19 Disember 2012

Mudarat Daripada Minuman Tenaga


Aneka jenama minuman tenaga - Gambar hiasan

KEBIMBANGAN terhadap kesan berbahaya daripada minuman tenaga, terutamanya apabila ia digabungkan dengan alkohol, telah berkembang dalam tahun-tahun kebelakangan ini.

Sebuah berita dalam akhbar New York Times pada pertengahan November 2012 menambahkan kebimbangan tersebut apabila Pentadbiran Makanan dan Perubatan (FDA) mendedahkan bahawa mereka telah menerima laporan 13 kematian yang dikaitkan dengan minuman tenaga, 5-Hour Energy.

Minuman tersebut mengandungi kira-kira 215 miligram (mg) kafein, bersamaan kira-kira dua cawan kopi.

Berikut merupakan lima isu kesihatan membimbangkan yang dikaitkan dengan minuman rangsangan:


Jantung

Menurut akhbar New York Times, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, syarikat yang memasarkan minuman tenaga 5-Hour Energy telah memfailkan 30 laporan kecederaan serius kepada FDA berkaitan dengan produk termasuk serangan jantung.

Pada tahun 2007, seorang lelaki Australia berumur 28 tahun mengalami masalah jantung yang terhenti melebihi tujuh jam selepas mengambil lapan tin minuman tenaga. Setiap tin mengandungi 80mg kafein. Pesakit tersebut juga tidak mempunyai sejarah sakit dada.

Profesor Madya Perubatan, Dr. John Higgins dari University of Texas di Houston, Amerika Syarikat berkata, kafein dan lain-lain sebatian dalam minuman tenaga boleh meningkatkan kadar denyutan jantung dan tekanan darah.

Kata Higgins, kafein boleh menyebabkan sel-sel jantung mengeluarkan kalsium yang boleh menjejaskan denyutan jantung hingga membawa kepada aritmia (penyimpangan ritma jantung).

Minuman tersebut juga boleh mengganggu keseimbangan normal garam dalam badan yang turut dikaitkan dengan aritmia.

Walau bagaimanapun, tidak ada bukti yang cukup untuk menekankan bahawa minuman tenaga menyebabkan masalah jantung.

Lebih banyak penyelidikan perlu dilakukan untuk menentukan amaun pengambilan minuman tenaga yang boleh menyebabkan seseorang itu mengalami kesan-kesan negatif.


MINUMAN tenaga banyak diambil oleh generasi muda yang aktif. - Gambar hiasan

Keguguran

FDA juga menerima satu laporan yang mengaitkan pengambilan minuman tenaga 5-Hour Energy dengan keguguran.

Begitupun, terdapat dua hasil kajian berbeza mengenani kesan kafein terhadap keguguran. Kajian pada tahun 2006 mendapati lebih daripada 1,000 wanita hamil mengambil lebih daripada 200mg kafein sehari (kopi, teh, soda atau coklat panas) berhadapan dua kali ganda risiko keguguran berbanding wanita hamil yang tidak mengambil minuman berkafein.

Walau bagaimanapun, kajian yang diterbitkan pada tahun 2008 mendapati tiada kaitan antara pengambilan kafein (tanpa mengira jumlah) dan risiko keguguran pada usia dua minggu kehamilan.

Oleh kerana dapatan kajian belum muktamad, American College of Obstetricians and Gynecologists menasihatkan bahawa wanita hamil mengehadkan pengambilan kafein kepada 200mg sehari.

Kesan alkohol

Kajian menyatakan bahawa menggabungkan alkohol dan minuman tenaga boleh membahayakan.

Walaupun kafein merupakan perangsang, ia tidak dapat mengatasi kesan sedatif alkohol.

Berdasarkan Journal of the American Medical Association (JAMA) yang diterbitkan tahun lalu, terdapat kebimbangan bahawa campuran alkohol dan minuman tenaga boleh menyebabkan seseorang itu berjaga untuk tempoh masa yang panjang, seterusnya membolehkan mereka mengambil alkohol lebih daripada biasa.

Satu kajian pada 2011 mendapati kira-kira 1,100 pelajar kolej yang mengambil minuman tenaga secara kerap, 2.5 kali ganda cenderung memenuhi kriteria diagnostik pergantungan alkohol daripada mereka yang tidak mengambil minuman tenaga.

Ia mungkin disebabkan oleh amalan mencampurkan alkohol dan minuman tenaga atau pengambilan kafein bagi memulihkan mabuk. Kemungkinan juga ia pengaruh kafein pada otak yang menyebabkan ketagihan.

Penyalahgunaan dadah

Satu lagi kajian yang melibatkan 1,060 pelajar mendapati pengambilan minuman tenaga pada tahun kedua pembelajaran di kolej telah dikaitkan dengan peningkatan risiko preskripsi penyalahgunaan dadah (penggunaan perangsang atau ubat penahan sakit tanpa preskripsi) pada tahun ketiga kolej.

Dalam isu 2010 yang ditulis oleh penyelidik dalam Journal of Addiction Medicine menjelaskan mengenai kaitan penyalahgunaan dadah dengan minuman tenaga.

Minuman tenaga umpama ubat-ubatan preskripsi dan ia mungkin dianggap oleh sesetengah pelajar sebagai normatif yang lebih selamat atau boleh diterima secara sosial berbanding dadah haram jalanan.

Gangguan kognitif

Walaupun sesetengah pelajar bergantung pada minuman tenaga untuk berjaga sepanjang malam untuk mengulang kaji bagi persediaan menghadapi peperiksaan, terdapat beberapa bukti bahawa tahap kafein yang berlebihan dalam minuman boleh menjejaskan upaya kognitif.

Satu kajian kecil pada tahun 2010 mendapati pengambilan jumlah kafein yang sederhana iaitu kira-kira 40mg dapat memberikan prestasi lebih baik pada ujian tindak balas. Bagaimanapun, pengambilan minuman berkafein berlebihan iaitu menyamai tahap yang didapati dalam setin air tenaga memburukkan prestasi ujian tindak balas.

Sumber Artikel Asal: http://www.myhealthnewsdaily.com.
Sumber Artikel BM: Kosmo

1 comments:

Unknown berkata...

selalu dok minum 100 plus...risau gak ni