuka di Asia Pasifik dan barangkali, setanding dengan Rotterdam, Belanda.

Tetapi apa yang lebih penting, perlaksanaan projek-projek terbabit sudah pasti memberi kesan besar dan positif kepada lonjakan ekonomi di negeri Johor khasnya dan Malaysia.

Untuk RAPID, Petronas dilaporkan akan melabur sebanyak RM60 billion untuk membina dua buah pusat penapis minyak yang dapat menghasilkan 450,000 tong sehari dan perekah nafta sebanyak 3.8 juta tan setahun.

Projek pembangunan PIPC melibatkan pembangunan tanah seluas 8,000 hektar dan daripada jumlah itu tanah seluas 2,520 hektar dibangunkan Petronas untuk projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID).

Bagi projek Pembangunan Terminal Laut Dalam Bebas Pengerang oleh Pengerang Independent Terminal Sdn. Bhd. (PITSB), syarikat usahasama antara Dialog Group, Royal Vopak dan State Secretary Incorporated melibatkan tanah seluas 538 hektar.

Kerajaan juga merancang untuk membangunkan hab penyimpanan minyak petroleum di Johor Selatan yang melibatkan kawasan Pengerang, Tanjung Bin dan Tanjung Langsat.

"Kita menyasarkan kawasan tersebut mampu menampung kapasiti tempat penyimpanan minyak petroleum bagi tujuan perdagangan sebanyak 10 juta meter padu menjelang tahun 2025 dengan perancangan pembangunannya secara berfasa.

"Dalam tempoh itu, menerusi kerjasama dengan Singapura, kita mampu menampung kapasiti tempat penyimpanan minyak di rantau ini mencecah 25 juta meter padu, sekali gus mahu menjadi seperti ARA (Amsterdam, Rotterdam, Belanda dan Antwerp, Belgium)," kata Ketua Eksekutif Johor Petroleum Development Corporation Bhd. (JPDC), Mohd. Yazid Ja'afar.

PIPC antara Kompleks petroleum bersepadu terbesar di rantau ini.

Kompleks Bersepadu Pengerang Petroleum (PIPC) di Pengerang dijangka menjadi satu daripada kompleks petroleum bersepadu terbesar di rantau ini apabila ia siap sepenuhnya menjelang 2020.

Pembangunan PIPC yang meliputi terminal petroleum, penapisan minyak dan loji petrokimia itu telah berjaya menarik pelaburan bernilai RM70 billion berikutan kerjasama yang terjalin antara Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA).

Secara tidak langsung, kerjasama berkenaan akan membantu mengubah wajah rantau ini menjadi pusat aktiviti minyak dan gas, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan untuk industri baru sama ada dalam sektor perkhidmatan atau perindustrian kecil dan sederhana.

"Kerajaan Negeri bersama-sama Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) akan sentiasa komited dan terus bekerjasama dalam usaha melaksanakan projek-projek seperti yang telah dirangka dalam Pelan Pembangunan Komprehensif 2006-2025 (CDP), khasnya Program Transformasi Koridor dan Bandar raya Iskandar Malaysia," kata Menteri Besar Johor, Dato' Abdul Ghani Othman.

Pengerang lokasi projek PIPC paling sesuai



Ketua Eksekutif Johor Petroleum Development Corporation Berhad (JPDC), Mohd Yazid Jaafar berkata, pembinaan loji minyak dan gas menggariskan beberapa kriteria bagi pembangunan stor penyimpanan bahan api terbabit.

“Pilihan pertama pembinaan loji perlu dekat dengan sumber minyak seperti dibangun di Kertih, Terengganu; Miri dan Bintulu di Sarawak.

“Pilihan kedua, jika kita tidak mempunyai telaga minyak seperti di Johor, kriterianya perlu mempunyai laut dalam (deep water) bagi mengimport minyak dari kapal-kapal berlabuh dan menyimpan di loji.

“Pengerang lokasi strategik bagi pembangunan loji ini kerana memenuhi kriteria kedalaman laut lebih 24 meter dan loji pembinaan perlu ditempatkan berdekatan dengan laut,” katanya.

Mohd Yazid berkata, pemilihan kawasan melibatkan 10 kampung tradisi di Pengerang itu sekali gus perpindahan 28,050 penduduk di situ tidak dapat dielakkan.

Cadangan projek PIPC dibangun di kawasan lain, akan menyebabkan paip saluran minyak perlu disediakan membabitkan hampir 12 kilometer.

Pengerang, terletak kira-kira 45 kilometer dari bandar Johor Bahru yang mana sebahagian besar kawasannya, iaitu 70 peratus adalah tanah rancangan FELDA sementara 30 peratus adalah kampung tradisional.

Mengikut persempadanan parlimen, dua Dewan Undangan Negeri (DUN) terletak di bawah parlimen Pengerang, iaitu Tanjung Surat dan Penawar. Parlimen Pengerang mempunyai 35,425 pengundi berdaftar dan daripada jumlah itu majoriti adalah melayu, iaitu 87% (31,055), Cina 11% (3,820), India 1% (330) dan lain-lain 1% (220).

Dengan siapnya Lebuhraya Senai-Desaru yang melintasi Sungai Johor, ia memudahkan laluan ke kawasan itu. Kini, perjalanan dari Desaru ke Johor cuma mengambil masa setengah jam, sekaligus membantu meningkatkan industri pelancongan di sekitar Desaru dan Pengerang.

Proses Pindah Milik Tanah

Pembangunan di PIPC akan berlandaskan kepada enam prinsip utama iaitu perubahan minda, program penempatan semula dan kemudahan prasarana, peningkatan kualiti hidup, pemberian pampasan, alam sekitar dan pertumbuhan ekonomi.

Pembayaran pampasan kepada 216 tuan punya tanah dan pihak berkepentingan yang bersetuju untuk pengambilalihan tanah bagi pembangunan projek Kompleks Bersepadu Pengerang Petroleum (PIPC) membabitkan nilai RM204.86 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Kerja Raya dan Kemudahan Awam Johor, Datuk Ahmad Zahri Jamil berkata, pembayaran yang dilakukan secara berperingkat itu telah mula dilaksanakan sebaik sahaja Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri menerima pengembalian Borang H yang diedarkan selepas selesai prosiding pendengaran awam pada 3 hingga 14 September 2012 lalu.

“Prosiding perbicaraan ini membabitkan 210 lot tanah melibatkan 434 tuan punya tanah dan pihak berkepentingan yang membabitkan tiga buah kampung di Kampung Sungai Kapal, Kampung Langkah Baik, Kampung Teluk Empang seluas 1410.12 hektar telah selesai dimuktamadkan, iaitu 216 daripadanya bersetuju dengan pengambilalihan tanah itu.

“Daripada mereka yang bersetuju itu, 72 menerima pampasan tanpa bantahan manakala 144 terima dengan bantahan. Bagaimanapun hanya enam telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Tinggi bagi penilaian pampasan lebih tinggi,” katanya.

“Rata-rata penduduk mendapat pampasan dan setiap daripada mereka melebihi RM100,000 dengan nilai minimum RM2.80 per kaki persegi, dan pampasan ini tidak terhenti di sini sahaja kerana pelbagai bentuk pampasan seperti nilai bangunan, lain-lain kes yang bakal dinikmati penduduk di Pengerang,” katanya.

Jelasnya, PTG melalui pejabat tanah kecil Pengerang akan beroperasi setiap hari termasuk Sabtu dan Ahad bagi memudahkan penerima pampasan atau penduduk menyerahkan Borang H ke jabatan itu pada bila-bila masa bagi tindakan lanjut.

Projek Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang membabitkan kawasan seluas 9105.42 hektar melibatkan 28,050 penduduk.

Dijangkakan projek itu bakal menjadikan kawasan tersebut sebuah pusat dagangan bersepadu minyak, gas dan petrokimia bertaraf dunia.

Penduduk yang terbabit dengan kedua-dua projek mega itu akan dipindahkan mengikut fasa bermula Mac tahun hadapan. Penduduk tidak akan berpindah dengan tangan koson, sebaliknya diberikan pampasan tunai berdasarkan nilai tanah, rumah, tanaman dan kebun sedia ada masing-masing.

Selain itu setiap pemilik tanah masing-masing diberikan 0.8 hektar tanah pertanian, sebuah tapak tanah perumahan seluas 6,000 kaki persegi dan subsidi untuk kos membeli atau membina rumah baharu di tapak berkenaan.

Malah untuk memastikan penduduk memiliki rumah baharu, Kerajaan Negeri akan memberi subsidi antara RM85,000 hingga RM140,000 seunit di penempatan baru seluas 154.8 hektar di Kampung Dato Abdul Ghani Othman yang terletak cuma 15 kilometer dari kampung asal mereka.

Bayaran pampasan yang diberikan berdasarkan beberapa kriteria, antaranya keadaan dan lokasi tanah berkenaan. Kerajaan negeri turut menyediakan imbuhan tambahan kepada penduduk terlibat, antaranya penawaran skim pemilikan rumah di kawasan penempatan baru dan pengurniaan tanah pertanian.

Skim pemilikan rumah di kawasan penempatan baru ditawarkan kepada penduduk kampung yang memiliki rumah tetap yang terlibat pada harga diskaun (nilai subsidi ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri).

Bagi pengurniaan tanah pula, tanah seluas dua ekar (0.8 hektar) akan dikurniakan pada tanah pertanian yang diambil dengan harga premium berdasarkan kepada Peraturan-peraturan Tanah Johor dan memenuhi kriteria ditetapkan kerajaan negeri.

Bagi fasa pertama, sebanyak 640 unit rumah yang bakal siap pada April tahun depan akan disediakan kepada penduduk di tiga kampung terlibat iaitu Kampung Sungai Kapal, Kampung Teluk Empang dan Kampung Langkah Baik. Kawasan tersebut akan dikenali sebagai Taman Bayu Permai yang turut menempatkan empat kampung lain yang terlibat.

Manfaat Daripada PIPC

Kedua-dua projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) dan Terminal apabila siap kelak akan mewujudkan rangkaian ekonomi yang besar kepada penduduk. Sejajar dengan pembangunan rapid, Kerajaan Negeri akan menaiktaraf kemudahan awam termasuk jalan raya, sistem pengangkutan awam, bangunan, sekolah, masjid, tempat ibadat dan lain-lain.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pada Mei lalu mengumumkan industri minyak dan gas di Pengerang bakal menerima pelaburan keseluruhan RM120 billon dalam tempoh llima hingga enam tahun.

Manakala PEMANDU menganggarkan RAPID bakal menyumbang RM17.7 billlion kepada Pendapatan Kasar Dalam Negara (KDK) menjelang 2020.

0 comments: