26 November 2012

Kemudahan Bayar Zakat Dalam Talian



PORTAL Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), menerusi www.zakat.com.my, bukan sahaja mampu memperkenalkan pelbagai perkhidmatan pembayaran zakat dalam talian malahan meningkatkan jumlah pembayar zakat.

Sejak dilancarkan pada bulan Ogos tahun 2011 lalu, Portal PPZ-MAIWP berjaya menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bagi memberi kemudahan kepada pembayar zakat, menunaikan tanggungjawab zakat mereka pada bila-bila masa.

Berdasarkan statistik pembayaran zakat melalui potongan gaji zakat dalam talian dari bulan Ogos hingga Disember 2011, PPZ menerima jumlah RM266,638.28 daripada 740 pembayar zakat. Ia menyumbang sebanyak 10 peratus daripada kutipan zakat di portal PPZ-MAIWP.

Lebih menggembirakan, antara bulan Januari hingga Ogos tahun 2012, jumlah pembayar zakat potongan gaji dalam talian terus meningkat seramai 613 pembayar dengan kutipan sebanyak RM75,878.


Portal pembayaran

Menurut Pengurus Besar Operasi PPZ-MAIWP, Mohammed Hassan perkhidmatan potongan gaji zakat itu dinamakan Skim Thohir.

“Thohir bermaksud suci dan membabitkan skim potongan gaji zakat berjadual. Portal ini menyediakan kemudahan pembayaran ke atas semua jenis zakat iaitu zakat pendapatan, zakat wang simpanan, zakat perniagaan, zakat emas, zakat saham dan zakat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).”

Kemudahan Skim Thohir secara talian diperkenalkan bagi memudahkan pembayar zakat. Pengguna dan pembayar zakat dialu-alukan menggunakan kemudahan Skim Thohir dalam talian kerana mereka boleh mentaksir zakat dan taksiran tersebut akan disimpan dalam rekod taksiran.

Pengguna juga boleh mencetak, memadam atau membayar zakat yang telah ditaksir kerana ia mengandungi jumlah taksiran tahunan dan bulanan.

Mohammed berkata, langkah untuk membuat pembayaran zakat secara potongan gaji menerusi skim yang diperkenalkan PPZ-MAIWP itu sangat mudah.

Pembayar hanya perlu mengisi Borang Kebenaran Potongan Gaji (PPZ 052) dalam talian dan pihak PPZ-MAIWP akan membuat susulan kepada majikan pembayar. Proses ini mengambil masa dalam tujuh hari bekerja.

Beliau turut menyenaraikan faedah yang diperoleh pengguna menerusi skim berkenaan. Selain membolehkan taksiran zakat sendiri, pembayar zakat juga boleh mengisi borang potongan gaji dalam talian.

Segala urusan potongan gaji akan dikendalikan sepenuhnya oleh PPZ-MAIWP dengan majikan. Pembayar juga boleh melakukan semakan penyata dalam talian.

Bagi pembayar yang telah membuat bayaran zakat di kaunter-kaunter zakat di Wilayah Persekutuan, mereka juga boleh membuat semakan pembayaran rasmi dengan mendaftar terlebih dahulu di portal berkenaan.

Kemudahan lain, pembayar boleh memohon salinan resit. Penyata melalui e-mel dan akan dipos ke alamat yang didaftarkan. Pembayar juga boleh mencetak rekod bayaran yang telah dibuat.

Zakat diwajibkan ke atas setiap umat Islam yang mencukupi syarat-syarat berzakat iaitu Islam, merdeka, milik yang sempurna, cukup nisab, cukup haul dan niat untuk berniaga.


EKSEKUTIF Zakat (kanan) membacakan doa selepas seorang pelanggan selesai melakukan pembayaran zakat.

Keberkatan pendapatan

Seperti firman Allah: “Dan dirikanlah solat dan tunaikanlah zakat. Dan kebaikan apa saja yang kamu usahakan bagi dirimu, tentu kamu akan mendapat pahalanya di sisi Allah. Sesungguhnya Allah melihat apa yang kamu kerjakan.” Al-Baqarah: 110.

Sebagai salah satu daripada Rukun Islam yang lima, kewajipan menunaikan perintah Allah ini bertujuan untuk memberi ketenangan dan keberkatan pendapatan kepada si pembayar zakat. Pihak yang layak menerima zakat (asnaf) pula, hasil kekayaan itu dapat dirasai bersama dan membantu mengurangkan beban mereka.

Sehubungan itu, ibadat zakat yang diwajibkan ialah pembahagian harta yang dimiliki oleh golongan kaya mengikut syarak.

Menurut Mohammed, pihak PPZ-MAIWP berharap dengan kemudahan pembayaran zakat dalam talian ini, mereka yang layak membayar zakat dapat menunaikan zakat yang wajib ke atas mereka.

Beliau menjelaskan, mereka yang membayar zakat boleh mendapat rebat cukai pendapatan individu seperti yang terdapat dalam akta Rebat Zakat Individu (Mastautin).

Bayaran zakat dibenarkan potongan sebagai rebat di bawah Sek 6A (3) ACP 1967 yang berkuat kuasa mulai tahun 1978: “Rebat hendaklah diberikan pada tahun taksiran untuk sebarang bayaran zakat fitrah atau lain-lain tuntutan agama Islam yang mana pembayarannya wajib dan yang telah dibayar dalam tahun asas bagi tahun taksiran itu dan dibuktikan oleh resit yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama yang berkenaan yang ditubuhkan mengikut undang-undang bertulis.”

Bagi kemudahan rebat bulanan atas Potongan Cukai Berjadual (PCB), majikan boleh menyelaraskan potongan cukai bulanan zakat daripada potongan cukai bulanan membayar cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Penyelarasan terus hendaklah dibuat dengan mengambil kira amaun zakat dan mengurangkan jumlah PCB sesuatu bulan. [Bernama].

Oleh NURUL HALAWATI AZHARI
Sumber: Kosmo

0 comments: