20 Disember 2012
Didik Anak Urus Kewangan
Pengurusan kewangan adalah antara keperluan kemahiran hidup pengguna- Gambar hiasan
Pengurusan kewangan keluarga adalah perkara yang sangat penting. Konsep pengurusan kewangan bukan sahaja terhad kepada golongan dewasa, malah ia perlu diterapkan kepada akar umbi lagi atau peringkat kanak-kanak.
Mendedahkan anak-anak kepada pengurusan kewangan dapat membantu dalam mengurangkan jumlah perbelanjaan bulanan anda. Dengan harga barang runcit yang semakin meningkat, anda sememangnya memerlukan bantuan daripada ke semua ahli keluarga dan anak-anak.
Mengapa kita perlu mendidik anak-anak mengenai pengurusan wang?
1. Terapkan nilai dan asas yang kukuh pada anak
Pengurusan kewangan ialah satu keperluan, lebih-lebih lagi pada zaman sekarang di mana semuanya memerlukan duit.
Ramai dalam kalangan ibu bapa gagal mendidik anak mereka mengenai asas pengurusan kewangan. Mendidik anak mengenai wang adalah sama penting dengan mengajar perkara asas lain seperti memberus gigi, mencuci tangan sebelum makan dan sebagainya.
Pengajaran paling penting kepada anak ialah kepentingan menabung dan mengelakkan pembaziran. Ini perlu dilaksanakan demi kebaikan anda dan anak.
2. Duit tidak diperolehi deng mudah
Mungkin ada anak zaman sekarang tidak menganggap mendapatkan duit itu satu perkara sukar. Semuanya dianggap mudah oleh mereka.
Cubalah bayangkan senario yang benar-benar berlaku ini – seorang anak kecil meminta ibunya membelikan mainan baru tetapi ibunya tidak mempunyai duit yang cukup untuk membelikannya mainan tersebut, lalu dia berkata “Mak tak cukup duit nak belikan adik mainan ni”.
Si anak pula dengan lurusnya menjawab “ATM kan ada. Mak keluarkan je la duit dari mesin ATM tu”.
Bagi mereka, wang yang dikeluarkan mesin ATM itu tidak ada kesudahannya, dan anda boleh ke mesin ATM pada bila-bila masa untuk mengeluarkan seberapa banyak wang yang anda mahu.
Kanak-kanak akan melalui satu peringkat dalam hidup mereka di mana mereka ingin memiliki pelbagai benda. Mereka mahukan itu, mahukan ini dan macam-macam lagi.
Mereka tidak sedar bahawa untuk mendapatkan wang, anda sebagai ibu bapa perlu bekerja keras. Tidak semua yang dihajatkan boleh menjadi milik mereka. Apabila anak sudah sampai ke peringkat ini, sudah tiba masanya untuk anda memberikan mereka pendedahan mengenai pengurusan kewangan.
3. Mendisiplinkan anak anda mengenai wang
Antara pengajaran yang paling penting dalam usaha anda mendidik anak mengenai pengurusan kewangan ialah anak perlu mengetahui bahawa mereka harus mempunyai disiplin dalam berbelanja dan menguruskan wang.
Ramai kalangan ibu bapa yang mungkin menggeleng kepala dan mengeluh sambil berkata, “Kanak-kanak sekarang bukan macam dulu. Bukan senang nak diajar untuk berdisiplin”.
Disiplin itu satu keperluan. Anak perlu mempunyai disiplin, sama ada dalam konteks menyimpan wang dalam akaun simpanan mahupun sekadar dalam tabung di rumah.
Ketika anak mengenali perbezaan antara keperluan dan kehendak serta perlunya menabung, disiplin yang diperoleh dalam usaha mereka menabung dan mengawal diri daripada membazir akan menjadi satu pengajaran yang boleh digunakan dalam pelbagai aspek kehidupan kelak. Mereka akan berusaha dengan lebih gigih untuk berbelanja mengikut kemampuan diri dan meringankan beban anda.
4. Elak jadi Generasi Hutang
Anak-anak yang menuntut di universiti atau Intitusi Pengajian Tinggi telah sedia mempunyai hutang yang perlu dibayar apabila tamat pengajian. Contohnya pinjaman pelajaran. Apa yang dikhuatiri ialah apabila memasuki alam pekerjaan, bukan saja pinjaman pelajaran yang perlu dibayar tetapi ditambah dengan hutang kad kredit, pinjaman peribadi dan sebagainya.
Jika hutang ini tidak dikawal, mereka mungkin akan dibelenggu hutang untuk tempoh lama dan mungkin juga akan melarat sehingga mereka sudah berkeluarga.
Oleh itu, bagi mengelakkan anak-anak daripada ditimpa masalah sebegini, anda perlu membimbing mereka mengenai perancangan kewangan sejak dari awal lagi.
5. Tanamkan sifat pemurah dan dermawan anak
Jika anak anda dapat menguruskan wang dengan lebih baik, mereka akan dapat menabung dan melabur wang yang telah dijimatkan itu.
Di samping itu juga, wang lebihan tersebut boleh digunakan untuk menderma atau menolong kawan atau orang susah. Inilah masanya untuk memberikan anak pendedahan kepada golongan kurang bernasib baik agar mereka tahu menilai kepentingan jati diri yang baik dan sentiasa bersyukur dengan segala kemewahan dan kesenangan yang dimiliki.
Dengan menggalakkan sikap dermawan dalam diri anak pada usia muda, mereka akan membesar sebagai individu yang mempunyai sifat terpuji dan menghargai kesan positif yang dibawa mereka kepada persekitaran dan masyarakat sekeliling.
Tentunya terdapat pelbagai lagi sebab mengapa perlu mendidik anak mengenai pengurusan wang. Bagaimanapun alasan yang telah dibincangkan ini memadai untuk menggalakkan anda mengorak langkah pertama dalam mendedahkan anak kepada pengurusan kewangan.
Sumber: Sinar Harian
Labels:
Maklumat Umum
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 comments:
menabung penting utk masa hadapan.. denos ejak dulu mesti masukkan juga duit dlm tabung setiap hari walaupun 10sen :)
Catat Ulasan